Thursday, September 16, 2021

Ahmad Maslan juga tak disokong MP UMNO bukan ‘kluster mahkamah’

agendadaily.com
16/9/2021

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan 

Pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker turut tidak mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO bukan ‘kluster mahkamah’ yang terdiri daripada 15 orang yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Baki MP UMNO yang tidak bersama dalam kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan kesetiaan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum menukar sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri baharu.

Sumber Agenda Daily memberitahu, keputusan mencalonkan Ahli Parlimen Pontian tersebut diputuskan oleh Zahid yang cuba melanggar syarat diletakkan Muhyiddin tidak akan menerima pemimpin daripada ‘kluster mahkamah’.

“Zahid cuba uji Muhyiddin yang berpendirian menolak ‘kluster mahkamah’, nampaknya ia memakan diri dan bakal mengundang padah sekiranya Ahmad Maslan kalah dalam pengundian nanti.

“Bukan sahaja MP Bersatu tidak menyokong, beberapa MP UMNO yang tidak sebulu dengan Zahid kerana dianggap sebagai punca kejatuhan kerajaan PN sebelum ini juga menolak pencalonan tersebut,” kata sumber dalaman parti.

Menurut sumber, keputusan menamakan Ahmad itu dibuat dengan persetujuan yang berat untuk diterima Ismail Sabri yang menyedari ia akan mengundang rasa tidak puas hati pemimpin Bersatu dan MP lain yang berada di blok kerajaan.

“Hampir semua MP UMNO tidak menerima pencalonan Ahmad itu, cuma mereka tidak berani menyuarakan pandangan kerana takut dengan Presiden (Zahid).

“Mereka takut nanti watikah calon pilihan raya tidak akan ditandatangani Zahid yang masih menyandang jawatan Presiden, memandangkan pemilihan parti juga sudah ditangguh,” kata sumber.

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.

Jawatan itu kosong setelah Ahli Parlimen (MP) Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahmad yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penangguhan itu bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-