Showing posts with label Ahmad Maslan. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Maslan. Show all posts

Sunday, February 18, 2024

UMNO boleh dapat sokongan Cina jika terus bersama PH – Ahmad Maslan

utusantv.com
Oleh UtusanTV
-February 18, 2024
Datuk Seri Ahmad Maslan GAMBAR: Abd Razak Aid

UMNO boleh mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina sekiranya terus menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, trend semasa menyaksikan sokongan kaum Cina semakin berubah tahun demi tahun bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

“Jika kita lihat PRU 2008, masyarakat Cina sudah mula beralih sokongan kepada DAP, diikuti PRU 2013 di mana sokongan mereka kepada DAP terus bertambah.

“Pada PRU 2018 pula, hanya lima peratus masyarakat Cina tidak sokong DAP, lima peratus pula menyokong parti selain DAP. PRU lalu, coraknya masih sama, majoriti masyarakat Cina tetap sokong DAP.

“Oleh itu, saya tak nampak pada PRU ke-16 nanti, masyarakat Cina akan beralih sokongan selain kepada DAP. Disebabkan itu, kalau kita (UMNO) ingin dapatkan sokongan masyarakat Cina, tentulah sokongan kepada PH yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh diteruskan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam perkembangan lain, Ahmad menjelaskan, tiada usaha ke arah menghidupkan semula kerjasama UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) seperti disarankan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

“Yang berlaku sudah berlaku. Seperti saya sebut sebelum ini, jika kita terus bersama Perikatan Nasional (PN) dan Pas, maka UMNO sudah tidak ada peluang lagi untuk kembali menang kerusi di empat negeri, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana siapa yang menang akan terus kekalkan kerusi itu.

“Ada kerusi UMNO yang Pas sudah menang (di empat negeri itu). Kerjasama bukan tak pernah wujud kerana pada pilihan raya negeri Melaka, Sabah dan Johor pun kita pernah tawarkan kepada Pas (kerjasama), namun semua ditolak Pas.

“Bayangkan jika mereka terima kerjasama itu sebelum ini, tapi mereka yang menolaknya,” katanya.

Sunday, November 19, 2023

Apa faedah kekal ‘telur’ di Terengganu, soal Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
19 Nov 2023

Ahli MKT Umno menolak sentimen PAS mahu Terengganu dikuasai penuh PN di peringkat DUN dan Parlimen.
Ahmad Maslan berkata pengundi PRK Kemaman tidak perlu ‘membakar satu-satunya jambatan’ penghubung negeri itu dengan kerajaan pusat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tiada faedah bagi rakyat Kemaman mengekalkan rekod “40-0” kerana akan menyebabkan kawasan Parlimen itu “membakar satu-satunya jambatan” antara Terengganu dengan kerajaan pusat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata pengundi pada PRK Kemaman perlu bijak membuat pilihan dan tidak terbuai sentimen konon rakyat Terengganu dalam “mood” mengekalkan rekod tersebut pada pilihan raya lalu.

“Apa faedahnya hendak kekalkan ‘telur’ (untuk Barisan Nasional) di Terengganu. Tiada faedah pun.

“Sekiranya calon PAS iaitu Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menang PRK Kemaman sekali pun, kawasan itu masih pembangkang di peringkat kerajaan pusat.

“Pada pandangan saya, pembangunan yang ada di Kemaman ketika ini pun banyak dilaksanakan ketika BN memerintah sebelum ini,” katanya menurut Berita Harian di Pontian.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dilaporkan berkata, rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan “telur” dan masih dengan “mood 40-0”, menolak kepimpinan Umno, PKR, Amanah, dan DAP.

Terengganu menjadi satu-satunya negeri dikuasai Perikatan Nasional sepenuhnya, menguasai 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis menyaksikan saingan dua penjuru antara calon BN iaitu bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Samsuri mewakili PAS.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata pengundi Parlimen Kemaman perlu menjadikan kawasan berkenaan sebagai jambatan penghubung antara Terengganu dengan kerajaan perpaduan.

“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Gunakan peluang ini, jika tidak perlu menunggu sehingga PRU16 nanti,” katanya.

Tuesday, July 18, 2023

Banyak pengundi Cina sokong DAP, Mat Maslan jawab sokongan UMNO kepada DAP

agendaily.com
18/07/2023
Datuk Seri Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan mempertahankan kerjasama antara UMNO dengan DAP dalam kerajaan campuran ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata DAP memenangi banyak kerusi berbanding MCA dan Gerakan, ia bermakna majoriti pengundi kaum Cina menyokong parti tersebut yang sebelum ini sering diserang UMNO dengan pelbagai tuduhan kononnnya sebuah parti perkauman dan Chauvinis.

Ahmad atau dikenali Mat Maslan mengingatkan ahli parti bahawa DAP telah berkali-kali berikrar untuk menyokong kedudukan orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.

“MCA, DAP dan Gerakan, mereka semua parti bangsa Cina. Gerakan tak menang satu kerusi pun dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) untuk Parlimen, MCA menang dua kerusi, DAP dapat 40 kerusi.

“Sejak 2008, DAP menjadi pilihan masyarakat Cina. Berapa lama kita mahu menutup fikiran kita tentang mereka?

“Pada 2012, DAP menandatangani Deklarasi Shah Alam untuk menyokong Islam, Melayu, Raja dan bahasa.

“Mereka melakukan perkara yang sama semasa perayaan 50 tahun mereka dan yang terbaharu apabila mereka menandatangani perjanjian semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Mat Maslan berkata demikian semasa menjadi panel sesi ‘Townhall bertajuk Apakah Peranan UMNO Dalam Kerajaan’ semalam.

UMNO dan DAP bekerjasama selepas PRU-15 untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Gabungan itu kini perlu bersaing sebagai sekutu buat kali pertama dalam pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu pada 12 Ogos ini.

Thursday, June 22, 2023

Ahmad Maslan penyebab ekonomi merudum, kata Khairy

satuberita.my
By Admin
-June 22, 2023
BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa semakin banyak Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi maka ia akan merudum dengan begitu pantas.

Beliau berkata, tindakan Ahmad berbicara soal ekonomi, seolah-olah ada pengumuman besar untuk memastikan nilai ringgit lebih kukuh.

“Kenyataan dibuat itu menjadikan individu di pasaran kewangan, pelaburan mahu mengetahui berita yang bakal disampaikan itu.

“Bagi saya cara pengumuman itu bagus kerana ia merupakan gerakan taktikal, namun ia tidak akan mengubah soal gambaran landskap pelaburan di negara kita,” katanya menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap, hari ini.

Sebaliknya, Khairy menjelaskan, dua cara untuk menarik pelaburan dan mengukuhkan nilai ringgit di Malaysia adalah dengan menjual sedikit pegangan kepada Sovereign Wealth Fund (SWF) dan menjadikan negara sebagai pejabat keluarga (family office).

Jelasnya, pelabur yang datang melabur melihat kepada kerajaan, usaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyediakan peluang untuk dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga.

Menurutnya, apabila pegangan dijual sedikit kepada SWF, ia akan memberi kesan lebih besar daripada pengumuman yang kecil untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, Khairy berkata, untuk meningkatkan pelaburan ke dalam negara, kerajaan bukan sahaja perlu menarik perhatian syarikat dan profesional, sebaliknya pejabat keluarga juga.

“Sejak beberapa tahun lalu, strategi Singapura adalah menarik pejabat keluarga yang mana ia merupakan satu entiti ditubuhkan oleh keluarga kaya untuk menguruskan kewangan mereka.

“Cuma kita perlu ada persekitaran polisi yang lebih fleksibel untuk pejabat keluarga ditubuhkan di sini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Saturday, June 10, 2023

Pandangan simplistik seperti Ahmad Maslan punca BN kalah - Ismail

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 10, 2023 6:05 PM
Menjawab kritikan Ahmad Maslan, bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu disebabkan Umno membuat andaian mengenai sokongan kepada parti itu tanpa berasaskan kajian komprehensif dan fakta.

Ismail yang juga bekas naib presiden Umno mempersoalkan unjuran Umno ketika itu bahawa BN boleh menang melebihi 112 kerusi.

"Hakikatnya, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas setiausaha agung Umno, Ahmad Maslan seperti inilah yang menyebabkan BN kalah dalam PRU15.

"Unjuran Umno pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo. Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.

"Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad yang juga ahli majlis kerja tertinggi (MKT) berkata, masa yang tepat adalah faktor yang penting dalam politik bagi membolehkan parti itu mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Ahmad memberi bayangan nasib Umno mungkin tidak seteruk sekarang jika "pihak Putrajaya" patuh kepada kehendak parti supaya PRU diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) di Melaka serta Johor diadakan.

Ia dipercayai merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan ketika itu, diketuai Ismail Sabri.

Ismail Sabri ketika itu menjadi salah seorang daripada naib presiden Umno.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sebagai perdana menteri pada ketika itu dia mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.

Katanya, PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU kerana keadaan politik negara amat dinamik.

"PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu. PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu.

"Inilah punca sebenar kekekalahan BN kerana mempunyai bekas setiausaha agung Umno yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN," katanya lagi.

Friday, June 9, 2023

Tajuddin dakwa Umno dapat padah nasihat Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar, Faiz Zainudin dan Yasmin Latiff
 - 09 Jun 2023

Bekas pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, mendakwa Ahmad Maslan semasa menjadi setiausaha agung Umno tidak mengendahkan pandangan akar umbi.
Bekas pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata akar umbi tidak mahu calon pilihan pimpinan parti, menjelang PRU15.

KUALA LUMPUR: Tajuddin Abdul Rahman muncul di tepian Perhimpunan Agung Umno 2023 petang ini, dengan dakwaan bahawa pengaruh Umno merosot hari ini lantaran padah nasihat Ahmad Maslan, ketika menjadi setiausaha agung.

Ketika dikelilingi pemberita, beliau yang digantung keahlian selama enam tahun itu mendakwa Ahmad menjelang PRU15 tidak mengendahkan pandangan akar umbi berhubung calon pilihan raya.

“Dia tidak menjadi penasihat yang betul kepada presiden,” kata Tajuddin, yang menambah ramai dalam kalangan akar umbi tidak mahu calon pilihan pimpinan parti.

“Mereka dah bagi tahu parti, tapi Ahmad tak nak dengar. Mereka nak calon tempatan tapi parti tetap hantar calon luar. Jadi berlaku pemberontakan dari akar umbi. Mereka pilih calon lawan sebagai protes. Siapa yang rugi?”

Bekas pengarah pilihan raya Umno itu kemudian berkata beliau pernah membangkitkan isu ini.

“Sebelum ni saya tegaskan dengar akar umbi, jangan dengar orang keliling yang mengampu.

“Tengok apa yang berlaku sekarang.”

Kehadiran Tajuddin di persidangan tahun ini mencetuskan kejutan, walaupun rayuan keahliannya masih menjadi tanda tanya. Keahliannya digantung enam tahun pada Oktober tahun lalu, sebelum PRU15 pada November.

Umno merekodkan kekalahan terburuknya pada PRU15 apabila hanya menang 26 kerusi.

Friday, May 26, 2023

PRN: Tiada logo DAP, UMNO atas kertas undi kata Mat Maslan

agendaily.com
26/05/2023
Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli UMNO memangkah calon parti daripada kerajaan campuran pada PRN nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) perlu saling membantu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau menyeru agar semua pihak menghentikan polemik susulan kenyataannya sebelum ini yang menggesa ahli UMNO menyokong calon DAP pada PRN nanti.

“Bila berada dalam satu pasukan, kita perlu saling bantu-membantu. Tiada logo DAP mahupun UMNO di atas kertas undi.

“Hanya logo gabungan, iaitu BN atau PH dan lawan kita adalah Perikatan Nasional (PN). Itu jelas. Apa nak dirisaukan? Tak perlu polemikkan kenyataan saya begitu hebat,” katanya.

Baru-baru ini, Ahmad dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Menurutnya, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.

Kenyataan itu menerima respons negatif di media sosial malah Ahmad juga dikritik atas ‘keberaniannya’ membuat seruan itu ke atas parti bekas musuh UMNO itu.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin UMNO menyifatkan seruan itu tidak salah kerana kini mereka bersama DAP dalam kerajaan campuran.

Friday, May 19, 2023

Lihat calon DAP atas nama kerajaan perpaduan, kata Mat Maslan kepada ahli UMNO

agendaily.com
19/05/2023
Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli UMNO memangkah calon parti daripada kerajaan campuran pada PRN nanti.

Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa semua ahli UMNO agar melihat calon DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai wakil dalam kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itut berkata pengundi UMNO perlu memangkah calon parti dalam kerajaan campuran semasa PRN nanti dan tidak melihat calon itu sebagai wakil DAP atau parti yang lain.

“Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama kerajaan perpaduan, katanya dipetik laporan media selepas dalam sidang media merasmikan Loji Kabel XLPE Federal Power Sdn Bhd di Seksyen 15.

Ahmad atau dikenali Mat Maslan itu juga mengingatkan ahli UMNO untuk mematuhi arahan parti dan mengenepikan sentimen pada diri masing-masing demi kestabilan.

Untuk rekod, UMNO dan DAP, yang dulunya seteru tradisi, kini sama-sama menjadi sebahagian daripada kerajaan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan dua gabungan parti pemerintah di Malaysia Timur – Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.

Kerajaan ini juga disokong oleh Warisan, Muda, dan parti-parti lain serta wakil rakyat bebas.

Ahmad ditanya samada ahli UMNO bersedia untuk mengundi calon DAP dalam PRN akan datang di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Enam negeri ini dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada akhir Jun.

Menurut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamatnya tempoh atau pembubaran DUN.

Friday, March 17, 2023

Mat Maslan kata ahli UMNO dipecat tak usah masuk campur lagi

agendaily.com
17/03/2023
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuruh bekas pemimpin UMNO yang dipecat supaya tidak mencampuri urusan dalaman parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuruh bekas pemimpin UMNO yang dipecat tidak mencampuri urusan parti itu kerana sudah tiada lagi kaitan dengan mereka.

Beliau juga berkata, UMNO tidak memerlukan pandangan mereka untuk menentukan hala tuju parti itu.

“Saya pun hairan, mereka masih bercakap berkaitan parti UMNO.

“Cakaplah dengan parti sendiri (kalau dah masuk parti lain), biar UMNO urus sendiri, tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya menurut laporan Utusan.

Terdahulu beliau melawat perusahaan membuat otak-otak di Pontian Besar, hari ini (17 Mac 2023).

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menyatakan kedudukan Presiden UMNO masih boleh digugat, termasuk digulingkan, sekiranya mendapat undi tidak percaya dua pertiga ahli Majlis Tertinggi (MT).

Noh dipecat sebagai ahli UMNO pada 27 Januari lalu. Selain Noh, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Sahidan Kassim yang kini Ahli Parlimen Arau daripada Perikatan Nasional (PN) cuba mengemukakan usul tergempar tentang kewujudan surat yang dikatakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Dewan Rakyat.

Turut dipecat ialah bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Khairy dengan nada sinis mempersoalkan sama ada pemilihan UMNO masih relevan atau tidak, kerana parti itu sendiri telah menjadi pilihan ketiga dalam kalangan pengundi Melayu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, lebih baik mereka memberikan tumpuan terhadap parti yang telah mereka sertai daripada mengambil tahu mengenai hal UMNO ketika ini.

Ditanya kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet selepas Pemilihan UMNO tahun ini, beliau enggan mengulas kerana kuasa pelantikan terletak di tangan Perdana Menteri.

“Tiada dalam pengetahuan saya mengenai perkara tersebut,” katanya.

Saturday, December 10, 2022

Mat Maslan gembira kongsi jawatan timbalan menteri dengan DAP

agendaily.com
10/12/2022
Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP terpaksa mengutamakan UMNO dalam pemberian jawatan menteri kerana tidak mahu kehilangan sokongan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan gembira dan berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian akan berkongsi jawatan itu dengan rakan baharunya daripada DAP, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Pelantikan kedua-duanya diumumkan Anwar malam tadi, yang turut menyenaraikan barisan timbalan menteri kerajaan PH-UMNO.

Dalam Twitternya , Ahmad berjanji berpegang kepada prinsip mulia dalam memberikan perkhidmatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Beliau turut berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik serta gigih berkerja demi rakyat dan negara.

“Saya akan berikan khidmat yang terbaik, gigih bekerja demi #rakyat dan negara dengan berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia,” kata Ahmad.

Ahmad sebelum ini pernah berkhidmat di bawah portfolio sama ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Anwar memberi enam kerusi menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), kepada UMNO yang mempunyai 26 kerusi Parlimen, menyebabkan DAP yang mempunyai 30 kerusi Parlimen tidak puas hati apabila diberi empat jawatan menteri.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow berkata terdapat parti politik yang kerusinya kurang berbanding DAP, tetapi sebaliknya mendapat lebih banyak jawatan menteri.

Menteri daripada UMNO ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (TPM); Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi); Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar).

Anwar juga melantik Ahli MT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi; dan Bendahari UMNO Selangor Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Sementara itu, Steven Sim yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di atas pelantikan itu.

Monday, November 28, 2022

UMNO masih kuat jika Zahid jadi Presiden, kata Mat Maslan

agendaily.com
28/11/2022
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih kekal menerajui UMNO, dijangka parti itu akan bertambah kuat dan tidak ada keperluan untuk meletak jawatan, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu percaya Zahid masih layak untuk kekal sebagai Presiden parti kerana masih mendapat kepercayaan ahli-ahli parti tersebut, ia walaupun prestasi terburuk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

Jelasnya, semua peringkat kepimpinan parti dalam Barisan Nasional (BN) termasuk pengerusinya, Zahid

Sebalikny, Ahmad berkata lebih elok bermuhasabah terhadap perkara duka itu dan bersama BN mencari penyelesaian atas segala kekurangan selain merapatkan kembali saf parti.

“Kalau nak suruh letak jawatan, ramai betul kena letak jawatan… ada 7,000 lebih Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Malaysia, ketua PDM, pengerusi perhubungan, ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri yang tak dapat tarik pengundi muda dan baharu, terlalu ramai.

“Jadi, jangan ada sesiapa yang letak jawatan, kita muhasabah atas apa sudah berlaku. Kita bersyukur walaupun menang sedikit pada PRU15, namun kemenangan itu sangat penting. Kita rapatkanlah kembali parti kita,” katanya dipetik laporan Bernama.

Sementara itu, Ahmad berharap pelantikan barisan Kabinet baharu di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dirunding bersama pengerusi BN atau pucuk pimpinan parti itu.

“Saya berharap ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, perundingan hendaklah dibuat dengan pucuk pimpinan kerana mereka menjadi suara kepada parti,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyarankan agar UMNO Bahagian menganjurkan sesi dialog dan penerangan bagi memberikan penjelasan keputusan BN menyertai kerajaan perpaduan serta pelbagai perkara lain berhubung parti.

Sunday, November 27, 2022

Bincang dulu dengan Zahid, Tok Mat sebelum umum Kabinet, kata Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 27, 2022 1:37 PM
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata Umno tidak dipanggil berunding dalam pembentukan Kabinet ketika kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim diminta mengadakan rundingan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pemilihan Kabinet terutama membabitkan gabungan itu, tindakan yang tidak dilakukan dalam pembentukan dua Kabinet terdahulu.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, mencadangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan dipanggil berunding sebelum senarai Kabinet diumumkan, yang dijangka diumum pada minggu depan.

“Kali ini, presiden Umno yang juga pengerusi BN perlu dirundingi untuk buat keputusan pembentukan Kabinet kerajaan perpaduan. Saya difahamkan ketika Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin (perdana menteri kelapan), presiden dan timbalan presiden Umno tidak dirundingi.

“Maka anggota Kabinet yang dilantik (Muhyiddin) itu tidak mengikut hierarki parti. Itu yang berlaku ketika Muhyiddin jadi perdana menteri.

“Saya harap Anwar yang jadi perdana menteri ke-10, berunding dengan pucuk pimpinan parti terutama presiden parti supaya ia jadi suara parti itu bukan orang-orang lain yang jadi suara parti. Ini adalah kebaikan semua pihak,” katanya menurut Berita Harian.

Ahmad ketika mengulas lanjut, berkata adalah adil dan wajar presiden dan timbalannya dibawa berbincang untuk memilih calon terbaik bagi dinamakan sebagai timbalan perdana menteri.

Wednesday, October 19, 2022

PRU tengkujuh: Kalau hujan, pakailah payung - Ahmad Maslan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 19, 2022 4:48 PM
Di tengah-tengah kebimbangan PRU15 akan diadakan pada musim tengkujuh, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata pengundi masih perlu keluar mengundi meskipun cuaca mendung.

Menjawab soalan mengenai kesan iklim terhadap peratusan keluar mengundi, Ahmad berkata hujan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak mengundi.

“Bukan ada rusuhan pun, tak pernah ada rusuhan sepanjang 14 kali PRU diadakan di Malaysia, aman damai sahaja.

“Kalau hujan, pakailah payung. Jadi pada saya, mereka perlu keluar mengundi," katanya seprti dipetik Astro Awani hari ini.
Ahmad juga berkata dia menjangkakan jumlah keluar mengundi pada PRU15 boleh mencapai 75 peratus, anggaran lebih rendah daripada 82.32 peratusan rasmi keluar mengundi dalam PRU14 2018 lalu.

Pada PRU14, peratusan keluar mengundi berjumlah 12,229,514 juta pengundi daripada 14,940,624 pemilih berdaftar.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi sebanyak 75 peratus akan mewakili lebih daripada angka PRU14, dengan angka rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya setakat Ogos mencatatkan 21,186,761 juta pemilih berdaftar - lebih sejuta daripadanya dilaporkan akan menjadi pengundi kali pertama berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Pengundi jenis tak kisah

Ahmad berkata anggarannya berdasarkan bilangan pemilih berdaftar yang lebih tinggi, termasuk mereka yang mempunyai cuma "sedikit minat" dalam melaksanakan hak mereka.

"Mereka jenis tak kisah apa berlaku di kiri dan kanan mereka, mungkin malas nak ambil bahagian dalam proses demokrasi jadi saya ramalkan secara peribadi mungkin yang keluar mengundi adalah 75 peratus.

“Mereka yang tak keluar mengundi itu secara tak langsung telah menyerahkan hasrat mereka itu kepada mereka yang keluar mengundi - walaupun itu tidaklah yang setepatnya - tapi kalau mereka tak keluar, itulah yang boleh disangkakan," jelasnya.

Thursday, October 6, 2022

Tiada agenda tergempar, hanya mesyuarat biasa bincang manifesto PRU15, kata Ahmad

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 6, 2022 11:15 PM
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, pertemuan pucuk pimpinan tertinggi itu pada malam ini hanyalah perjumpaan rutin yang sering diadakan Umno.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang agenda tergempar dibincangkan dalam mesyuarat parti itu malam ini.

Beliau berkata, pertemuan pucuk pimpinan tertinggi itu hanyalah perjumpaan rutin yang sering diadakan parti itu.

“Memang kami ada mesyuarat, siang ada mesyuarat, petang ada mesyuarat, malam ada mesyuarat. Perbincangan yang tajuk berbeza-beza, malam ini cuma mesyuarat biasa daripada siri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan,” katanya ketika ditemui di Menara Dato Onn.

Ditanya jika antara intipati pertemuan itu membincangkan manifesto pilihan raya umum ke-15 (PRU15), beliau berkata, perkara itu normal untuk diketengahkan dalam mesyuarat parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin yang hadir kira-kira 7.40 malam tadi berkata: “Bincang manifesto,” jawabnya ringkas apabila ditanya mengenai kehadirannya pada malam ini.

Turut hadir Ketua Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Terdahulu, antara individu yang hadir dalam pertemuan itu adalah bekas ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mengulas kedatangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu ke Ibu Pejabat Umno, beliau berkata, ia hanyalah kunjungan biasa.

“Pelbagai pihak datang berjumpa dengan kita. Sesiapa pun boleh berkunjung, termasuk duta-duta dan ini adalah persediaan yang biasa,” katanya.

Sunday, September 25, 2022

Kenyataan ‘Zahid calon PM’ tidak benar, kata setiausaha agung Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 24, 2022 11:30 PM
Ahmad Maslan meminta orang ramai merujuk kepada media sosial rasminya untuk memastikan kesahihan kenyataan dikeluarkan.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu akan mengangkat presidennya Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata kenyataan dikeluarkan atas namanya yang tular di media sosial itu selepas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berkait visa luar negara (VLN), adalah palsu.

“Mudah sahaja untuk mengetahui benar atau tidak ia kenyataan daripada saya, semak semua saluran media sosial saya iaitu Twitter, Facebook, Instagram dan TikTok.

“Jika tiada ia palsu,” tulisnya di Twitternya.

Dalam kenyataan media palsu yang kononnya dibuat Ahmad itu, kenyataan itu mendakwa Majlis Kerja Tertinggi Umno akan bermesyuarat pada 30 September depan untuk membincangkan cadangan mengangkat Zahid sebagai perdana menteri daripada BN pada PRU15.

Keputusan itu diambil susulan pembebasan Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berkait VLN.

Zahid dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan kontrak sistem visa asing. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Sunday, September 18, 2022

PRU-15 mungkin antara Oktober hingga Disember

hmetro.com.my
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com
Ahmad Maslan menunjukkan demontrasi sukan rakyat selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi. FOTO FARID NOH

Pontian: UMNO yakin Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan antara Oktober hingga Disember ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, ia susulan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Katanya, bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU-15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.

"UMNO yakin PRU-15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).

"Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU-15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

"Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU-15," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan 'Top Five' mengenai pembubaran Parlimen.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengesahkan pertemuan dan rundingan Top Five UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.

Katanya, walaupun Top Five sering bertemu secara tidak rasmi serta tidak diumumkan secara terbuka di media, pertemuan pada 30 September itu akan diteruskan seperti sudah dirancang.

"Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan Top Five secara tidak rasmi.

"Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat Top Five diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.

"Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi di luar," katanya.

Top Five UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

Sunday, September 11, 2022

Orang Melayu tak lupa Dr Mahathir jadi punca UMNO jatuh, kata Mat Maslan

agendailt.com
11/09/2022
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad berpakat dengan DAP dan parti pembangkang lain untuk menjatuhkan UMNO tidak akan dilupakan orang Melayu, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu yakin orang Melayu tidak akan menyokong parti Pejuang diketuai Dr Mahathir pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) kerana tindakannya menjatuhkan UMNO sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disumbat ke penjara selepas disabitkan bersalah kes rasuah SRC International Sdn Bhd baru-baru ini.

“Orang Melayu tidak lupa dengan tindakan beliau apabila berpakat dengan DAP dan parti pembangkang lain bagi menjatuhkan UMNO pada PRU-14.

Disebabkan angkara Tun Dr. Mahathir itu, akhirnya negara porak-peranda dan kesannya sehingga sekarang,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Ahmad atau dikenali sebagai Mat Maslan itu berkata tidak adil untuk menuduh semua ahli UMNO terlibat rasuah hanya kerana segelintir sahaja yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.

“Ini suatu yang tidak adil, UMNO sebelum ini pernah memayungi dan menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, mengapa begitu benci beliau kepada UMNO,” soalnya.

Ahmad memberitahu, parti terbesar orang Melayu itu akan terus berjuang bagi memastikan BN memenangi PRU15 dengan majoriti besar.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

Pengerusi Pejuang itu kini sekali lagi dalam cubaan untuk menjatuhkan UMNO yang kini sudah menjadi kerajaan pusat semula selepas kejayaan pada PRU-14 lalu.

Susulan kejayaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu, beberapa pemimpin utama UMNO kini sedang berdepan puluhan pertuduhan kes mahkamah, ia termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Mat Maslan sendiri yang sebelum ini didakwa di mahkamah.

Untuk rekod, Najib yang dihadapkan ke mahkamah sebelum ini sudah disabitkan bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan jenayah menyeleweng dana negara.

Saturday, September 3, 2022

Najib ke penjara: Umno tak mahu rakyat ‘marah’ kepada PM, kata Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 3, 2022 5:15 PM
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan emosi marah dan simpati kepada Najib Razak akan digunakan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

PETALING JAYA: Umno tidak mahu rakyat “marah” kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak, berhubung kes SRC International, kata setiausaha agungnya, Ahmad Maslan.

Katanya, sebaliknya, kemarahan mereka perlu ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) kerana melakukan pendakwaan terpilih.

Sambil cuba mengaitkan sentimen “emosi rakyat” yang pernah berlaku pada pilihan raya umum 1999, beliau berkata, rakyat simpati kepada Anwar Ibrahim dan marah kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

“Kami tidak mahu rakyat marah kepada perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi rakyat perlu marah apabila berlaku pendakwaan politik berpilih ketika pemerintah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018/2019,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Ahmad juga mendakwa 70% ahli Umno berdukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib.

Katanya, selebihnya 30% terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu tidak kisah dengan hukuman tersebut dan satu lagi menghormati keputusan mahkamah.

Menurutnya, Umno tidak mahu bergembira atas kedukaan orang lain, sebaliknya politik bukan hanya mengenai data, fakta, angka malah juga berkaitan emosi yang ketika ini adalah dukacita dan marah.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan emosi marah dan simpati kepada Najib akan digunakan bagi menghadapi PRU15.

“Emosi marah dan simpati tidak harus disia-siakan oleh ahli-ahli Umno kerana boleh digunakan bagi menarik simpati rakyat dengan apa yang menimpa bekas perdana menteri itu,” katanya.

Pada 23 Ogos, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC, menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 mengekalkan hukuman dan sabitan ke atas Najib.

Friday, August 19, 2022

UMNO negeri tiada kuasa autonomi bekerjasama dengan PAS, Bersatu

agendaily.com
19/08/2022
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

UMNO tidak membenarkan mana-mana bahagiannya atau badan perhubungan negeri untuk mengadakan sebarang kerjasama politik dengan PAS mahupun Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau memberitahu UMNO negeri dan pemimpin akar umbi bahwa mereka tidak mempunyai kuasa autonomi berbuat demikian, sebaliknya perlu merujuk kepada keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac.

“Setakat ini kami berpegang kepada keputusan perhimpunan agung pada Mac lalu. Keputusan adalah untuk seluruh parti dan tidak terkecuali. Keputusan itu tidak diubah dan ia adalah keputusan tertinggi.

“Perhimpunan itu tidak menyebut pengecualian di mana-mana negeri,” Ahli Parlimen Pontian itu dipetik sebagai berkata dalam laporan Utusan hari ini.

UMNO, PAS dan Bersatu membentuk pakatan lemah untuk menggulingkan gabungan Pakatan Harapan (PH) namun perpecahan menyebabkan ketiga-tiga parti itu bertanding sesama sendiri dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang telah mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai ketua daripada gabungan itu.

Namun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dilaporkan menyokong untuk meneruskan kerjasama politik antara partinya dan PAS di bawah panji-panji Muafakat Nasional (MN) untuk pilihan raya umum akan datang, yang ramai percaya akan diadakan sebelum tahun ini berakhir.

Bahagian UMNO negeri lain, termasuk Pulau Pinang, dilaporkan berminat untuk menggunakan pendekatan yang sama, mengadakan kerjasama dengan PAS melalui MN.

Mengulas lanjut, Ahmad bagaimanapun percaya Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO mampu untuk menang pada PRU-15 tanpa perlu bekerjasama dengan parti lain.

Beliau memberi contoh kemenangan besar BN pada PRN Melaka dan Johor untuk menyokong dakwaannya.

Ditanya sejauh mana keyakinannya terhadap peluang BN pada PRU-15, Ahmad berkata pengundi di kedua-dua negeri itu kembali menerima BN.

“Jadi saya harap kemenangan dapat diberikan di Selangor dan juga beberapa negeri lain.

“Mengenai MN, kami langsung tidak menyentuhnya semasa PAU Mac lalu. Kami hanya berkata BN akan pergi secara solo,” katanya.

17 Ogos lalu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki berkata PAS dan akar umbi UMNO untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di 27 kerusi Parlimen pada PRU-15.

Menurutnya PAS dan akar umbi UMNO telah membincangkan perkara membabitkan kerusi berkenaan dan cadangan itu akan dimajukan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti, bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Katanya PAS dan UMNO perlu mencapai kata sepakat untuk mengelak pertembungan di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung yang digelar “kerusi Muafakat Nasional (MN)”, dan jika gagal, ianya boleh menyebabkan PH kembali berkuasa.

Wednesday, August 10, 2022

Kerjasama dengan DAP selepas PRU15, Loke akui kekuatan Umno, kata Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 10, 2022 11:35 PM
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, memberi bayangan kesediaan bekerjasama dengan Umno selepas pilihan raya umum menunjukkan parti seteru itu menghormati kekuatan Umno.

PETALING JAYA: Kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan Umno atas premis “segalanya mungkin dalam politik dilihat sebagai “pengiktirafan” mereka kepada kekuatan Umno.

Dalam wawancara disiarkan Facebook ‘Umno Online’, malam ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengambil sikap neutral untuk tidak menolak atau mengiyakan kerjasama boleh dibentuk bersama DAP selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Berbanding nada sebelum ini apabila menyentuh berhubung DAP, Ahmad tidak menyerang parti seteru utama itu, malah seperti “menghargai” kenyataan Loke.

“Baru mereka (DAP) sedar Umno ini parti akar umbi yang paling kuat dalam negara ini. Malu atau tidak, hendak atau tidak, berani atau tidak…mereka terpaksa mengakui perkara itu.

“(Ada) 22,000 cawangan menjadikan struktur Umno cukup kukuh dan apabila kukuh ini dia tidak tercabut dia tidak tumbang akibat tsunami apa pun,” katanya dalam wawancara itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata beliau tidak melihat akan berulangnya tsunami sebesar seperti PRU14.

“Oleh kerana itu, mereka (DAP) hendak tidak hendak mereka mengakui kekuatan Umno,” katanya.

Pada 7 Ogos, FMT melaporkan Loke memberi “bayangan” sebarang kerjasama dengan Umno hanya akan berlaku selepas PRU15 memandangkan politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti dominan tunggal.

Katanya, kemungkinan kerjasama antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.

“Saya tak tolak (sebarang kemungkinan) kerana apa yang penting adalah kita (semua pihak) mesti berasaskan agenda,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-