Thursday, September 16, 2021

'Bulatkan tekad bina Malaysia utuh, aman, merdeka' - Ismail Sabri

bharian.com
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@bh.com.my
 - September 16, 2021 @ 10:51am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat membulat tekad, memperkukuhkan azam serta membugarkan semangat perpaduan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, yang bersatu hati sebagai sebuah keluarga yang berjaya dan dihormati, sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963, masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara.

"Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia yang tercinta ini penuh dengan lembaran yang berwarna-warni.

"Terbinanya sebuah negara bangsa yang disebut dengan bangga sebagai Malaysia, adalah hasil capaian kemerdekaan Tanah Melayu 64 tahun lalu, kemudiannya terbentuk Malaysia enam tahun kemudiannya bersama-sama Sabah dan Sarawak tercinta," katanya menerusi Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, biarpun dipisahkan oleh Laut China Selatan, namun penyatuan bersama Sabah dan Sarawak membina satu negara bangsa yang berjaya dan berdaulat serta Keluarga Malaysia yang tinggal dalam semangat harmoni.

Katanya, Keluarga Malaysia hari ini diwarnai dengan pelbagai warna yang disatukan, dengan penghormatan dan rasa bangga untuk ibu pertiwi.

"Kepada Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi, Selamat Hari Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-