Friday, September 24, 2021

Mahkamah tolak permohonan Rosmah batalkan kes hibrid solar

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 24, 2021 10:34 AM
Dikemaskini: 11:36 AM


Rosmah Mansor gagal dalam permohonannya untuk membatalkan kes rasuahnya berkaitan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah kawasan luar bandar di Sarawak.

Keputusan permohonan isteri Najib Razak itu dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Sebelum ini mahkamah menetapkan 9 Sept lalu untuk tarikh keputusan permohonan berkenaan namun ditangguhkan ke hari ini.

Asas permohonan Rosmah untuk membatalkan perbicaraan rasuahnya bergantung kepada kesahihan surat pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai pegawai pendakwa.

Sri Ram - kini terbabit sebagai peguam persendirian - adalah pendakwa utama dalam perbicaraan rasuah terhadap Rosmah yang diarah mahkamah tinggi membela diri atas pertuduhan tersebut pada 18 Feb lalu.

Dalam prosiding hari ini hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pelantikan Gopal oleh Tommy Thomas - yang menjadi peguam negara sebelum ini - dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Kata hakim terbabit walaupun Gopal pada mulanya dilantik sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) untuk menangani kes-kes jenayah berkaitan 1MDB ke atas Najib, Thomas kemudian secara lisan memberi kuasa kepada peguam terbabit untuk turut bertindak sama bagi kes Rosmah.

Menurut Mohamed Zaini, dia percaya kebenaran diberi Thomas kepada Gopal untuk bertindak sebagai DPP dalam kes Rosmah dilakukan secara sah mengikut seksyen 376 (3) itu.

Kata hakim itu lagi pelantikan Gopal selanjutnya disokong dua surat yang mengesahkan hal tersebut oleh peguam negara sekarang, Idrus Harun, masing-masing bertarikh 8 Julai tahun lalu dan 21 Mei tahun ini.

"Masalah yang berkaitan adalah apakah pelantikan Sri Ram dapat (dilakukan) secara retrospektif (untuk menjadi DPP dalam kes Rosmah).

"Saya setuju dengan pihak pendakwaan bahawa pendakwa raya mempunyai kuasa di bawah Seksyen 50 Akta Tafsiran, dan berhak membuat pelantikan Sri Ram secara retrospektif," katanya.

Seksyen 50 Akta Tafsiran 1948 (1967) menyatakan mana-mana pihak berkuasa - yang diberi kuasa oleh undang-undang bertulis - untuk melantik seseorang menjalankan apa-apa fungsi, dapat membuat pelantikan tersebut dengan kesan retrospektif.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-