Tuesday, September 14, 2021

MoU bukan jaminan PH sokong Belanjawan 2022, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-September 14, 2021
  
Anwar Ibrahim berkata, Menteri Kewangan dan pembangkang bertanggungjawab mengambil sikap terbuka serta bersedia duduk berunding. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hanya akan menyokong atau berkecuali selepas proses Rang Undang-Undang Belanjawan 2022 dirunding dan dipersetujui.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata ini sekali gus menolak tanggapan bahawa PH wajib menyokong RUU berkenaan selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan semalam.

“Ada yang menganggap apabila termeterai MoU ini PH wajib menyokong Belanjawan 2022. Itu tidak benar. Dalam MoU ini disebut kita boleh mengambil pendirian menyokong, berkecuali, bagi undi Belanjawan 2022 selepas proses penggubalan RUU tersebut dirunding dan dipersetujui.

“Ini bermakna tanggungjawab Menteri Kewangan dan pembangkang untuk mengambil sikap terbuka bersedia duduk berunding,” katanya ketika membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, beliau tidak mahu situasi ketika rundingan bagi RUU Belanjawan 2021 berulang.

“Jangan seperti Belanjawan 2021 Menteri Kewangan panggil (pembangkang) ada perbincangan kemudian dia longgok dalam belanjawan, anggap kita dah setuju dan terima.

“Kalau nak ada kerjasama, untuk kita menyokong dan berkecuali mesti ada proses rundingan dan kita bersetuju perkara-perkara asas,” katanya.

Semalam, kerajaan persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang terhasil daripada beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang.

Ia mengandungi tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik bagi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-