Saturday, September 18, 2021

Nak selesai isu logo pun Anwar gagal, tapi bercita-cita jadi PM

agendadaily.com
18/9/2021


Cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim setinggi langit mahu menjadi Perdana Menteri (PM) bagaimanapun masalah kecil berhubung pemilihan logo yang akan digunakan blok pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) pun masih gagal diselesaikan.

Ketua Pembangkang itu sejak 1998 bercita-cita mahu menjadi PM tetapi sudah empat kali jawatan nombor satu negara itu bertukar tangan, tetapi masih dan ia sekadar menjadi angan-angan kosong.

Kini, parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat mencapai kata putus sama ada mahu menggunakan logo rasmi PH atau logo PKR dalam PRU depan, ia satu isu yang kecil tapi Anwar masih tidak dapat menyakinkan rakan parti untuk memilih logo yang terbaik digunakan nanti.

Anwar seperti biasa lagaknya sebagai abang besar pasti mahu logo PKR digunakan dalam PRU nanti, tetapi DAP nampaknya tidak sependapat dengan Presiden PKR itu kerana mahu menggunakan logo PH yang sudah didaftarkan secara sah.

Secara logiknya, apabila sebuah gabungan parti politik ditubuhkan secara sah, logo rasmi yang menjadi simbol kepada gabungan tersebut akan digunakan dalam PRU, sama seperti logo Barisan Nasional (BN) yang digunakan oleh parti-parti komponen yang berada dalam gabungan tersebut.

Semasa PRU Ke-14 lalu, logo PKR digunakan oleh semua parti dalam PH yang bertanding kerana gabungan PH belum didaftarkan. Ia senario yang berbeza dengan sekarang kerana waktu itu pendaftaran gabungan tersebut disekat oleh kerajaan pemerintah BN.

Jadi, apabila sudah berjaya didaftarkan sepatutnya logo rasmi PH yang perlu digunakan oleh parti-parti yang akan bertanding nanti.

Anwar berkata isu berhubung pemilihan logo perlu dirunding terlebih dahulu, persoalannya mengapa tidak membuat keputusan terus untuk menggunakan logo rasmi PH.

Ia secara tidak langsung menunjukkan hasrat Anwar yang mahu rakan parti dalam PH menggunakan logo PKR sama seperti PRU14 lalu, tidak perlu berdolak-dalik dengan berkata perlu berunding terlebih dahulu.

“Kita perlu berunding secara baik kerana masing-masing ada hujah yang kuat,” katanya semasa sidang media semalam.

Itu lah calon PM blok pembangkang, jika dalam isu melibatkan pentadbiran dan kerajaan Anwar boleh membuat keputusan tanpa berdolak-dalik, malah tidak perlu dirunding dan akan terus menyerang sesiapa sahaja musuh politiknya.

Dalam isu yang remeh seperti logo ini beliau berkata perlu dirunding, sungguh kartun seorang pemimpin bernama Anwar ini.

Persoalannya kini, adakah Anwar sebelum menyerang kerajaan dan menjalinkan kerjasama sulit dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan rakan parti komponen dalam PH?

Atau adakah Anwar mengadakan perbincangan dengan Zahid secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pemimpin DAP dan Amanah?

Jika sebelum ini Anwar tidak mengadakan rundingan dengan rakan parti dalam PH, mengapa dalam isu logo ini berkata perlu dirundingi terlebih dahulu?

Banyak persoalan dengan cara Anwar memimpin blok pembangkang kini, tetapi apakan daya apabila ramai fanatik dan pentaksubnya yang setia membabi buta.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan menggesa supaya logo dan bendera parti mereka digunakan calon PH yang bertanding pada PRU15.

Namun, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada DAP yang secara terbuka menolaknya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-