Sunday, September 12, 2021

Pemilihan Timbalan Speaker sebagai usul percaya kepada PM

agendadaily.com
12/9/2021

Keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri membayangi pengundian untuk memilih Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, kerana pencalonan Ahli Parlimen Pontian itu dikatakan dibuat Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menjelang sidang Dewan Rakyat pada Isnin, walaupun tanpa usul undi percaya yang akan dibentang, pemilihan Timbalan Speaker baharu boleh dianggap sebagai ujian bagi menguji keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sekiranya pencalonan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak mendapat jumlah undian majoriti untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker, ia berkemungkinan memberi implikasi yang cukup besar kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri.

Untuk rekod, pemilihan Timbalan Speaker memerlukan pengundian dijalankan untuk menentukan individu yang memiliki majoriti tertinggi dilantik bagi jawatan tersebut.

Secara tidak langsung, isu pemilihan Timbalan Speaker boleh dianggap ujian litmus terhadap pentadbiran Ismail Sabri walaupun tiada usul undi percaya kali ini.

Ahli Parlimen (MP) Pontian itu dicalonkan oleh Ismail Sabri sebagai Ketua Majlis, sementara blok pembangkang mencalonkan MP Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan tiada usul undi percaya yang dibawa terhadap Ismail Sabri pada sidang kali ini.

Susulan itu, pembangkang membuat kritikan keras terhadap Ismail Sabri atas alasan Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah agar usul percaya dibawa ke Dewan Rakyat sebaik mengangkat sumpah sebagai PM Kesembilan.

Isu pencalonan Ahmad sebagai Timbalan Speaker juga mengundang kritikan memandangkan beliau juga sedang berdepan beberapa kes pendakwaan di mahkamah ketika ini.

Ahmad sudah didakwa di mahkamah kerana memberikan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain turut didakwa bersabit tuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) selepas menerima sebanyak RM2 juta daripada bekas PM Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, Ahmad membuat 20 tawaran kepada MP pembangkang dan Bebas bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Timbalan Speaker.

Antara ‘sogokan terbuka’ dikemukakan oleh Ahmad – MP yang bersama Zahid menarik sokongan kepada Kerajaan PN dan Muhyiddin – ialah memperuntukkan RM60,000 setahun dengan kiraan RM5,000 sebulan kepada MP pembangkang dan Bebas untuk menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing.

Peruntukan itu dianggap mencukupi untuk elaun dua staf dan sewa sebuah pejabat.

Ahmad juga menawarkan kepada setiap MP penyokong kerajaan dan pembangkang diberi peruntukan khas untuk sesi libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baru. Tetapi beliau tidak menyatakan berapa jumlah peruntukan itu.

Setiausaha Agung UMNO itu juga mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

Pada masa sama, Ahmad juga menyokong tujuh cadangan kerajaan untuk transformasi Parlimen sebagaimana diumumkan Ismail Sabri, sedangkan itulah juga tawaran yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi ditolak oleh UMNO dan pembangkang.

Apapun, semua 20 tawaran yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO itu adalah sogokan terbuka untuk meraih undi MP pembangkang dan penyokong kerajaan, bagi membolehkan dirinya – yang sedang berdepan dua tuduhan di Mahkamah Tinggi – dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-