Oleh Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my
- Oktober 7, 2021 @ 1:54pm
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada sidang media di Parlimen, hari ini. - FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ahmad berkata, pendirian itu dibuat bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.
Beliau berkata, ia dibuat antara lain selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta tiga Naib Presiden parti itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
"Saya telah memaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pagi tadi, selain berjumpa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengenai keputusan ini.
"Perdana Menteri tentu akan menamakan calon lain dan tempohnya dalam sehari dua ini bagi memenuhi syarat 14 hari dikenakan, sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktober depan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilapor mencadangkan Ahmad sebagai calon tunggal bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
Ditanya mengenai calon baharu susulan penarikan diri beliau pula, Ahmad berkata, ia terpulang kepada Ismail Sabri yang mempunyai prerogatif untuk menentukan individu sesuai dinamakan.
"Ada satu, dua nama diputuskan (oleh Ismail Sabri) tetapi tidaklah dimuktamadkan lagi. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk menamakannya.
"Saya berharap ia daripada kalangan Ahli Parlimen UMNO, namun saya tidak boleh mendahului Perdana Menteri untuk menamakan calon berkenaan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.