Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
Oktober 7, 2021 @ 12:24pm
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan notis rayuan terhadap usul ditolak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk meminta sesi perbahasan diadakan berkaitan pendedahan Pandora Papers.
Rayuan itu dibuat Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson selepas Azhar semalam memutuskan menolak usul membahaskan laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti dan pemimpin agama menyembunyikan wang dan pelaburan mereka.
"Susulan penolakan usul terkait Pandora Papers semalam, hari ini saya sudah mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
"Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan. Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbang dengan sesegera mungkin," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Dalam notis itu yang turut disiarkan di Facebook beliau, Anwar menjelaskan rayuan semula kepada usul asal yang ditolak itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 90(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Semalam, Azhar ketika menjelaskan penolakan usul itu berkata, biarpun akui ia penting dan berkepentingan awam, namun usul berkenaan tidak perlu disegerakan dan mencadangkan supaya dirujuk dan dibincang dalam prosedur lain termasuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Anwar pada Isnin lalu mengemukakan usul berkenaan kepada Azhar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Anwar menyifatkan perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers penting memandangkan dalam laporan itu, ia turut mendedahkan pembabitan beberapa individu termasuk ahli politik di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.