Thursday, October 14, 2021

Kumpulan pro pembangkang puji jati diri Zahid tolak PAS, Bersatu

agendaily.com
14/10/2021

Kumpulan pro pembangkang memuji sikap dan jati diri Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana bertindak mengetepikan PAS.

Tentera cyber blok pembangkang memuji Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pendirian tegas menolak PAS dan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU).

Mereka turut mencadangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan bersidang malam ini menyambut dan memberi sokongan kepada pendirian Zahid itu supaya UMNO kembali dapat memartabatkan parti berkenaan.

Malah kumpulan penyokong Pakatan Harapan (PH) memuji jati diri Zahid dalam usahanya mengangkat semula UMNO selepas parti itu dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada PRU14 di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Menurut mereka, PAS hanya mengharapkan kerjasama tiga parti Melayu bersama UMNO dan Bersatu demi kepentingan nikmat jawatan dalam kerajaan.

Bersatu pula kata mereka mahu bekerjasama dengan UMNO tetapi tujuannya untuk membenamkan parti itu.

Kumpulan pro pembangkang itu menyifatkan langkah Zahid untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PAS memang sudah lama dinanti-nantikan akar umbi UMNO, untuk kembali menjadi parti dominan orang Melayu.

Mereka mengulas kenyataan Zahid yang mengatakan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) sukar direalisasikan, selain kerana gabungan itu tidak didaftarkan, ia juga disebabkan UMNO telah beberapa kali dikhianati PAS.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, Zahid mengulangi penjelasan berhubung isu pengkhianatan yang merujuk kepada PAS kononnya tidak ikhlas menjalinkan kerjasama dengan parti itu.

“Kemudian saya menjawab soalan adakah saya kecewa dengan MN yang pernah dimeterai pada 2019. Saya cakap tidak pernah kecewa sebagai ahli politik. Tetapi kita harus tahu apabila kita berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali, tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” ujarnya lagi.

Kumpulan penyokong PH itu juga berpendapat dengan pendirian yang ditegaskan Zahid selaku Presiden UMNO, mesyuarat MT malam ini sepatutnya tidak sukar atau perlu berhujah panjang lagi dalam membuat ketetapan yang muktamad berhubung kerjasama dengan Bersatu dan juga PAS.

Semuanya telah jelas diungkapkan Zahid dan semua ahli MT mesti menyokong serta mendukung pendirian yang sama, kata mereka.

Umum mengetahui, Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, dan kemudian imenyaksikan 15 Ahli Parlimen (MP) yang dikepalai Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut dianggotai PAS.

Zahid sebelum itu merancang pakatan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Muhyiddin, ia susulan pendedahan klip audio tular antara kedua-dua mereka sebelum ini.

Zahid juga bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak turut menghantar surat menyatakan sokongan terhadap Anwar ke Istana Negara sehingga menyaksikan berlaku satu lagi kemelut politik negara.

Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos lalu seleps hilang majoriti angkara 15 MP UMNO, namun mengambil pendekatan secara diplomasi apabila mencalonkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ismail Sabri akhirnya menjadi PM baharu menggantikan Muhyiddin dan meredakan ketegangan politik yang melanda negara.

Zahid yang terpalit puluhan pertuduhan di mahkamah bagaimanapun masih meneruskan usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri apabila sekarang ini dilihat cuba mencari masalah dengan PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-