Thursday, October 28, 2021

Mat Maslan demam ke, siapa melutut kepada DAP di Melaka?

agendaily.com
28/10/2021

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sepatutnya mencermin dirinya kerana sering melempar tuduhan tidak berasas terhadap Perikatan Nasional (PN), sehingga isu kemelut di Melaka pun masih menyalahkan Bersatu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata faktanya krisis di Melaka berpunca akibat perebutan kuasa sesama pemimpin UMNO di negeri tersebut, malah pemimpin UMNO juga yang melutut kepada DAP sehingga sanggup berunding dengan parti pembangkang meminta sokongan.

“Apa demam Ahmad Maslan ini? Kenapa tidak bercakap mengenai UMNO sebagai perosak kerajaan? Atau UMNO sebagai penolak perpaduan Melayu?

“Yang merayu sokongan DAP ialah UMNO, yang paksa pembubaran DUN Melaka ialah UMNO, yang bergaduh mengenai kontrak pasir ialah UMNO dan yang menjatuhkan Ketua Menteri UMNO ialah UMNO. Ini paling pelik,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau menasihati Ahmad supaya menumpukan kepada masalah perpecahan dalaman UMNO sehingga menjadi punca krisis politik Melaka, malah diperingkat pusat terserlah pergaduhan sesama pemimpin atasan UMNO yang berebut kuasa.

“Agenda kami ialah kerajaan prihatin yang berintegriti, takkan dengan agenda ini pun tidak boleh setuju untuk duduk sekali? Lebih baik Ahmad Maslan tumpukan kepada masalah perpecahan UMNO dan jangan sibuk mengenai Bersatu,” katanya lagi.

Ahmad terdahulu mendakwa Bersatu menjadi pemecah undi kerana penubuhan parti itu merupakan serpihan UMNO.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-