Tuesday, October 26, 2021

Najib saman Tommy Thomas, kerajaan atas 'pendakwaan salah'

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 26, 2021 6:00 PM


Najib Razak memfailkan saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas yang didakwanya membuat pendakwaan salah terhadap beberapa kes jenayah.

Saman itu difailkan menerusi firma Raj, Ong & Yudistra di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu. Saman itu menamakan Thomas dan kerajaan sebagai defendan.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini, bekas perdana menteri itu berkata Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian.

Menurut Najib, dakwaan terhadap Thomas itu berkaitan pendakwaan jenayah terhadapnya berkaitan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), dua kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009.

Dia bagaimanapun menyatakan ia tidak melibatkan pendakwaan berkaitan SRC International Sdn Bhd, dahulunya subsidiari milik 1MDB sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Najib mendakwa susulan penubuhan kerajaan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad selepas menang dalam PRU14, dia dihadapkan dengan 35 pendakwaan jenayah melibatkan empat kes itu.
"Fakta-fakta yang berikutnya akan menunjukkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib adalah sebahagian daripada satu perbuatan yang telah dirancang lama dan dirangka awal oleh Tommy Thomas.

"Juga, ini adalah selaras dengan rancangan kerajaan ketika itu

"Sebagai peguam negara, dia telah menjalankan tugasnya, sekurang-kurangnya yang berkaitan dengan Najib Razak, seolah-olah dia adalah ejen PH.

"Malah, dia akan kemudiannya menghubungkan parti politik Najib, Umno dengan Najib sendiri, orang Melayu dan pendorongan untuk Islamisasi," dakwa Najib.

Dia turut mendakwa, sebelum dan selepas menjadi peguam negara, Thomas telah membuat banyak kenyataan yang prejudis terhadapnya.

Antaranya adalah dia adalah penjenayah yang bersubahat dengan Low Taek Jho, walaupun ketika pertuduhan terhadapnya dibicarakan di mahkamah, dakwa Najib.

Najib antaranya menuntut satu pengisytiharan yang Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, RM1,941,988, ganti rugi am, teladan dan tambahan, dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Menurut senarai kausa dalam talian, pengurusan kes untuk saman itu akan dibuat di Jabatan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 November.

Pada Februari lalu, Najib dilaporkan memfailkan surat tuntutan terhadap Thomas berhubung memoir peguam itu, bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Najib kemudian menuntut Thomas untuk menarik balik memoir itu, membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta atas dakwaan yang terkandung di dalamnya.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-