Showing posts with label Tommy Thomas. Show all posts
Showing posts with label Tommy Thomas. Show all posts

Tuesday, December 20, 2022

Kerajaan, pasukan petugas khas mohon saman Thomas dibatal

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-December 20, 2022 9:48 PM
Buku memoir kontroversi bekas peguam negara, Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ diterbitkan pada Januari 2021.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat buku Tommy Thomas, meminta Mahkamah Tinggi membatalkan saman difailkan bekas peguam negara itu terhadap mereka.

Mereka berkata, saman itu bersifat melampau, remeh, menyakitkan hati dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Sebagai alternatif, defendan mahu mahkamah menggunakan kuasanya untuk membatalkan saman itu bagi mengelak ketidakadilan.

Menurut dokumen mahkamah yang difailkan minggu lalu dan dilihat FMT, defendan juga meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan saman Thomas itu sementara menunggu permohonan untuk membatalkannya.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Shukor Mahmood, yang mengesahkan afidavit bagi menyokong permohonan itu, berkata pasukan petugas khas itu ditubuhkan untuk menjalankan kajian awal mengenai kandungan buku itu sebelum sebarang tindakan diambil.

Shukor berkata, beliau dinasihatkan kerajaan ada hak berbuat demikian kerana buku itu mempunyai kandungan berhubung “kebimbangan awam”, termasuk tuduhan campur tangan kehakiman oleh eksekutif, pendakwaan terpilih dan potensi kebocoran rahsia.

Katanya, walaupun Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob meminta perkara itu disiasat pihak berkuasa berkaitan, tiada tindakan diambil setakat ini, sama ada terhadap cadangan dalam laporan itu atau Thomas sendiri.

Shukor berkata, saman yang difailkan Thomas tidak baik kerana ia dimulakan melalui writ dan bukannya saman pemula.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 13 Jan ini.

Thomas pada 27 Okt lalu memfailkan saman itu terhadap pasukan petugas khas dan kerajaan dengan mendakwa laporan siasatan berhubung memoirnya bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” melanggar undang-undang dan hak Perlembagaannya.

Saman itu difailkan Thomas yang memegang jawatan peguam negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Fong Joo Chung, enam ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, ahli pasukan petugas itu adalah Hashim Paijan, Junaidah Kamaruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Najib Surip.

Thomas memohon perisytiharan pasukan petugas khas itu adalah badan yang menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang bagi melaksanakan fungsi diberikan kerajaan.

Beliau juga mahu perisytiharan bahawa laporan dikatakan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan ke atas Dakwaan-dakwaan dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness”, yang dikeluarkan pasukan petugas itu adalah dokumen tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Monday, November 21, 2022

Agong mesti lantik Anwar jadi PM - Tommy Thomas

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 21, 2022 12:03 PM
Yang di-Pertuan Agong mesti melantik pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana gabungan itu memperoleh kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum, kata Tommy Thomas.

Bekas peguam negara itu berhujah berdasarkan keputusan pilihan raya United Kingdom 1974 yang turut menyaksikan keadaan parlimen tergantung.

Katanya, Ratu Elizabeth ketika itu mengundang gabungan yang memperoleh undi terbanyak untuk membentuk kerajaan.

Justeru, katanya, oleh kerana Malaysia turut menggunakan sistem parlimen Westminster, Anwar patut diberikan peluang diberikan peluang untuk menjadi perdana menteri.

“Agong mesti lantik Anwar jadi perdana menteri,” katanya.

PH mendapat 82 daripada 222 kerusi parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

PN setakat kini mendapat sokongan Blok Borneo untuk mencukupkan bilangan minimum 112 kerusi.

BN yang dilihat mempunyai kuasa penentu belum mengumumkan pendiriannya.

Bagaimanapun pemimpin PH dan BN dikatakan mengadakan pertemuan hari ini.

Tuesday, October 18, 2022

‘Peluru BN’ disebut PM bukti niat jahat hasil siasatan buku Tommy

agendaily,com
18/10/2022
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan.

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata pengakuan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencemarkan hasil siasatan terhadap buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Ia susulan kenyataan Ismail Sabri mengenai keinginannya supaya laporan hasil siasatan pasukan petugas khas itu digunakan sebagai ‘peluru Barisan Nasional’ (BN) untuk menyerang Pakatan Harapan (PH), kata Ambiga menurut Mkini.

Beliau dipetik sebagai berkata serangan terhadap bekas peguam negara berkenaan adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah terjadi sebelum ini.

Ambiga juga menganggap langkah diambil Ismail Sabri tersebut sebagai suatu bentuk serangan ke atas pentadbiran sistem kehakiman negara.

“Untuk mengakui ia (laporan siasatan) memang disediakan untuk menjadi peluru politik membuktikan wujud niat jahat di sebaliknya.

“Sebarang siasatan yang dijalankan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penindasan politik,” kata Ambiga melalui Twitter yang dipetik MKini.

Dalam perhimpunan BN di Bagan Datuk semalam, Ismail Sabri mengakui dia bersetuju menyahklasifikasi laporan siasatan Putrajaya terhadap buku Thomas, My Story: Justice in the Wilderness, agar ia boleh dijadikan ‘peluru politik’ bagi menyerang PH, lapor Mkini.

Beliau mengakui telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar, untuk menyiarkan laporan itu di laman web kerajaan.

“Saya dah beri ‘peluru’… contohnya kita sudah dedahkan kepada umum tentang laporan oleh jawatankuasa khas, menyiasat Tommy Thomas.

“Saya dah beri peluru banyak-banyak. Saya sudah minta kepada menteri undang-undang supaya keluarkan dalam laman web Menteri Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara terperinci mengenai apa dilakukan dan kesalahan-kesalahan oleh Tommy Thomas,” katanya menurut Awani.

Sebelum ini, laporan 822 muka surat itu dibentangkan kepada Kabinet pada 30 September lalu selepas pasukan petugas itu menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan dalam buku Tommy.

Antara lain, Tommy didakwa tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan satu-satunya penyelesaian yang diambilnya untuk menangani kelemahannya ialah melantik peguam luar.

Pasukan itu juga berpendapat Tommy mungkin melanggar undang-undang dan peraturan termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Kanun Keseksaan Malaysia, Akta Suruhanjaya Rasuah, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Susulan itu, Polis Diraja Ma­laysia (PDRM) dilapor mencadangkan Tommy didakwa di mahkamah, dan telah mengemukakan empat kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhu­bung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara itu.

Saturday, September 17, 2022

Tommy Thomas senarai 3 perkara untuk pembangkang ulang kemenangan PRU14

freemalaysiatoday.com
‘Ainin Wan Salleh and Tsubasa Nair
-September 17, 2022 8:05 PM
Tommy Thomas berkata pembangkang perlu mewujudkan persoalan kepada pengundi sama ada mempunyai “kerajaan Melayu” yang menjadikan negara ini lebih baik.

KUALA LUMPUR: Bekas peguam negara Tommy Thomas mencadangkan tiga “perkara penting” perlu diberikan perhatian oleh pembangkang dalam kempen mereka bagi mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pertama, Thomas berkata, pembangkang perlu mewujudkan persoalan kepada pengundi sama ada mempunyai “kerajaan Melayu” yang menjadikan negara ini lebih baik dan cekap.

Beliau mendakwa, punca Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ke-7 kerana beranggapan kerajaan diterajuinya tidak “cukup Melayu”. Dua setengah tahun kemudian, Kabinet didominasi orang Melayu dengan bukan Melayu diketepikan, katanya.

“Pengudi Melayu akan kata mereka (kerajaan Melayu) sudah gagal, jadi pembangkang mesti menjadikannya isu,” katanya dalam forum bertajuk “Dark Forces Towards GE15” yang dianjurkan susulan pelancaran buku tulisan Murray Hunter dan Lim Teck Ghee.

Katanya, pembangkang juga perlu menumpukan kepada rasuah sebagai “barah”, selain mendakwa kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 kerana pengundi menerima berlaku rasuah berleluasa dan skandal 1MDB.

Katanya, pembangkang mesti mengemukakan dalam manifesto pilihan rayanya dengan tiga ke empat cadangan memerangi rasuah.

Ketiga, Thomas berkata, pembangkang sepatutnya menekankan situasi teruk ekonomi dihadapi negara kerana isu seperti itu menyentuh semua rakyat.

Beliau mendakwa, akibat daripada salah tadbir membabitkan dua kerajaan terdahulu, ekonomi negara berada pada tahap terburuk, hutang negara pada tahap tertinggi dan kedudukan mata wang juga pada paras terendah.

Aktivis yang juga peguam, Ambiga Sreenevasan yang bersetuju dengan Thomas bahawa rasuah merupakan “isu besar”, namun menekankan peluang pembangkang menang pada pilihan raya akan datang boleh terjejas susulan masalah dalaman mereka.

“Kebimbangan saya adalah bukan semua dalam pembangkang bersatu. Ia (kemenangan pada PRU15) boleh dicapai, tetapi mereka mesti mempunyai pelan bersama, bersatu,” katanya.

Panelis lain pada forum itu adalah peguam hak asasi manusia dan aktivis, Siti Kasim, veteran DAP Lim Kit Siang dan pengasas bersama Gerak Independent Tawfik Ismail dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Tuesday, September 6, 2022

Mohon semakan kehakiman Mahkamah Persekutuan atas sabitan Najib, peguam diberitahu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 6, 2022 2:50 PM
Zaid Ibrahim berkata, bekas peguam negara, Tommy Thomas baru-baru ini mendedahkan isu dwistandard dalam kes Najib Razak.

PETALING JAYA: Peguam bekas perdana menteri, Najib Razak digesa memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC International.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata, kenyataan bekas peguam negara, Tommy Thomas dalam temu bual media boleh digunakan sebagai alasan untuk dikemukakan di mahkamah.

Thomas dalam temu bual bersama Malaysiakini sebelum ini berkata, beliau memilih untuk mendakwa Najib terlebih dahulu dalam kes SRC International kerana ia “paling mudah untuk dibuktikan”.

Puad menjawab: “Adakah ia mudah dibuktikan atau mudah dimanipulasikan?”

Thomas turut mendedahkan beliau memilih untuk melantik pendakwa luar, Sulaiman Abdullah dan Gopal Sri Ram kerana mahukan peguam berpengalaman dalam kes melibatkan penipuan korporat, komersial dan dana.
Puad berkata, temu bual itu mengukuhkan lagi kepercayaan mengenai pendakwaan terpilih yang dilakukan ke atas Najib.
“Saya yakin temu bual itu hanya menambahkan lagi kesangsian terhadap ketelusan pendakwaan terhadap Najib oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan,” kata pemimpin Umno itu.
Katanya, bukan saja pengamal undang-undang seperti bekas menteri, Zaid Ibrahim, tetapi orang biasa juga boleh melihat wujudnya dwistandard dalam perbicaraan Najib.
Semalam, Zaid mengucapkan terima kasih kepada Thomas kerana mendedahkan isu dwistandard itu dalam kes SRC International.
Zaid berkata, Thomas bercanggah dengan dirinya dengan pada mulanya mengatakan kes itu “paling mudah dibuktikan”, tetapi kemudian dalam temu bual sama mengatakan kes itu “rumit” kerana banyak dokumen dan transaksi yang perlu disemak.
Firma Zaid dilantik untuk mengendalikan rayuan terakhir Najib tiga minggu sebelum ia didengar Mahkamah Persekutuan. Permohonan penangguhan tiga hingga empat bulan untuk bersiap sedia dan menyemak “rekod rayuan banyak” itu telah ditolak.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

Adakah mahkamah ‘berlembut’ terhadap Najib?

malaysiakini.com
James Chai & P Gunasegaram
Diterbitkan: Sep 6, 2022 9:01 AM
EKSKLUSIF | Perbicaraan kes Najib Razak membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) adalah proses yang panjang. Ia mengambil masa selama empat tahun sebelum bekas perdana menteri itu dipenjara.

Bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang memulakan prosiding itu mengulas mengenai proses mahkamah dan beberapa cara untuk mempercepatkannya dalam bahagian kedua temubual eksklusif bersama James Chai dan P Gunasegaram.

Malaysiakini: Jika diimbas semula, pada pendapat anda, adakah anda rasa mahkamah “berlembut” dengan Najib memandangkan tempoh yang diambil untuk kes itu selesai, dan jenis bantahan yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, nampaknya terdapat lebih banyak kelonggaran berbanding yang diberikan kepada orang biasa?

Tommy Thomas: Saya boleh jawabnya begini... Saya mempunyai pengalaman perbicaraan yang agak banyak, tetapi dari aspek perundangan sivil, dan apabila anda melakukan perbicaraan yang besar, ini bermakna tiga atau empat minggu atau lebih, kami selalu mengatakan kami mahu ia diselesaikan sekali gus. Jadi, jika perbicaraan empat minggu, berikan kami satu bulan, Isnin hingga Jumaat setiap minggu, sepanjang bulan, dan hakim cuba untuk mengaturkannya.

Saya berkata kepada (hakim perbicaraan) hakim (Mohd) Nazlan Mohd Ghazali) (untuk melakukannya sekali gus), dan sebabnya sangat jelas iaitu kerana ia lebih efisyen untuk peguam dari kedua-dua belah pihak dan untuk mahkamah memberi tumpuan kepada satu kes selama empat minggu, lima minggu, dua bulan atau tiga bulan: ia adalah lebih efisyen.

Sudah tentu, (peguam Najib, Muhammad) Shafee (Abdullah) membantah, mengatakan ia tidak pernah berlaku sebegitu di mahkamah jenayah. Tetapi hakim Nazlan tidak melayan permintaan saya. Kesannya - seperti yang anda tahu - perbicaraan dijalankan secara berperingkat. Jadi anda diberikan dua minggu, kemudian rehat, kemudian tiga hari, kemudian rehat, dan saya rasa perbicaraan itu berlangsung selama 50 atau 60 hari, tetapi menjangkau dua tahun.

Di tempat lain di dunia, dalam perbicaraan Roger Ng di AS, ia mengambil masa dua minggu. Perbicaraan Boris Becker di London pula adalah selama satu minggu. Mereka masuk penjara serta-merta.
Roger Ng
Dua bulan, saya rasa, untuk Roger Ng.

Perbicaraan itu sendiri adalah kira-kira tiga minggu. Mereka ada (waktu) rehat. Kita mempunyai masalah struktur di Malaysia dan ia disebabkan oleh peguam Malaysia yang tidak mahu perbicaraan berlangsung dari awal hingga akhir. Jadi mari kita salahkan peguam dahulu, dan mahkamah juga keberatan untuk berbuat demikian (memanjangkan perbicaraan).

Jika mereka menerima cadangan saya, kita akan melaluinya dengan tiga bulan perbicaraan sahaja, dan kemudian akan ada reserved judgement, dan hakim boleh memberikan penghakiman. Dan itulah yang berlaku di Mahkamah Rayuan dan, lebih kurang di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan memberi tempoh 10 hari, Mahkamah Rayuan memberi 15 hari, jadi kedua-dua mahkamah itu lebih terbuka dengan apa yang kita cadangkan.

Mengenai masalah penstrukturan. Saya masih ingat dalam buku anda, anda ada menyentuh tentang bagaimana - dalam kes jenayah - terdapat juga keperluan dalam dokumen asal untuk maker (orang yang membuat atau menghasilkan sesuatu) dipanggil. Dan ini melambatkan proses mahkamah. Bolehkah anda jelaskan tentang perkara itu dan sama ada terdapat isu penstrukturan lain dalam undang-undang yang menyebabkan perbicaraan jenayah berlangsung sekian lama?

Beberapa negara telah bergerak ke hadapan untuk jenayah kolar putih. Tetapi Malaysia tidak. Jadi Malaysia masih memerlukan, dalam kes jenayah, untuk dokumen asal dikemukakan oleh maker. Sebelum ini, saya bercakap tentang resolusi, dokumen KWAP (Kumpulan Wang Persaraan), minit dan sebagainya. Jadi, terdapat setiausaha syarikat tampil dan berkata, "Saya adalah setiausaha syarikat pada tarikh sekian-sekian, ini adalah buku minit asal, ini adalah resolusinya."

Jadi, jika anda tidak mempunyai dokumen asal, ia tidak diterima?

Betul… Sedangkan dalam kes sivil, segala-galanya dilakukan dengan salinan fotokopi dan semua orang yang berkenaan mempunyai sekumpulan dokumen: peguam plaintif, peguam defendan, hakim dan saksi, semuanya mempunyai salinan. (Tetapi) jika salah seorang daripadanya mencabar keaslian dokumen - jika seseorang mengatakan bahawa ia bukan dokumen tulen - anda perlu bawa dokumen asal.

Dalam banyak-banyak pengalaman perbicaraan saya, tidak pernah ada keperluan untuk membawa maker atas sebab pemalsuan atau sebagainya. Jadi saya fikir dalam perbicaraan kes SRC, kami memanggil 50 atau 60 saksi, dan mungkin 20 hanya maker. Mereka adalah saksi nominal, malah tidak banyak pemeriksaan balas juga, kerana dia hanya akan mengesahkan, "Ya, itu adalah dokumen saya".
Jadi negara lain telah memperkenalkan peruntukan baru: mendesak peguam untuk bertukar dokumen dan mencapai persetujuan. Dan jika mereka tidak mencapai persetujuan, maka hakim perbicaraan akan mengambil pendekatan yang sangat praktikal dalam pengurusan kes dan berkata: “Apakah dokumen yang anda bantah? Mengapa? Kenapa anda memerlukan maker?" Dan kemudian hakim memutuskan (berhubung kes itu) sebelum perbicaraan, jadi semuanya akan menjadi lebih lancar.

Jadi salah satu perkara yang saya fikirkan semasa saya menjadi peguam negara ialah untuk meminda Kanun Prosedur Jenayah agar mempunyai ‘trials by photocopies’. Itulah cara paling mudah untuk difahami. Malangnya, ia tidak menjadi kenyataan.

Mengenai perkara berkaitan, dari mahkamah majistret pada awalnya, ke mahkamah tinggi hingga berakhir di Mahkamah Persekutuan, peguam bela sentiasa mengemukakan permohonan seperti gag order (arahan kes tidak diperkatakan kepada umum), permohonan penangguhan untuk melengah-lengahkan perbicaraan. Adakah anda fikir terdapat dakwaan yang sah yang boleh dikatakan bahawa terdapat usaha konsisten untuk melengahkan prosiding atau adakah anda fikir permohonan tersebut sah?

Jangan lupa bahawa proses litigasi adalah bertentangan, oleh itu saya mungkin berat sebelah. Biasanya, plaintif yang mendengar permohonan defendan akan berfikir, bahawa ia adalah suatu pembaziran masa, remeh dan sebaliknya. Itu adalah sifat manusia, begitu juga antara pendakwaan dan pembelaan.

Sebaik saja anda menerima sifai berat sebelah ini, saya fikir kebanyakan permohonan oleh pihak pembelaan adalah remeh dan tanpa merit. Saya fikir semuanya dibantah. Saya tak ingat mana permohonan yang dikekalkan. Tetapi pembelaan melakukannya, dan mahkamah perlu membuat keputusan dengan cepat, di mana hakim dalam kes ini akan melakukannya.

Silap kami adalah pada penangguhan dan masa, yang mana saya telah jelaskan tadi. Sistem mahkamah kita mungkin mudah dari segi penangguhan, dan sekali lagi, itu adalah masalah Malaysia. Sistem perundangan Malaysia terkenal dengan penangguhan yang mudah. Kita selalu begitu. Sama seperti India, yang terkenal di dunia ini dengan penangguhan yang mudah, dan akibatnya berdepan dengan kelewatan.

Ia adalah endemik.

Adakah anda fikir sistem itu perlu diubah, dan mungkin struktur baru dilaksanakan agar perbicaraan lebih pantas?

Saya setuju, tapi terdapat - pertama sekali - ia mendapat tentangan yang hebat daripada Badan Peguam, jadi kita salahkan peguam terlebih dahulu.

Peguam di Malaysia, adalah yang pihak yang pertama menentang sebarang pembaharuan. Kita mungkin boleh ada jawatankuasa (membabitkan) hakim, hakim bersara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Peguam, dan memutuskan: "Kita tidak boleh teruskannya, kita mesti adakan perbicaraan dengan lebih cepat dan lebih cekap". Jadi, pada asasnya, paksa peguam untuk perbaiki sistem.
Sebahagian besar kes pembelaan adalah bergantung kepada kemungkinan berat sebelah. Mereka berpendapat bahawa terdapat konflik hakim Nazlan ketika di peringkat mahkamah tinggi, kerana dia adalah ketua penasihat undang-undang Maybank, kemudian mereka cuba menggugugurkan (ketua hakim) Tengku Maimun (Tuan Mat) disebabkan hantaran Facebook suaminya. Adakah terdapat unsur berat sebelah, dan jika ia benar, sejauh manakah ia mempengaruhi keputusan tersebut?

Semua perkara ini berlaku di Mahkamah Persekutuan, bukan di mahkamah tinggi. Jadi saya tidak ada pengetahuan berhubung perkara ini secara peribadi kerana saya tidak berada di mahkamah persekutuan. Dan pengetahuan saya adalah sama seperti orang lain dalam domain awam.

Tetapi ya, saya sentiasa menenangkan pasukan saya dengan memberitahu mereka bahawa perkara seperti ini memang berlaku, dan apabila permohonan (berat sebelah) sedemikian dibuat, itu adalah petanda jelas bahawa pihak yang membuat permohonan sedemikian tidak mahu kes itu dibicarakan berdasarkan merit.

Apabila anda mempunyai kes yang lemah dari segi merit, dan merit itu sama ada undang-undang, fakta, saksi, dokumen atau keseluruhan kes (adakah kita akan menang atau kalah?).

Apabila peguam mempunyai kes yang lemah dari segi merit, mereka beralih kepada permohonan sedemikian. Dan ini adalah helah lama. Jadi anda hanya perlu melihat mereka dengan tenang dan tenteram, hadapi saja mereka.

Mahkamah Persekutuan memberi mereka 10 hari, yang merupakan (tempoh) sangat selesa, kerana ini adalah mahkamah tertinggi. Biasanya anda bernasib baik jika anda mendapat satu hari untuk pendengaran rayuan. Najib mendapat 10 hari yang ditetapkan kira-kira lima bulan lalu. Namun dia datang ke mahkamah dan tidak mahu meneruskan rayuannya atas merit. Jadi ia memberi gambaran tentang kekurangan merit dalam rayuannya.

Mengenai perkara yang sama, saya terkejut apabila melihat di Mahkamah Persekutuan, dengan beberapa peguam terbaik dari kedua-dua belah pihak, akhirnya pihak pembelaan tidak mengemukakan satu pun hujahan baru. Seberapa jarang perkara sebegini berlaku di mahkamah tertinggi?

Ia benar-benar luar biasa. Cara terbaik untuk memahami tingkah laku sedemikian adalah jika anda bertanya kira-kira seminggu sebelum ia terjadi kepada mana-mana peguam atau hakim di seluruh dunia dalam perundangan biasa, iaitu 60 negara (dalam Komanwel British) - ia boleh jadi Jamaica, Nigeria, India, Hong Kong atau Kanada, kerana kita semua berkongsi perundangan yang sama - dan jika anda beritahu peguam atau hakim di mana-mana negara ini, “Tengok, inilah yang akan terjadi apabila rayuan dibuat, mereka diberi 10 hari, dan inilah yang akan berlaku,” kesemua mereka akan berkata ia tidak mungkin berlaku, anda memberitahu kami kisah rekaan, peguam tidak akan berkelakuan begini.

Ia sangat luar biasa kerana ia seperti membunuh diri dan kamikaze (berani mati). Kerana akhirnya, tugas pertama seorang peguam adalah kepada anak guamnya - untuk memelihara kepentingan anak guamnya. Bagaimanakah kepentingan kliennya (anak guamnya) dapat dilindungi oleh sikap kamikaze seperti ini?

Klien kini berada di penjara. Tiada sesiapa dalam dunia perundangan yang biasa dapat meramalkan perkara itu. Mereka mencipta kecelakaan kepada diri sendiri. Ia dilakukan oleh mereka sendiri.

Bahagian 1: Thomas - Mengapa SRC jadi kes pertama berkait 1MDB

Esok: Keputusan dan kesan keputusan Mahkamah Persekutuan

Monday, September 5, 2022

Tommy Thomas jelaskan mengapa SRC jadi kes mahkamah pertama berkait 1MDB

malaysiakini.com
James Chai & P Gunasegaram
Diterbitkan: Sep 5, 2022 12:30 PM
EKSKLUSIF | Bekas peguam negara Tommy Thomas, yang memulakan pendakwaan dalam kes Najib Razak, akhirnya bersuara mengenai kes berkenaan dalam satu wawancara.

Dia menceritakan mengenai perbicaraan kes SRC International secara panjang lebar, di mana bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta.

Dalam bahagian pertama daripada empat siri wawancara ini, Thomas menceritakan mengenai latar belakang kes dan bagaimana segalanya bermula. Bahagian kedua membincangkan proses perbicaraan dan kelewatan yang keterlaluan, Bahagian ketiga berkenaan keputusan Mahkamah Persekutuan dan implikasinya, dan bahagian keempat membincangkan proses pengampunan.

Selepas Pakatan Harapan diberikan mandat pada Mei 2018 dan Thomas dilantik sebagai peguam negara, beberapa ahli politik dan lain-lain individu dihadapkan dengan pertuduhan rasuah.

Selain Najib, mereka yang didakwa di mahkamah termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Abdul Azeez Abdul Rahim, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Bung Moktar Radin.

Malaysiakini: Apakah yang menyebabkan anda memilih SRC sebagai kes pertama untuk didakwa? Adakah ia yang paling mudah dari sudut perundangan?

Tommy Thomas: Pada tahap tertentu, pilihan dibuat kerana peguam perlu bergantung kepada arahan dan, dalam kes ini, kertas siasatan.

Jadi bayangkan DPP (timbalan pendakwa raya) dan saya sendiri sebagai peguam melihat dokumen yang diberikan oleh orang lain. Dalam kes ini, ia adalah siasatan SPRM, berbanding agensi lain. Dan SPRM kata fail yang mereka teliti sebelum ini adalah SRC (International). Mereka mengesahkan khabar angin yang tersebar di KL (Kuala Lumpur), iaitu ketika pendahulu saya, Abdul Gani Patail, yang dipecat pada Julai 2016, bahawa SPRM mendahului dalam siasatan SRC, jadi ia hanya menjalankan tugas tersebut.

Itu adalah faktor utama - fail itu datang kepada saya. Mujur, SRC adalah yang paling mudah untuk dibuktikan, kerana jika anda mendedahkan segala-galanya, ia hanya melibatkan kecurian RM42 juta. Jadi, ia mudah untuk dibuktikan.

Anda mengendalikan kes itu pada mulanya dan kemudian menyerahkannya kepada pendakwa luar. Apakah rasional anda memilih pendakwa luar dan bukannya individu dari dalam (Jabatan Peguam Negara)?

Antara perkara pertama yang saya lakukan ialah membentuk dua pasukan 1MDB dalam masa satu atau dua hari selepas memulakan kerja saya, (yang) dibahagikan kepada jenayah dan sivil. Itulah kedudukanya semasa kami mengendalikan pendakwaan pada 4 Julai 2018.

Dua atau tiga kemunculan awal di mahkamah adalah eksklusif dengan DPP. Dan kemudian adalah jelas bahawa kes ini mempunyai banyak dokumen. Dokumentasi yang banyak itu bagus kerana ia membantu untuk membuktikan kes, tetapi anda perlu ada peguam yang benar-benar mahir dengan dokumen ini. Dan ia bukan sekadar membaca dan cuba memahami. Anda perlu mendapatkan konteks dan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan penipuan korporat, komersial dan penipuan kewangan. Peguam yang berpengalaman dalam menangani kes sebegini akan lebih faham dengan masalah berkenaan.

Dan itulah sebab saya memutuskan untuk mendapatkan peguam luar. Saya membuat pengumuman pada Hari Merdeka, 31 Ogos 2018, bahawa kita melantik Sulaiman (Abdullah) untuk mengendalikan SRC, dan (Gopal) Sri Ram untuk kes 1MDB dan kes lain. SRC, secara teknikalnya, bukan sebahagian daripada 1MDB. Ia adalah berasingan. Tetapi untuk rujukan mudah, semua orang meletakkannya sebagai sebahagian daripada penipuan 1MDB, tetapi ditegaskan bahawa ia bukan sebahagian daripada 1MDB.

Saya berazam untuk mendapatkan yang terbaik dan cemerlang. Pada saya, tidak kisah dari mana pun peguam itu. Perbezaan antara pihak awam dan swasta tidak masuk akal. Saya di situ bagi pihak rakyat Malaysia, dan Malaysia berhak mendapat peguam yang terbaik. Sama seperti ketika Covid-19 berlaku, tiada siapa yang mengatakan bahawa itu adalah doktor terbaik Malaysia dan ini adalah hospital terbaik Malaysia, sama ada sektor awam atau swasta, tidak sepatutnya berkerjasama demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Jadi bagi saya, itu adalah pertimbangan yang paling utama. Saya mahu mendapatkan peguam yang terbaik dan hebat.

Anda ada sebut dari sudut undang-undang, kes SRC ini adalah yang paling mudah, dan salah satu sebabnya adalah kerana dokumen-dokumennya sangat lengkap, bermakna minit mesyuarat dan penyata bank semuanya ada. Adakah ia perkara yang biasa bagi mana-mana kes jenayah atau sivil, kerana terdapat begitu banyak dokument-dokumen semasa?

Saya tak boleh pukul rata, tapi sudah tentu untuk semua kes yang saya dakwa, iaitu lima kes Najib, ahli politik lain, dan Rosmah (Mansor, isteri Najib), katakanlah ada 15 atau 20 daripada kes yang saya sendiri putuskan, ada banyak dokumen.

Apakah yang anda maksudkan dengan dokumen semasa ini?

Kita ambil contoh isu wang KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)). Jika anda ingat, SRC ialah sebuah syarikat dengan modal berbayar sebanyak RM2. Penyangak-penyangak ini perlu meminjam, dan oleh itu KWAP, dana pencen, menjadi sasaran untuk meminjamkan RM4 bilion.

Dan KWAP mengatakan atas dasar risiko kredit, mereka tidak boleh meminjamkannya walaupun RM10 kepada syarikat ini kerana ia tidak mempunyai modal berbayar dan tiada rekod prestasi. Ketika itulah KWAP diyakinkan (untuk beri pinjaman) dengan jaminan kerajaan, dan apabila jaminan kerajaan RM4 bilion masuk, ia menjadi bebas risiko.

Inilah yang berlaku, RM4 bilion itu dipinjamkan oleh KWAP, yang bertentangan dengan jaminan kerajaan.
Dokumen semasa bermaksud minit kabinet, surat yang dihantar antara SRC dan KWAP, dan minit KWAP, resolusi oleh SRC (kerana SRC adalah sebuah syarikat) dan slip pembayaran bank. Semua perkara ini disediakan oleh pegawai bank dan pegawai yang bekerja dalam kerajaan dan syarikat ini menjalankan tugas sebagai amalan biasa perniagaan mereka.

Maksud anda dokumen yang menyokong perjanjian itu?

Ya. Dan mahkamah sentiasa meletakkan keutamaan pada dokumen semasa kerana mahkamah menganggap bahawa, apabila ia disediakan oleh orang-orang ini, mereka pada peringkat itu jujur. Mereka mungkin mempunyai niat tidak jujur kemudiannya, tetapi biasanya adalah selamat untuk diandaikan bahawa apabila seseorang itu menyediakan dokumen semasa, ia adalah benar dan boleh dipercayai. Sukar untuk menentang dokumen semasa jika seseorang menandatanganinya.

Semasa melantik pendakwa luar, adakah terdapat tentangan daripada mereka dalam AGC? Pendakwa luar adalah pro bono?

Tak juga. Tiada tentangan pada peringkat awal. Sulaiman, (yang merupakan) DPP sangat disukai - ramai yang belajar daripadanya. Dan Sri Ram, yang mereka hormati, jadi tidak ada masalah dengan mereka berdua. Sulaiman dan Sri Ram mengendalikannya atas pro bono, iaitu tanpa bayaran.

Dan kemudian (V) Sithambaram tampil untuk menggantikan Sulaiman, yang tidak begitu sihat dan tidak dapat menangani kes besar seperti ini.

Pada mulanya, Sitham juga pro bono - kami membayar tambang penerbangan dan hotel, kerana dia bertugas dari Pulau Pinang. Tetapi apabila (kes) menjadi lebih kompleks dan lebih lama dari kami jangkakan, kami memutuskan untuk membayarnya. Kami membayarnya setelah separuh jalan (kes) sehingga ke Mahkamah Tinggi. Saya rasa ia diteruskan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Tidak ada bantahan langsung. Saya fikir ada bantahan, jika ada daripada AGC, adalah jika kita terus melantik lebih ramai lagi (dari luar). Jadi, dalam semua pendakwaan lain, seperti kes rogol wakil rakyat DAP di Ipoh, kes anak perempuan Chandra Muzafar, kes bas Johor Bahru, beberapa inkues, yang mempunyai nilai berita (ada yang saya kendalikan) semuanya dikendalikan oleh DPP.

Pada permulaan pendakwaan kes SRC Najib, saya ingat anda mahu mengadakan sidang akhbar selepas setiap prosiding, tetapi kemudian anda putuskan untuk berhenti apabila terdapat ramai penyokong Najib mengganggu sidang akhbar anda. Saya masih ingat masa anda berhenti, tetapi pada masa yang sama, (Muhammad) Shafee (Abdullah - peguam Najib) dalam setiap prosiding, banyak menyatakan pendapat mereka tentang apa yang dilakukan oleh hakim. Dari sudut pandangan anda, adakah sidang akhbar Shafee sekali gus mempengaruhi pendapat orang ramai?

Secara tradisinya, peguam tidak suka bercakap tentang kes mereka. Malah, terdapat larangan ke atas peguam bercakap tentang kes mereka. Dan DPP semuanya sangat konservatif dan berhati-hati, dan tidak mahu bercakap tentang kes mereka, jadi itulah yang berlaku untuk kes biasa.
Tetapi dalam kes kepentingan negara seperti ini (dan tidak ada kes lain yang mempunyai kepentingan awam yang lebih besar daripada seorang bekas perdana menteri yang didakwa), tuntutan berkaitan kepentingan awam adalah sangat tinggi. Kedua, seperti yang anda katakan, Shafee dan pasukan peguamnya selalu mengadakan sidang akhbar, jadi kami fikir jika kami tidak balas, mereka mungkin dengan mudah memenangi perdebatan awam. Kami tidak mahu menyerah diri dari aspek pendapat umum.

Jadi itulah sebabnya kami memutuskan untuk mengadakannya (sidang media). Dan kami membincangkannya dengan pasukan kami, tetapi tiada seorang pun daripada DPP mahu mengadakan sidang media. Saya kata, saya akan lakukannya dulu dan sebarkannya, kerana saya tidak pernah suka bercakap tentang kes saya. Jadi saya melakukannya sekali dan, sudah tentu, diganggu kerana saya tidak bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan itu mempercepatkan keputusan saya untuk tidak mengulas secara terbuka lagi.

Dan kemudian kami berjaya meyakinkan Sitham. Jadi Sitham mengambil alih dan melakukannya sepanjang masa, untuk menceritakan versi pendakwaan tentang apa yang berlaku setiap hari, jadi media mendapat kedua-dua (versi). Kemudian terpulang kepada media untuk memutuskan apa yang mereka mahu. Itulah yang berlaku.

Adakah terdapat sebarang kesulitan tertentu dalam mendakwa Najib? Apa-apa yang menimbulkan kesulitan, memandangkan ini adalah bekas perdana menteri, ahli politik kanan, bekas presiden Umno?

Kami sangat jelas dalam fikiran kami, iaitu, pasukan undang-undang, bahawa ini hanyalah seperti kes lain, dan menganggapnya seperti itu. Tidak kira siapa yang dituduh.

Saya berkata demikian semasa ucapan pembukaan dalam perbicaraan - dan setiap kali saya bercakap mengenainya, saya menekankan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah relevan. Perkara 8(2) membicarakan tentang kesaksamaan semua rakyat Malaysia (dan warganegara luar yang tinggal di Malaysia) dilayan sama rata di bawah undang-undang.

Dan sebaik sahaja anda bersetuju, ia adalah asas kepada kes kami dan sepanjang persediaan kami dan pembentangan kami, dia tidak ada beza daripada mana-mana tertuduh yang lain. Dia dan peguamnya mungkin bercakap tentang hak-hak, tetapi apa yang kita tumpukan, dia sama seperti tertuduh lain.

Adakah anda berada di bawah tekanan politik?

Tidak. Sama sekali tidak, kami diberi kebebasan.

Tuesday, October 26, 2021

Najib saman Tommy Thomas, kerajaan atas 'pendakwaan salah'

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 26, 2021 6:00 PM


Najib Razak memfailkan saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas yang didakwanya membuat pendakwaan salah terhadap beberapa kes jenayah.

Saman itu difailkan menerusi firma Raj, Ong & Yudistra di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu. Saman itu menamakan Thomas dan kerajaan sebagai defendan.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini, bekas perdana menteri itu berkata Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian.

Menurut Najib, dakwaan terhadap Thomas itu berkaitan pendakwaan jenayah terhadapnya berkaitan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), dua kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009.

Dia bagaimanapun menyatakan ia tidak melibatkan pendakwaan berkaitan SRC International Sdn Bhd, dahulunya subsidiari milik 1MDB sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Najib mendakwa susulan penubuhan kerajaan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad selepas menang dalam PRU14, dia dihadapkan dengan 35 pendakwaan jenayah melibatkan empat kes itu.
"Fakta-fakta yang berikutnya akan menunjukkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib adalah sebahagian daripada satu perbuatan yang telah dirancang lama dan dirangka awal oleh Tommy Thomas.

"Juga, ini adalah selaras dengan rancangan kerajaan ketika itu

"Sebagai peguam negara, dia telah menjalankan tugasnya, sekurang-kurangnya yang berkaitan dengan Najib Razak, seolah-olah dia adalah ejen PH.

"Malah, dia akan kemudiannya menghubungkan parti politik Najib, Umno dengan Najib sendiri, orang Melayu dan pendorongan untuk Islamisasi," dakwa Najib.

Dia turut mendakwa, sebelum dan selepas menjadi peguam negara, Thomas telah membuat banyak kenyataan yang prejudis terhadapnya.

Antaranya adalah dia adalah penjenayah yang bersubahat dengan Low Taek Jho, walaupun ketika pertuduhan terhadapnya dibicarakan di mahkamah, dakwa Najib.

Najib antaranya menuntut satu pengisytiharan yang Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, RM1,941,988, ganti rugi am, teladan dan tambahan, dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Menurut senarai kausa dalam talian, pengurusan kes untuk saman itu akan dibuat di Jabatan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 November.

Pada Februari lalu, Najib dilaporkan memfailkan surat tuntutan terhadap Thomas berhubung memoir peguam itu, bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Najib kemudian menuntut Thomas untuk menarik balik memoir itu, membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta atas dakwaan yang terkandung di dalamnya.

[Baca berita asal]

Tuesday, February 16, 2021

Najib mula langkah

MyMetro

Najib (kiri) tidak dikaitkan langsung sepanjang perbicaraan kes itu (Altantuya) yang telah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur:  Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan bahawa memoirnya yang diterbitkan baru-baru ini 'My Story: Justice in the Wilderness' mengandungi fitnah iaitu mengaitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pemberita bahawa permohonan itu berkemungkinan besar difailkan dalam minggu ini.

"Anak guam saya, Datuk Seri Najib tidak dikaitkan langsung sepanjang perbicaraan kes itu (Altantuya) yang telah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan. Kata-Katanya (Thomas) dilihat sebagai memalukan mahkamah.

"Saman fitnah adalah sesuatu yang pasti, permohonan bagi prosiding menghina mahkamah sudah siap sebanyak 98 peratus dan kami akan memfailkannya dalam minggu ini. Kami harus memberikan beliau (Thomas) notis tunjuk sebab dahulu," katanya semasa ditemui selepas perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Najib dalam surat tuntutan dihantar menerusi firma peguamnya Tetuan Shafee & Co menuntut satu permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas berhubung fitnah terhadap bekas perdana menteri itu yang didakwa terkandung dalam memoir tersebut.

Antara lain, surat tuntutan itu menyebut melalui inferens dan sindiran yang jelas, Thomas memberi mesej bahawa beliau, ketika menjadi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, berpuas hati dengan kebenaran yang terdapat dalam dakwaan dua individu yang disabitkan bahawa Najib terbabit dalam mengarahkan mereka supaya membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Thomas, dalam maklum balas kepada surat tuntutan itu pada 5 Februari lalu, menafikan memfitnah Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 5:10 PM

Saturday, February 6, 2021

Najib bakal fail saman fitnah terhadap Tommy Thomas, penerbit

freemalaysiatoday.com
Bernama
-February 6, 2021 3:17 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak minggu lalu telah menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas atas dakwaan memfitnah beliau di dalam buku yang ditulisnya.

KUALA LUMPUR: Najib Razak akan memfailkan saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung dakwaan kenyataan fitnah di dalam bukunya yang diterbitkan baru-baru “My Story: Justice in the Wilderness” yang mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Perkara itu disahkan oleh peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi.

“Ya, kami akan menyaman beliau bagi pihak anak guam kami. Semalam, Thomas telah memberi jawapan kepada surat tuntutan kami …. beliau menyangkal memfitnah anak guam kami.

“Penerbitnya, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd belum menjawab surat tuntutan kami. Kami akan mengemukakan saman fitnah terhadap Thomas dan penerbit secepat mungkin,” kata Muhammad Shafee.

Pada 2 Feb, Najib melalui peguamnya Shafee & Co, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas atas dakwaan memfitnah beliau di dalam buku yang ditulis bekas peguam negara itu.

Dalam surat itu, Najib menuntut jawapan yang memuaskan daripada Thomas sebelum 12 tengah hari Jumaat lalu dan menyatakan bahawa sekiranya Thomas gagal melakukannya, prosiding undang-undang akan dimulakan awal minggu ini.

Beliau juga menuntut agar kenyataan itu ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf sepenuhnya bagi fitnah di dalam bab 42 di bawah tajuk “Altantuya”.

Dokumen itu turut menyebut bahawa dengan inferens dan sindiran yang jelas, Thomas telah menghantar mesej bahawa beliau, sebagai peguam negara dan pendakwa raya ketika itu, berpuas hati dengan kebenaran dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka membunuh Altantuya.

Surat itu juga menyatakan bahawa kenyataan tersebut jelas bermotifkan mala fide (niat jahat) dan secara prinsipnya dilakukan demi kepentingan diri Thomas dalam mencari publisiti murahan yang didorong oleh egonya, keuntungan dan atas dasar sensasi.

Friday, February 5, 2021

KDN mungkin haram buku Tommy Thomas

FMT Reporters
-February 5, 2021 10:33 AM

Buku tulisan Tommy Thomas ‘My Story: Justice in The Wilderness’ mengundang kontroversi selepas dilancarkan.

PETALING JAYA: Buku tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas “My Story: Justice in The Wilderness” kini dalam pemerhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mungkin diharamkan.

Sumber KDN memberitahu FMT, buku itu diteliti oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN.

“Mereka sedang siapkan laporan untuk diserahkan kepada menteri. Pihak menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan buku itu diharamkan,” katanya ringkas.

Semalam, bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Thomas atas dakwaan melakukan tiga kesalahan bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Apandi berkata, Thomas turut mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk bawah undang-undang kerahsiaan negara, termasuk perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku peguam negara ketika itu.

Beliau berkata, pendedahan Thomas merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan sudah dibuka terhadap Thomas berhubung dakwaan memfitnah.

Katanya, ia selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria dan akan memanggil Thomas dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Tuesday, February 2, 2021

Kes Altantuya : Najib dakwa difitnah, keluar surat tuntutan terhadap Tommy Thomas

FMT Reporters
-February 2, 2021 6:18 PM

Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib Razak mengarahkan beliau memfailkan saman awal minggu depan jika Tommy Thomas gagal memberi jawapan memuaskan menjelang Jumaat ini.

PETALING JAYA: Najib Razak mengeluarkan surat tuntutan kepada bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang didakwa memfitnahnya dalam memoir bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang dipasarkan Sabtu lalu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas perdana menteri itu menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta.

“Jika kami tidak terima jawapan memuaskan dari anda Jumaat ini, arahan jelas kami ialah memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan.”

BERITA LANJUT MENYUSUL

Monday, February 1, 2021

Thomas: Keterangan Sirul sokong dakwaan Azilah 'diarah tembak bunuh' Altantuya

malaysiakini.com

Diterbitkan 1 Feb 2021, 5:46 pm
Dikemaskini 5:59 pm

Sirul Azhar Umar memberikan bukti yang membenarkan dakwaan tertuduh bersama Azilah Hadri, yang membabitkan keterlibatan bekas perdana menteri Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Menurut bekas peguam negara Tommy Thomas, ini berdasarkan wawancara oleh seorang timbalan pendakwa raya kanan yang diarahkannya untuk bertemu Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood di Australia.

"Saya meminta seorang DPP senior untuk terbang ke Sydney bagi meminta izin pihak berkuasa di sana untuk menemubual Sirul mengenai kewibawaan pengakuan Azilah.

"DPP kanan saya menghabiskan banyak hari untuk mewawancara Sirul di Villawood. Keterangan Sirul mengesahkan (corroborate) keterangan Azilah.

"Versi bersama mereka ada kredibiliti, terutama dengan mempertimbangkan bahawa mereka dipenjara di pusat tahanan yang berlainan di dua negara tanpa cara untuk saling berhubungan.

"Saya berpuas hati mereka bercakap benar," tulis Tommy dalam memoirnya "My Story: Justice in the Wilderness".
Thomas berkata dia dimaklumkan Sirul sebelum ini telah memberitahu pihak berkuasa Australia bahawa dia diarahkan untuk membunuh seorang perisik asing, serupa dengan apa yang didakwa oleh Azilah.

Kedua-dua Sirul dan Azilah bekas anggota pasukan komando khas polis. Mereka disabitkan membunuh warga Mongolia pada tahun 2006.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia setelah Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan kemudian mengembalikan keputusan bersalah terhadapnya dan sabitan hukuman mati.

Australia mempunyai polisi tidak mengusir mereka yang sedang menjalani hukuman mati pulang ke negara asalnya.
Dalam memoirnya, Thomas menyentuh pengakuan Azilah yang pertama kali dibuat saat menunggu hukuman mati di penjara Kajang - bahawa dia bersama-sama dengan Sirul membunuh Altantuya setelah arahan eksplisit "tembak untuk membunuh" (shoot to kill).

Azilah, pada bulan Disember 2019, mendakwa arahan itu datang daripada Najib dan sekutu rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Perincian ini terkandung dalam permohonan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman matinya, bersama dengan Sirul.

"Azilah menyokong permohonan semakannya dengan akuan berkanun yang sama (SD) yang pernah saya baca sebelum ini.

"Ini tidak hanya membabitkan Najib sebagai orang yang memberi arahan kepada Azilah untuk membunuh, tetapi juga pembantunya, Musa Safri, kerana membantu atau bersubahat dengan Najib," kata Thomas merujuk kepada SD itu.

Pada SD bertarikh 17 Okt 2019, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya untuk "menangkap dan menghapuskan" (arrest and destroy) Altantuya, yang dikatakan oleh timbalan perdana menteri ketika itu sebagai "perisik asing" dan "ancaman terhadap keselamatan negara."

Bagaimanapun, Najib telah menafikan dakwaan tersebut.
Sementara itu, Thomas dalam bukunya juga menulis ayah Altantuya, Shaariibuu Setev, telah membuat laporan polis kedua pada 2018 menggesa dibuka satu siasatan baru mengenai pembunuhan anak perempuannya berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang lalu.

Bekas peguam negara berkata ketika itu, dia secara peribadi telah mengatur pertemuan dengan ketua polis negara Fuzi Harun dan beberapa pegawai kanan polis lain, tetapi dimaklumkan tidak ada petunjuk baru dalam kes berkenaan.

Thomas berkata siasatan itu hanya mula bergerak lebih dari setahun kemudian berdasarkan kandungan SD Azilah dengan polis merakam pernyataan saksi yang disebutkan dalam dokumen 32 halaman itu.

"Objektif siasatan baru untuk membina kes.

"Saya perlu menjadi sangat hati-hati atas alasan yang jelas. Tetapi satu perkara yang pasti - saya tidak dapat mengabaikan pendedahan yang dibuat oleh Azilah dengan akuan bersumpah itu, yang menjadi asas permohonan kepada mahkamah tertinggi di negeri ini," katanya.

Pada 8 Disember lalu, sidang lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed sebulat suara menolak permohonan semakan Azilah.

Azahar berkata Azilah terus membisu mengenai apa yang dikatakan "bukti baru" sebagaimana dinyatakan dalam akuan berkanunnya sepanjang siasatan polis, perbicaraan di Mahkamah Tinggi, dan rayuan berikutnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Permohonan Azilah dikemukakan pada 5 Disember 2019, dengan alasan pemohon dibenarkan untuk menambahkan bukti lebih lanjut yang tidak dikemukakan semasa perbicaraan pembunuhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

[Baca laporan asal]

Friday, February 28, 2020

Tommy Thomas letak jawatan sebagai AG

BERITA
Dikemaskini Hari ini 8:09 malam

Peguam Negara (AG) Tommy Thomas telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menurut satu laporan berita.

Dihubungi oleh Malaysiakini untuk pengesahan itu, beliau menjawab: "Ya."

Memetik sumber, The Edge berkata Thomas mahu meletak jawatan ketika Mahathir masih mengetuai negara.

Mahathir melantiknya untuk penggal selama dua tahun pada 4 Jun, 2018. Ia dijadualkan berakhir pada bulan Jun.

The Edge juga melaporkan bahawa adalah tidak jelas apa yang akan berlaku dengan kes-kes ini yang dikendalikan oleh Thomas seperti skandal 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

[Baca berita penuh]

Sunday, January 12, 2020

Haniff Khatri saran Peguam Negara tarik diri daripada membuat keputusan kes cabul luar tabii yang melibatkan Anwar Ibrahim

By Suhaila Megat
-January 12, 2020 • 8:37 PM


Peguam kanan, Tuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyarankan agar Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menarik diri daripada melihat fail atau memberi apa-apa arahan apatah lagi untuk membuat keputusan berkaitan kes cabul luar tabii yang membabitkan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pengadu Muhammed Yusoff Rawther.

“Sebelum ini saya telah menulis satu teguran atau saranan kepada Tommy Thomas sebagai Peguam Negara bahawa ada baiknya dari segi kedaulatan undang-undang supaya beliau secara peribadi menarik diri daripada mengendalikan apa bentuk tindakan berhubung kertas siasatan aduan Yusoff Rawther ini”, katanya dalam sesi temubual oleh blogger Minaq Jinggo.

“Berkaitan perkara ini saya telah pun menulis apabila dimaklumkan melalui media bahawa pihak polis telah atau akan berjumpa dengan pihak Peguam Negara pada 6 Januari lalu,” ujarnya.

Memberitahu lanjut, atas nasihat dan saranan berkenaan, Tuan Haniff Khatri mengimbas kembali pendapat Tan Sri Tommy Thomas pada masa terdahulu ketika beliau menjadi peguambela dan peguamcara swasta, sebelum dilantik sebagai Peguam Negara.

“Pada tahun 2008 dan 2012 semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dituduh di mahkamah bersabit apa yang digelar sebagai sodomi dua ke atas saudara Saiful Bukhari.

“Perkara itu adalah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada masa itu mendapati Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah pada masa itu.

“Sabitan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim berlaku di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bukan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Menurutnya, selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Tommy Thomas yang pada ketika itu adalah seorang peguambela dan peguamcara swasta di mana sebelum beliau menjadi Peguam Negara, telah menulis satu artikel mengenai pandangan beliau bersabit kes berkenaan.

Ia telah disiarkan di Malaysian Bar Website pada 20 Januari 2012 dan telah diulang cetak di dalam Buletin Aliran di mana secara ringkas, Tan Sri Tommy Thomas memberi pandangan bahawa segala proses yang membawa Dato’ Seri Anwar kepada kes sodomi kedua adalah konspirasi politik yang melibatkan mahkamah, pihak pendakwaraya, pihak siasatan dan juga kerajaan pada ketika itu.

https://www.malaysianbar.org.my/members_opinions_and_comments/why_was_anwar_ibrahim_acquitted_tommy_thomas.html

Menjadi persoalan di sini, jika Tan Sri Tommy Thomas pada masa itu berpendapat bahawa elegasi atau pertuduhan yang dibawa oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah “political conspiracy” bagaimanakah pandangan beliau sekarang (tahun 2020) dalam satu tuduhan salah laku seksual lagi yang sama walaupun bukan sodomi.

Kini ia membabitkan kes cabul dalam kategori seksual.

Bagaimana beliau boleh menilai kertas siasatan sebagai seorang Peguam Negara yang telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Begitu juga di dalam laporan tahun 2012 ada juga diberi pandangan secara ringkas, secara sampingan oleh peguam Tommy Thomas pada ketika itu seolah-olah beliau tidak menyokong jenayah-jenayah yang berbentuk seks di luar tabii.

“Jadi bagaimanakah dengan pandangan tersebut beliau boleh membuat keputusan di atas aduan cabul di luar tabii dan sehingga ke hari ini iaitu 11 Januari 2020, saya masih menanti jawapan dari beliau dan berharap prinsip kedaulatan undang-undang dipatuhi dalam kes ini,” tambahnya lagi.

Atas dasar itu juga Tuan Haniff Khatri juga meminta dan menyarankan prinsip kedaulatan undang-undang dipatuhi sekali lagi agar Tan Sri Thomas menarik diri dalam kes ini seperti kes pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Jangan kita lupa dalam kes pembebasan atau representasi Lim Guan Eng beliau telah dengan betul membuat pengumuman kepada orang awam bahawa beliau menarik diri daripada membuat keputusan representasi kes Lim Guan Eng kerana beliau pernah menjadi peguam Lim Guan Eng,” katanya.

Terdahulu, pihak polis telah memberitahu pihak mereka telah selesai menyediakan fail siasatan berkenaan untuk dibawa dan menunggu arahan lanjut dari Peguam Negara pada 6 Januari yang lalu.

Ia hanya dalam tempoh satu bulan setelah laporan polis dibuat oleh Yusoff Rawther pada 7 Disember lalu pihak polis telah berjaya membawa fail kertas siasatan kepada terbabit kepada Peguam Negara.

Untuk itu Tuan Haniff Khatri menzahirkan penghargaan terhadap segala usaha yang dilakukan oleh pihak polis melengkapkan siasatan dengan pantas.

7 Disember lalu Yusoff Rawther telah membuat laporan polis dan menyerahkan akuan bersumpah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Yusoff memaklumkan laporan itu dibuat supaya polis menyiasat dakwaannya dicabul oleh Dato’ Seri Anwar selain mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PKR berkenaan.

–THE MALAYA POST

Thursday, January 9, 2020

Kes video intim: Tiada pertuduhan, forensik gagal kenal pasti suspek, kata AG

BERITA

Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat daripada video intim kontroversi yang dikaitkan dengan personaliti politik.

Kenyataan media itu dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas berkata, pakar forensik AS "gagal" mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

"CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.

"Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di AS. PDRM menerima keputusan analisis pada bulan Disember 2019.

"Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, 'kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas," katanya.

Kata Tommy, susulan itu, timbalan pendakwa raya telah sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya lagi.

Klip video intim itu mula tersebar pada 11 Jun 2019 menerusi beberapa kumpulan Whatsapp yang disertai petugas media.

Ia didakwa dirakam di Hotel Four Point, Sandakan pada 11 Mei lalu, iaitu ketika berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pada hari berikutnya, dalam satu siaran video, Haziq mengaku terlibat dalam rakaman video itu, dan mendakwa Azmin merupakan individu yang bersamanya dalam klip video tersebut.

Azmin konsisten menafikan terlibat dalam rakaman dan aktiviti seks dalam video tersebut, dan menuduh dakwaan ke atasnya sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

Thomas berkata sejak 13 Jun, Jabatan Peguam Negara (AGC) bekerjasama dengan polis dalam meneliti kertas siasatan berhubung klip video intim yang disiasat di bawah 377B dan 377D Kanun Keseksaan.

Kata Thomas, protokol penyiasatan telah diikuti, dan ramai saksi ditemu bual oleh PDRM bagi memastikan fakta berhubung video itu selain tangkapan serta reman juga dibuat terhadap beberapa saksi berkaitan sepanjang penyiasatan.

Jelasnya juga, terdapat pelbagai keadaan menyumbang kepada kelewatan dalam melengkapkan siasatan kes itu, terutamanya masa yang diambil bagi memuktamadkan laporan forensik.

Ini termasuklah kekangan dan prosedur kerajaan yang perlu ditempuh dalam mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas turut merujuk laporan analisis yang dibuat oleh “orang persendirian tanpa diminta” kepada PDRM.

Thomas dipercayai merujuk kepada laporan analisis yang diserahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.

Kata Thomas, analisis laporan yang diserahkan Lokman mengesahkan dapatan laporan CyberSecurity dan pakar forensik luar, bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Bagaimanapun, Thomas berkata, selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperolehi.

Sunday, December 15, 2019

Kes cabul bakal PM8: Tommy Thomas akan selamatkan Anwar?

ANALISISUTAMA
December 14, 2019
EDITOR

NEGARA sekarang ini heboh dengan siasatan kes berprofil tinggi membabitkan dakwaan menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan.

Dakwaan ini besar implikasinya kerana ia membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Ke-8.

Banyak pihak yang tidak meragui kebebasan PDRM dalam menjalankan siasatan tetapi yang mereka ragui adalah kebebasan Peguam Negara membuat keputusan ke atas hasil siasatan.

Sikap dan pandangan Tan Sri Tommy Thomas terhadap Datuk Seri Anwar sudah lama diketahui kerana beliau adalah pengkagum dan pembela utama Datuk Seri Anwar.

Waktu Datuk Seri Anwar mahu didakwa atas kesalahan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan, Tan Sri Tommy secara terbuka menggesa pendakwaan tidak dibuat.

Ini beliau lakukan dalam salah satu tulisan beliau bertarikh 29 Julai 2008 bertajuk “A second prosecution of Anwar Ibrahim – is it in the national interest?”

Begitu juga waktu Datuk Seri Anwar dibebaskan dari pertuduhan oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Januari 2012, Tan Sri Tommy menulis “Why was Anwar Ibrahim acquitted?”

Dalam kedua-dua tulisan ini, Tan Sri Tommy menyebut:
(1) Kedua-dua pertuduhan liwat pertama Datuk Seri Anwar pada pada 1998 dan pertuduhan liwat kedua Datuk Seri Anwar pada 2008 adalah konspirasi politik.

(2) Polis tidak harus membazir masa memberi perhatian kepada perlakuan seks seorang pemimpin tua dengan kesakitan belakang dan leher seperti Datuk Seri Anwar.

(3) Dalam sistem undang-undang yang matang, perlakuan homoseks tidak lagi dijadikan kesalahan jenayah kerana masyarakat semasa tidak menganggapnya jenayah.

(4) Peguam Negara tidak wajib mendakwa setiap kesalahan jenayah mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 (1) Kanun Prosedur Jenayah.

(5) Negara perlu diingatkan dengan kualiti kepimpinan dan pentadbiran Datuk Seri Anwar seperti yang pernah diakui oleh Margaret Thatcher pada awal 1990-an.

Tan Sri Tommy juga menyebut pembebasan Datuk Seri Anwar pada 2012 disambut baik oleh seluruh rakyat kecuali musuh lama beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan penyokong Tun.

Berdasarkan semua perkara ini, tidak hairanlah jika banyak pihak yang merasa yakin bahawa kes terbaru membabitkan Datuk Seri Anwar ini tidak akan berakhir di mahkamah.

KAMARUL YUSOFF
Penganalisis politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Buletin Asia*

Thursday, November 7, 2019

Kerja saya bukan pecat orang - Dr Mahathir

BERITA

Dr Mahathir hari ini menegaskan bahawa beliau akan memecat seseorang anggota pentadbiran hanya jika sesuatu yang sangat serius berlaku.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan pihak lain yang menggesa supaya Tan Sri Tommy Thomas dipecat kerana didakwa Peguam Negara itu dilihat kerap menyalahgunakan kuasanya dengan mencampur tangan dalam beberapa kes mahkamah.

“Saya bukan kerja pecat orang. Kadang-kadang orang membuat kesilapan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy atas alasan campur tangan dalam beberapa proses pendakwaan.

Ismail Sabri dilaporkan membuat gesaan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara ?menggugurkan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkaitan kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam pada itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata beliau juga berhasrat untuk memecat sesetengah pemimpin pembangkang.

" Saya ingin memecat beberapa anggota pembangkang kerana mereka membuat banyak kesilapan tetapi kita mempunyai kedaulatan undang-undang dan kita mematuhinya, “ katanya.

- Bernama

Monday, April 1, 2019

Iktiraf UEC, Rais anggap Tommy ‘terjebak politik partisan’

Diterbitkan 01 April 2019

Oleh Aliff Fikri Aziz

Tommy Thomas dikritik kerana membiarkan Teo Nie Ching memperalat kedudukannya sebagai peguam negara. 
— Foto oleh Miera Zulyana

KUALA LUMPUR, 1 April — Tan Sri Rais Yatim mengkritik peguam negara kerana mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tanpa merujuk Kementerian Pendidikan dan Kabinet.

Menganggapnya dibuat secara sepihak, Rais berkata keputusan Tommy Thomas yang diumum timbalan menteri pendidikan mengukuhkan tanggapan beliau terjebak dalam politik partisan.

“Kini anda telah membuatkan kita ada dua saluran rasmi undang-undang. Dalam pendidikan undang-undang anda iktiraf UEC manakala dalam sistem vernakular keputusan belum dibuat,” katanya.

“Anda sepatutnya tunggu dulu sehingga kerajaan buat pilihan yang tepat,” katanya dalam nota bantahan kepada Tommy yang dimuat naik di Facebook.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan juga mengkritik Tommy kerana membiarkan Teo Nie Ching memperalat kedudukannya dengan membuat kenyataan isu itu.

“Diharap beliau (Tommy) sedar akan risiko kenegaraannya dan keutuhan jurusan pendidikan nasional,” tulis bekas menteri.

Semalam, Teo berkata lulusan UEC yang mahu menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) perlu lulus kepujian lima mata pelajaran wajib termasuk bahasa Melayu.

Namun, beliau tidak tahu empat lagi subjek lain kerana perkara itu akan diputuskan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) yang dipengerusikan Tommy.

Thursday, February 28, 2019

Lelaki mohon maaf, tarik balik tuduhan AG 'anti-Islam’

Diterbitkan Hari ini 12:03 tengahari

Seorang pengguna Facebook memohan maaf kepada Tommy Thomas kerana membuat hantaran berunsur fitnah di media sosial yang memaparkan peguam negara itu sebagai anti-Islam.

Lelaki, yang menggunakan nama Mohd Shahrizan, itu berkata hantaranya hanya dimuatnaikkan selama enam minit.

Permohonan maaf itu dibuat hanya beberapa jam selepas peguam negara, semalam mengarahkan laporan polis dibuat berhubung pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan sikap anti-Islam beredar di media sosial.

Shahrizan semalam berkata beliau mahu memohon maaf kepada Thomas selepas mengetahui bahawa mesej yang dikongsi di akaun media sosialnya adalah tidak benar.

“Saya, adalah pemilik akaun ‘Mohd Shahrizan’ dan melalui satu kenyataan yang dimuat naik oleh saya pada 27 Februari lalu dengan ini memohon maaf secara terbuka dan menyesali kenyataan yang didakwa dibuat oleh peguam negara dan berbunyi sebagaimana berikut, ‘Penghina Nabi dan Islam bukan penjenayah, mereka berhak lontarkan pandangan’.

“Saya telah difahamkan bahawa kenyataan yang telah tular tersebut adalah tidak benar sama sekali dan kenyataan tersebut juga merupakan satu kenyataan berunsur fitnah kepada peguam negara yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik pihak peguam negara sendiri.

“Saya sedar bahawa saya sepatutnya mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan segala maklumat adalah adalah tepat dan benar sebelum memuat naik kenyataan tersebut bagi mengelakkan sebarang fitnah atau sebarang isu berbangkit yang lain,” katanya.

Mohd Shahrizan mendakwa bahawa dia tidak dapat mengawal kemarahannya dan sangat beremosi semasa memuat naik kenyataannya itu susulan hantaran di Facebook oleh seorang warga emas yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan Sayyidatina Aisyah RA.

“Saya berharap agar pihak tuan berlapang dada untuk memaafkan kesalahan saya. Saya juga telah insaf dan berjanji untuk tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi.

“Saya juga telah memadam kenyataan tersebut setelah enam minit ia dimuat naik dengan segera setelah menyedari kesahihannya. Saya memohon supaya tiada sebarang tindakan lanjut akan dikenakan ke atas saya selepas permohonan maaf ini dikeluarkan,” katanya.

Malaysiakini difahamkan oleh sumber di Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa laporan polis Thomas tidak berkaitan dengan hantaran Shahrizan.

Dilaporkan bahawa pegawai khas Thomas membuat laporan polis di ibu pejabat polis Putrajaya kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Laporan itu dibuat berikutan tuduhan dari pemimpin Umno dan PAS bahawa AGC tidak tegas dengan mereka yang dituduh menghina Islam.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-