Sunday, October 24, 2021

Najib yakin lima kerusi DUN kekal dalam tangan BN

agendaily.com
24/10/2021
Tangkap layar daripada video program Datuk Seri Najib Razak di Melaka.

Walaupun masih belum muktamad sama ada akan bertanding solo atau tidak, namun Barisan Nasional (BN) nampaknya sangat yakin parti itu dapat mempertahankan sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keyakinan itu dizahirkan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak selepas melakukan tinjauan dan mendapati rakyat tempatan menunjukkan respon positif terhadap partinya itu.

Lima kerusi DUN tersebut adalah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tinjauan dalam kalangan rakyat tempatan menunjukkan respon yang positif terhadap parti.

“Setakat apa yang saya dapat tinjau, amat positif. Boleh dikatakan kawasan Masjid Tanah ini merupakan kubu kuat kepada BN dan kelima-lima DUN dalam PRU (Pilihan Raya Umum Ke-14) dulu kita menang.

“Parlimen pun kita menang tapi Ahli Parlimen (Masjid Tanah) itu sudah melompat ke parti lain. Ini menunjukkan dalam keadaan tsunami politik pada ketika itu (PRU) kita masih menang semua DUN di sini.

“Insya-Allah dengan keadaan hari ini yang bertambah baik, (ada) tanda-tanda kita dapat pertahankan kelima kerusi DUN khususnya di kawasan Masjid Tanah ini,” katanya dalam laporan MalaysiaGazette.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu meluangkan masa lebih setengah jam beramah mesra dan bersarapan bersama penduduk setempat di Abah Shan Station.

Ketika ditanya mengenai kempen secara atas talian, Najib menyifatkan mekanisme tersebut sebagai perkara baharu yang belum pernah dipraktikkan ketika kempen pilihan raya sebelum ini.

“Ini adalah perkara baharu bagi kita, belum pernah (lakukan). Kita kena buat adjustment pada pendekatan kita, saya percaya ahli parti boleh melakukan sedemikian dan ini adalah untuk menjaga keselamatan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib turut mengulas berkenaan gabungan Muafakat Nasional (MN) pada PRN Melaka kali ini yang dijangka akan diputuskan oleh parti dalam masa terdekat.

“Itu semua seperti Datuk Seri Rauf kata akan diputuskan dalam beberapa hari akan datang, saya ada pendapat peribadi saya tetapi biarlah parti putuskan perkara ini kerana kita mahu Melaka sebagai template bagi PRU akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-