Tuesday, November 23, 2021

Jemaah Menteri tentukan bila PRU15, bukan parti politik, kata Takiyuddin

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-November 23, 2021 11:50 AM

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan akan menentukan bila masa sesuai PRU15 diadakan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Parti politik tidak boleh menentukan bila pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, sebarang keputusan mengenai pilihan raya itu akan diputuskan Jemaah Menteri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan memandangkan negara masih lagi dalam fasa endemik Covid-19.

“Mengikut perlembagaan, Jemaah Menteri akan menentukan bila sepatutnya PRU perlu diadakan. Keputusan perlu datang daripada Kabinet.

“Bukan daripada mana-mana parti politik, kerajaan akan tentukan bila masa sesuai untuk membuat pertimbangan memandangkan kita masih lagi dalam fasa endemik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Green Electricity Tariff (GET).


Ahad lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan PRU15 diadakan dalam masa terdekat selepas mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu sebaik BN memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ketika ditanya sama ada PAS akan kembali semula kepada penyatuan ummah bersama Umno menjelang PRU15, Takiyuddin pada dasarnya berkata beliau terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama politik yang mampu membawa kepada kestabilan politik.

“Dalam politik ini tujuannya untuk capai kestabilan dalam negara. Apa saja amalan yang bawa kestabilan dalam negara itu adalah satu amalan yang baik bagi saya.

“Macam kita di pusat, kita boleh bekerja dengan semua parti politik dalam satu kerajaan dan pada masa sama dalam pilihan raya di Melaka, kita bertembung satu sama lain. Ini bagi saya satu formula yang baik, satu amalan demokrasi yang baik dan jika perlu satu perdamaian yang baru dalam politik, bagi saya semua harus positif,” katanya.

Pada PRN Melaka, PAS bertanding bawah logo Perikatan Nasional bersama Bersatu dan Gerakan. Parti Islam itu mempertaruhkan lapan calon namun tidak memenangi sebarang kerusi, mengulangi rekod PRU14 pada 2018.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-