Tuesday, November 23, 2021

Nak saya letak jawatan, boleh teliti tapi jangan angkuh, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-November 23, 2021 7:03 PM

Anwar Ibrahim akan meneliti desakan supaya beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

BANGI:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sedia meneliti apa-apa pandangan supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) namun menegaskan desakan itu tidak harus dibuat secara angkuh.

“Itu pandanganlah (desakan letak jawatan). Kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh sehingga menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan lain,” katanya.

Beberapa pihak termasuk ADUN Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen, mendesak Anwar berundur daripada menerajui gabungan parti pembangkang itu susulan kekalahan teruk PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

PH hanya menang lima daripada 28 kerusi ditandingi manakala semua 11 calon PKR turut tewas.

Anwar berkata, beliau bertanggungjawab atas kekalahan itu dan juga keputusan PH menerima dua bekas ADUN Umno bertanding pada PRN atas tiket PH.

“Saya kena pikul tanggungjawab,” katanya ketika ditanya mengenai desakan beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH dan penerimaan dua bekas ADUN Umno itu sebagai punca kekalahan teruk PH di Melaka.

Selain Lee, desakan sama turut ditimbulkan beberapa ahli politik lain termasuk penganalisis Wong Chin Huat, yang mencadangkan PKR bergabung dengan Amanah.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong, juga mendakwa rakyat sudah menyampah dengan PH yang didakwa berulang kali memungkiri dan mahu melihat kepimpinan baharu.

Bagaimanapun, Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata tidak adil meletakkan semua kesalahan di bahu Anwar semata-mata.

Dalam pada itu, Anwar berkata kekalahan PH perlu dilihat daripada semua aspek kerana setiap pihak ada pandangan sendiri dan kegelisahan yang disuarakan.

“Kena lihat semua aspek kerana ia tak semudah itu. Kita jumpa di kampung macam mana pandangan orang lain, jumpa di bandar, masyarakat Cina, India, Orang Asli dan Melayu majoriti ada beberapa kegelisahan dia perlu dengar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-