Sunday, November 7, 2021

PAS perlu hormati ketetapan UMNO - Zahid

bharian.com
Oleh Saiful Haizan Hasam 
saiful.haizan@bh.com.my
- November 7, 2021 @ 10:07pm

Ahmad Zahid bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 14 September 2019 sambil disaksikan Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. 
- Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap PAS menghormati keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, UMNO juga menghormati ketetapan pimpinan PAS untuk bekerjasama dengan BERSATU selain tidak pernah menekan PAS supaya menjauhi parti serpihan itu.

Malah katanya, setiap parti politik mempunyai dasar serta pendekatan tersendiri dan mereka mempunyai kebebasan melaksanakannya.

"Kita menghormati ketetapan kepimpinan PAS untuk bersama BERSATU dalam PRN Melaka. Maka kita berharap pemimpin PAS juga menghormati ketetapan parti UMNO tidak bersama dengan BERSATU.

"Sesungguhnya UMNO tidak pernah berhasrat mendesak atau mengugut PAS supaya tidak bersama BERSATU.

"Setiap parti politik ada dasar serta perancangan tersendiri dan bebas merencanakannya. Bagi UMNO setiap dasar dan perencanaan politiknya tidak pernah tersasar dari landasan agama, bangsa dan negara," katanya menerusi Facebook, malam ini.

Pada PRN Melaka, UMNO dan PAS yang menandatangani piagam Muafakat Nasional (MN) bertembung di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Pertembungan rakan sekutu MN itu menyebabkan Ahli Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik melepaskan geram melalui hantaran Facebook yang dengan menyatakan beliau berasa UMNO perlu kalah di Melaka untuk benar-benar memahami makna persaudaraan dan kepentingan agama, negara dan ummah.

"Mudah-mudahan kekalahan UMNO di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada UMNO. Oleh itu semua pengundi PAS perlu menjadi guru politik kepada UMNO," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengakui baru-baru ini UMNO membangkitkan ketetapan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) sewaktu menghulurkan tawaran kerjasama dalam PRN Melaka.

Katanya, keputusan Jawatankuasa Induk MN itu dibuat pada mesyuarat 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.

"Perkara itu diungkapkan semula dalam agenda meneruskan persefahaman bersama PAS bagi berdepan PRN Melaka.

"Walaupun UMNO sedari awal telah bersedia untuk mengharungi PRN Melaka dengan keadaan apa sekali pun di bawah panji BN," katanya.

Jelas Ahmad Zahid, asas persefahaman dengan PAS iaitu berpandukan kepada prinsip PAS akan menggunakan lambang partinya sendiri.

Bagaimanapun katanya, pimpinan PAS nampaknya tidak berminat memenuhi ketetapan MN itu kerana mahu bersama BERSATU.

"Meskipun ia bermakna PAS perlu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) seperti yang dikehendaki BERSATU ke atas mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-