Sunday, November 7, 2021

Zahid masih tak puas hati PAS pilih Bersatu bukan UMNO

agendaily.com
7/11/2021

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan masih tidak puas hati kerana PAS memilih bekerjasama dengan Bersatu berbanding UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sudah lima hari PAS menyatakan parti itu akan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekali gus menolak kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelihatan masih tidak berpuas hati terhadap keputusan parti Islam itu yang memilih bekerjasama dengan Bersatu menerusi PN.

Mendakwa UMNO tidak berhasrat mendesak atau mengugut PAS supaya tidak bersama Bersatu, Zahid dalam kenyataan malam tadi membangkitkan isu kerjasama PAS-Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka. Berita berkaitan

Zahid yang sebelum ini mendakwa Bersatu semakin gelisah kerana bimbang UMNO bakal menang besar, kini seakan tidak yakin partinya boleh menang besar, setelah beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) parti itu ditutup kerana akar umbi mula marah.

Dalam kenyataannya itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang kini berada di Jerman untuk rawatan sakit belakangnya berkata, pihaknya menghormati ketetapan kepimpinan PAS untuk bersama Bersatu dalam PRN Melaka.

“Maka kita berharap pemimpin PAS juga menghormati ketetapan parti UMNO tidak bersama dengan PPBM (Bersatu).

“Sesungguhnya UMNO tidak pernah berhasrat mendesak atau mengugut PAS supaya tidak bersama PPBM,” katanya.

28 Oktober lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengugut PAS supaya tidak menggunakan lambang PN jika mahu bekerjasama, namun kemudian Jawatankuasa Pusat PAS tidak mempedulikannya sebaliknya kekal menggunakan lambang gabungannya bersama Bersatu.

Dalam kenyataannya itu juga Zahid membangkitkan lagi ketetapan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN), seolah-olah tidak puas hati dengan pendirian PAS sekarang ini yang mengutamakan PN.

“Benar beberapa hari lalu UMNO membangkitkan tentang ketetapan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.

“Iaitu keputusan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional pada mesyuarat 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.

“Perkara itu diiungkapkan semula dalam agenda meneruskan persefahaman bersama PAS bagi berdepan PRN Melaka.

“Walaupun UMNO sedari awal telah bersedia untuk mengharungi PRN Melaka dengan keadaan apa sekali pun dibawah panji BN,” katanya.

Zahid berkata asas persefahaman dengan PAS iaitu berpandukan kepada prinsip PAS akan menggunakan lambang partinya sendiri.

“Bagaimanapun pimpinan PAS tampak tidak berminat memenuhi ketetapan Muafakat Nasional itu kerana mahu bersama PPBM. Meskipun ia bermakna PAS perlu menggunakan logo PN seperti yang dikehendaki PPBM ke atas mereka,” katanya.

Untuk rekod, MN hanya persefahaman antara UMNO dan PAS sebelum disertai Bersatu, namun ia bukan gabungan politik berdaftar. Sebaliknya PN adalah gabungan politik PAS dan Bersatu bersama beberapa parti lain yang berdaftar.

Dalam kiriman di Facebooknya malam tadi, Zahid turut memuat naik gambar beliau berpelukan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika majlis menandatangani persefahaman MN, seolah-olah mahu menunjukkan hubungan kedua-dua parti itu yang erat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-