Sunday, November 21, 2021

Pertimbang segerakan PRU, sentimen rakyat bersama BN, Tok Mat beritahu PM

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 21, 2021 7:16 PM

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, mengingatkan dinamik politik tidak statik dan boleh berubah.

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan, meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mempertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), susulan kemenangan bergaya gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pertimbangan itu mengambil kira sentimen rakyat yang ketika ini dilihat bersama Barisan Nasional (BN), katanya.

“Dinamik politik tidak statik dan boleh berubah setiap hari. Jadi, terpulang kepada BN dan Umno untuk membuat ulang kaji mengenai apa yang terbaik boleh dilakukan. Sama ada perlu untuk PRU15 diadakan dalam waktu terdekat atau tunggu sehingga habis penggal mesti difikirkan secara mendalam,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

Mohamad sendiri mahu PRU15 diadakan segera, kerana “feel good factor” masih lagi segar dengan kemenangan BN pada PRN Melaka.

Beliau turut mengingatkan perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang “sampai Julai”.

“Suka atau tidak, PRU bulan Julai,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan lain, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata parti itu masih belum menutup pintunya kepada PAS meskipun keputusan PRN Melaka menunjukkan ia mampu bergerak sendirian.

Beliau bagaimanapun berkata kedudukan MN bergantung kepada keputusan PAS.

“Daripada dulu jika ada yang tanya, PAS kena buat keputusan,” katanya, menurut laporan Utusan Online.

“Mahu bersama Perikatan Nasional (PN) ataupun Muafakat Nasional (MN), tetapi di Melaka mereka buat keputusan mahu dengan PN.”

PAS yang bertanding dalam PRN Melaka menggunakan logo PN tewas di semua lapan kerusi ditandingi parti itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-