Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Thursday, December 9, 2021

'Carta aliran bekas AG buktikan wang di akaun Najib bukan derma Arab'

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Dec 9, 2021 12:32 PM


Dua carta aliran kewangan yang didedahkan oleh peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali, lima tahun lalu sudah membuktikan bahawa wang yang disalurkan ke akaun bekas perdana menteri Najib Razak, bukan derma dari Arab Saudi, kata Mahkamah Rayuan.

Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim itu, sebulat suara memutuskan bahawa carta aliran yang ditunjukkan oleh Apandi kepada media pada Jan 2016, menunjukkan bahawa dana syarikat SRC International yang sebenarnya mengalir ke dalam akaun Najib.

"Malah, DW14 (saksi pembelaan ke-14, Apandi) mengesahkan bahawa dua carta aliran yang dipegangnya semasa sidang akhbarnya pada 26 Jan 2016, untuk membebaskan perayu (Najib) adalah carta aliran yang sama yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sebagai bukti. (semasa perbicaraan rasuah RM42 juta SRC terhadap perayu).

"Carta aliran tersebut jelas menunjukkan dana SRC masuk ke akaun bank perayu, dan ia bukan derma daripada Arab Saudi seperti yang didakwa perayu.

"Dalam apa jua keadaan pendapat dan keputusan peguam negara tidak mengikat penggantinya. Peguam negara hari ini bebas untuk membuat keputusan dan menggunakan kuasa perlembagaan dan undang-undangnya mengikut undang-undang.

"Budi bicara untuk mendakwa mana-mana orang, walaupun peguam negara sebelum ini telah memilih untuk tidak mendakwa, terletak pada peguam negara pada hari itu menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," kata panel hakim itu.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Vazeer Alam Mydin Meera and Has Zanah Mehat.

Keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada hujah penghakiman penuh setebal 317 muka surat untuk menolak rayuan bekas perdana menteri semalam untuk membatalkan sabitannya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan jenayah, pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC.

Pada 26 Jan 2016, ketika itu Apandi sambil memegang carta aliran semasa sidang media, mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib yang juga perdana menteri ketika itu, berdasarkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara ketika itu berkata, dia telah meneliti kertas siasatan dan berpuas hati bahawa tiada alasan untuk diambil tindakan.

Bagaimanapun, semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018, pihak pendakwaan melalui peguam negara ketika itu Tommy Thomas mendakwa Najib berhubung kes rasuah SRC RM42 juta.

Semasa perbicaraan SRC, pasukan pembelaan Najib antara lain berpendapat bahawa RM42 juta itu adalah sebahagian derma daripada Arab Saudi dan bukannya dana daripada syarikat itu.

Bagaimanapun dalam keputusan sebulat suara itu Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pembelaan derma Arab Saudi adalah "tidak boleh dipertahankan".

Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Bagaimanapun, hukuman penjara dan denda terhadap Najib ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuan bekas perdana menteri itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut alasan penuh penghakiman, Mahkamah Rayuan menyatakan hakim perbicaraan (hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali) dengan betul mengenepikan keterangan Apandi bahawa dia membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam perkara SRC.

Panel hakim menegaskan bahawa semasa peringkat pembelaan perbicaraan kes itu, bekas peguam negara mengakui keputusannya dibuat berdasarkan bahan yang ada dalam kertas siasatan setakat 26 Jan 2016.

DW14 seterusnya bersetuju bahawa dia tidak menyedari bahawa selepas itu 76 lagi kenyataan baharu dan beberapa lagi kenyataan telah direkodkan daripada saksi yang berkaitan dengan siasatan.

"Yang arif hakim telah mempertimbangkan keterangan DW14 dan membuat kesimpulan bahawa keterangannya tidak menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan, hanya kerana terdapat siasatan lanjut selepas Januari 2016.

"Kesimpulan dan arahan DW14 pada Januari 2016 adalah berdasarkan penyiasatan yang dijalankan sehingga itu," kata Mahkamah Rayuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-