By Auzaee Athallah
-December 15, 2021
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad
MALAYSIA akan kekal sebagai satu negara kleptokrasi sekiranya orang Melayu dan Bumiputera meneruskan sokongan mereka kepada parti UMNO, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menerusi hantaran terbaharu di blognya pada Rabu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, perkara itu adalah kerana parti Melayu itu kini telah dirampas oleh golongan tertentu iaitu golongan ‘perasuah’ dan ‘penyangak’.
“Sehingga kini orang Melayu hanya kenal UMNO sebagai parti Melayu. Bagi mereka tidak ada pilihan jika nak sokong parti Melayu melainkan UMNO.
“Mereka tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu.
“Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat mengguna UMNO dan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan mengguna kuasa kerajaan untuk memperkayakan diri mereka,” katanya menerusi hantaran di blognya itu.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menambah, ekoran ketamakan golongan berkenaan, Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai ‘Harimau Asia’ telah bertukar kepada kleptokrasi.
“Sejak mereka ambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah.
“Jika UMNO masih disokong maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi. Maka akan rosak dan hancurlah negara dan orang Melayu,” ujarnya.
–SB
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.