Monday, January 24, 2022

Guna modal kes Zahid tak laku dalam PRN, rakyat masih sayang UMNO: Mohamad

agendaily.com
24/1/2022

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahnya membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, hari ini. - Gambar Agenda Daily

UMNO tidak tergugat dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor walaupun Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan kes pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Terdahulu awal hari ini, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memerintahkan Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan menyifatkan isu kes rasuah yang akan dijadikan modal pembangkang sudah tidak laku dalam PRN Johor nanti, malah yakin UMNO akan tetap menang besar kerana rakyat sangat sayang kepada parti tersebut.

“Kes yang berhormat melibatkan pendakwaan di mahkamah sudah pun ‘dicairkan’ (diluted) dua tiga tahun yang lalu. Sejauh mana orang mahu menggunakan kes mahkamah sebagai modal pilihan raya. Kerana pendakwaan sedang dilakukan atau pun telah diputuskan.

“Datuk Seri Najib Razak telah pun diputuskan mahkamah. Saya tidak tahu sama ada Ahmad Zahid perlu membela diri atau tidak. Ini (kes) sudah dua tiga tahun. Saya tidak yakin ini jadi faktor utama (kekalahan UMNO pada pilihan raya).

“Kalau dalam korporat terminologi ini adalah fully diluted basis lah,” katanya semasa ditemui di Mahkamah Tinggi.

Mohamad turut hadir bagi memberi sokongan kepada Zahid di mahkamah hari ini.

Di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram di antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-