24/1/2022
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengundi muda dialu-alukan untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan nanti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diputuskan UMNO tanpa berunding dengan mereka dan mengambilkira kepentingan rakyat yang sedang berdepan dengan kesusahan hidup ekoran pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan PN akan membentuk sebuah kerajaan berintegriti dan prihatin kepada kebajikan rakyat, berbanding parti yang tamak kuasa semata-mata.
“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam PRN ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor,” katanya kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu turut turut menyeru pengundi yang layak mengundi supaya keluar mengundi selain turut mengalu-alukan pengundi muda.
“Saya mengalu-alukan semua pengundi baru termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor.
“Tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,” katanya.
Bilangan pengundi di Johor ini terus mencatatkan peningkatan sebanyak 28 peratus berikutan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas direkodkan selepas pendaftaran Undi 18 dilakukan.
Ia juga menyebabkan jumlah keseluruhan pengundi di negeri ini meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Secara puratanya berlakunya pertambahan antara 20 hingga 30 peratus di kesemua 56 kawasan DUN di negeri ini.
DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ia merupakan PRN keempat bakal diadakan sejak pandemik melanda negara.
Ketika ini, secara keseluruhannya, Barisan Nasional (BN) memegang 28 kerusi yang terdiri dari Umno (14), Bersatu (11) dan PAS (satu), sementara Pakatan Harapan (PH) memegang 27 kerusi yang terdiri dari DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
PRN yang bakal diadakan di Johor kali ini menyusuli PRN Sarawak pada Disember tahun lalu di mana ia dimenangi Gabungan Parti Sarawak dengan meraih 76 dari 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sebelumnya, PRN Melaka turut diadakan di mana ia menjadi PRN pertama dilaksanakan selepas perintah darurat ditarik semula.
Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 dari 28 kerusi DUN.
Sementara PH hanya memenangi lima kerusi manakala PN memenangi dua kerusi.
Sebelum perintah darurat diisytiharkan di seluruh negara pada Januari 2021, Sabah juga turut mengadakan PRN.
Bagaimanapun, pelaksanaan PRN di negeri itu menyebabkan peningkatan kes Covid-19 akibat pergerakan pengundi dan jentera pilihan raya yang aktif sepanjang tempoh diadakan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.