Wednesday, January 26, 2022

PRN Johor: UMNO bahagian tak terima PAS jadi rakan kerjasama

agendaily.com
26/1/2022

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada pertemuan bersama Badan Perhubungan UMNO, MCA dan MIC Johor di Johor Bahru, hari ini.

Majoriti kepemimpinan UMNO peringkat bahagian tidak mahu menjalin hubungan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ramai pemimpin bahagian yang mahu supaya Barisan Nasional (BN) bergerak secara solo menghadapi PRN Johor.

Bagaimanapun, katanya kepemimpinan peringkat tertinggi UMNO dan BN akan mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada akan mewujudkan kerjasama dengan PAS.

“Kita akan lihat dengan teliti. Kita akan kaji dengan teliti… tapi buat masa ini majoriti daripada kepimpinan di semua peringkat bahagian, mahukan supaya Barisan Nasional berseorangan di dalam pilihan raya ini.

“Tetapi bagaimanapun peringkat pemimpin tertinggi akan meneliti dengan sebaik-baiknya.

“Apa jua keputusan yang nak dibuat supaya apa yang diputuskan itu nanti semata-mata akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Pengerusi Barisan Nasional bersama Badan Perhubungan UMNO, MCA dan MIC Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan pihak tertentu supaya UMNO dan PAS mengadakan kerjasama strategik bagi menghadapi PRN Johor.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan UMNO menawarkan hanya empat kerusi sahaja kepada parti itu untuk ditandingi pada PRN Johor.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata PAS berhasrat bertanding di semua kerusi yang gagal dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Menawarkan hanya empat daripada 56 kerusi, pada pandangan kami adalah tidak wajar.

“Tawaran kami adalah demi mengukuhkan kerjasama dan menyatukan ummah. Sasaran kami demi memastikan Pakatan Harapan tidak lagi memegang kuasa di Johor,” kata Tuan Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-