Saturday, January 22, 2022

PRN Johor: UMNO yakin menang besar

satuberita.my
By Admin
-January 22, 2022


Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

UMNO Johor yakin akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, parti akan meletakkan calon untuk jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Jentera parti BN dan UMNO sudah bersedia dengan PRN dan mempunyai kepercayaan serta semangat yang tinggi untuk menang.

“Peluang UMNO (untuk menang PRN Johor) amat baik sekali, keyakinan kita tinggi dan kita berharap akan dapat bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRU-14 lalu.

“Soal pengagihan kerusi masih belum diputuskan dan ia akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan ketiga-tiga parti komponen dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Johor di sini hari ini, selepas pulang daripada mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon pembubaran DUN Johor.

Hasni sebelum itu diterima menghadap Sultan Ibrahim untuk mendapat perkenan pembubaran DUN di Istana Bukit Serene jam 5 petang.

Sementara itu, beliau berkata, tujuan mengadakan PRN Johor adalah untuk dapat mandat baharu rakyat kerana sebelum ini kerajaan negeri hanya ‘bergerak’ atas ihsan pembangkang terutama apabila untuk membuat sebarang keputusan.

“Memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan bergerak atas ihsan pembangkang, ini tak wajar berlaku di Johor, sebab itu pertimbangan melakukan pilihan raya dilakukan.

“Saya perlu dapat ‘fresh mandate’. Saya perlu dapatkan semula mandat rakyat Johor untuk Johor lebih maju, lebih berjaya,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN Johor dalam masa terdekat dan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat akan memaklumkan pembubaran DUN kepada pihak SPR.

 – SB

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-