Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
- Februari 21, 2022 @ 5:58pm

Datuk Seri Hasni Mohammad bergambar bersama penerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan Penyumbang Sektor Agromakanan Johor - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan mengemukakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata langkah itu diharap akan memperkuatkan peluang gabungan itu memenangi PRN nanti.
Katanya, BN juga akan mengumumkan 56 calonnya bagi menghadapi PRN Johor, pada Khamis ini.
"Kita dah peringkat akhir muktamadkan calon-calon untuk PRN Johor.
"Johor ada muka baharu yang ramai termasuk calon muda di bawah 40 tahun. Oleh itu, sekurang-kurang 30 peratus calon kita nanti akan menampilkan golongan muka baharu.
"Saya yakin langkah menyenaraikan ramai calon muka baharu dan muda ini akan dapat memperkuatkan peluang BN untuk berjaya pada PRN nanti.
"Senarai penuh calon akan diumumkan pada 24 haribulan nanti (Khamis ini)," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Pada 28 Januari lalu, UMNO dan BN Johor dilaporkan akan melakukan perubahan termasuk mengemukakan calon muda seperti kemahuan masyarakat dan akar umbinya.
Hasni dilaporkan berkata, calon parti akan mengambil kira keperluan semasa termasuk pertambahan pengundi baharu susulan pelaksanaan secara automatik Undi18.
BN turut dilaporkan akan mengumumkan senarai calonnya bagi PRN Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon, 26 Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.