Sunday, February 20, 2022

Ambil ‘popcorn’, tunggu kisah pemimpin Umno dijaja, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-February 20, 2022 12:19 AM

Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak pelik jika lebih banyak kisah pemimpin Umno dijaja sebagai strategi untuk menjejaskan kredibiliti parti itu di mata masyarakat.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin parti itu dijangka terus menjadi sasaran musuh politik yang akan melemparkan pelbagai tohmahan menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan.

Beliau berkata, ironinya segala bentuk tohmahan dan tuduhan akan mula timbul ketika musim pilihan raya sahaja.

“Jika tidak ada pilihan raya, tidak keluar apa-apa cerita. Tiada fail, tiada rundingan.

“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah, kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat, jika tidak menyebelahi pihak mereka,” katanya di Facebook.

Oleh itu, beliau berkata, tidak pelik jika lebih banyak kisah pemimpin Umno dijaja sebagai strategi untuk menjejaskan kredibiliti parti itu di mata masyarakat.

“Kita tunggulah selepas penamaan calon dan tempoh berkempen dalam PRN Johor nanti, pelbagai cerita pemimpin Umno akan terus dijaja.

“Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon Umno di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional. Ayuh, ambil ‘popcorn’, kita tunggu episod seterusnya,” katanya.

Kenyataan itu menyusul tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan pemimpin Perikatan Nasional lain mengkritik Zahid, beberapa pemimpin Umno serta “kluster mahkamah” yang didakwa memaksa PRN Johor diadakan.

Zahid berkata, apabila Bersatu dan Pakatan Harapan berkuasa, Umno berdepan banyak tekanan, khasnya untuk menyingkirkan dirinya dan Najib Razak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-