Friday, February 11, 2022

Pejuang tunggu saat akhir perkenalkan 42 calon PRN Johor

satuberita.my
By Satu Berita
-February 11, 2022


PEJUANG kini dalam proses memuktamadkan pemilihan 42 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti itu dan akan memperkenalkan mereka dua hari sebelum hari penamaan calon.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, calon-calon terpilih diwajibkan menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG) sebelum mereka dimuktamadkan sebagai wakil parti itu.

“Siapa yang akan kami tonjolkan sebagai calon mestilah bersih, cekap dan amanah kerana sudah tiba masanya Johor mempunyai pentadbiran kerajaan negeri yang bersih serta berintegriti.

“Pada ketika itu, kita akan lihat kombinasi nisbah calon, antara lelaki, wanita, orang lama dan orang muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Pejuang malam Khamis.

Mengenai keputusan parti itu yang muktamad untuk bertanding solo pada pilihan raya negeri ini, beliau berkata, jentera parti berkenaan telah bersiap sedia untuk bertanding di Johor.

“Kita ambil perhatian 42 kerusi DUN ini dan kesemua calon akan bertanding di bawah panji Pejuang,” katanya.

Mengenai keyakinan parti berkenaan untuk berjuang solo, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang perlu bergerak yakin meskipun masih baharu dan tidak mempunyai nama-nama terkenal tetapi mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman luas dalam kerajaan sebelum ini.

Ditanya mengenai sama ada Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi model poster parti itu, beliau berkata, ianya tidak salah, malah bekas Perdana Menteri itu masih dikenali dan disayangi rakyat.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ialah pada 26 Februari ini dan hari mengundi pada 12 Mac.

 – SB

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-