Showing posts with label Pejuang. Show all posts
Showing posts with label Pejuang. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Menteri lupa hanya satu VVIP saja dilepaskan, kata peguam Pejuang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 12:15 PM
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Syed yang disifatkan sebagai terlupa ketika menyenaraikan individu kenamaan VVIP penting yang diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).

Menurutnya, Azlina mengumumkan 18 VVIP atau VIP yang telah menerima DNAA berhubung kes-kes mereka di mahkamah sepanjang tahun 2018 ke 2024.

"Tapi yang lupa dinyatakan, hanya seorang sahaja VVIP dalam senarai itu yang penting. VVIP itu adalah presiden Umno merangkap timbalan perdana menteri 1.

"Pada 3 Disember 2022 VVIP ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 atas nasihat perdana menteri. Pada 4 Sept 2023 , VVIP ini diberikan DNAA bagi 47 kes yang mana VVIP ini telah dipanggil bela diri," katanya dalam kenyataan yang jelas merujuk kepada kes Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid (kiri) bersama Azalina
Semalam Azalina dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen berkata keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) adalah selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana peguam negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

"Dalam menjalankan kuasa berkenaan, peguam negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung," katanya.

Azalina bagaimanapun tidak menyatakan siapa VIP yang diberikan DNAA itu.
Ahmad Zahid Hamidi
Rafique pula berkata Zahid memperolehi DNAA apabila Jabatan Peguam Negara sama yang tuduh dan dakwanya dapati ada 11 alasan lanjut yang perlu disiasat.

"Kini sudah 17 bulan dan siasatan masih belum selesai?


"Maka hanya satu VVIP yang dapat DNAA pada masa VVIP ini menjadi timbalan perdana Menteri 1. Dari 2018 hingga 2024, hanya satu sahaja VVIP yang peroleh DNAA semasa menjawat jawatan kabinet.

"VVIP ini peroleh DNAA pada zaman pemerintahan PMX (Perdana Menteri, Anwar Ibrahim)," katanya yang juga seorang peguam.

Wednesday, March 13, 2024

Dulu perjuang, tapi kini sekat kebebasan suara

harakahdaily.com
March 13, 2024
Dr Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan semasa berada di blok pembangkang dahulunya telah memperjuangkan isu kebebasan bersuara, namun kini kelihatan menyekat terlalu banyak kandungan terutama di platform media sosial.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) membangkitkan isu dialami kebanyakan akaun individu di sosial media yang apabila menjelaskan beberapa fakta berkaitan, kandungan itu akan diturunkan dan disekat.

“Jadi apakah pendirian kerajaan sebenarnya berkaitan dengan kebebasan bersuara?Adakah kebebasan bersuara ini hanya diguna pakai apabila pihak kerajaan pada hari ini berada di sebelah pembangkang?

“Tetapi apabila masuk kerajaan dah tak boleh dah kebebasan bersuara,” pertikainya semasa mencelah sesi penggulungan oleh Kementerian Komunikasi kepada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurut Radzi, isu kebebasan bersuara berkenaan turut dialami beliau sendiri apabila fakta yang berkaitan dengan kejatuhan Ringgit Malaysia telah diturunkan dari platform media sosialnya.

“Adakah terdapat arahan daripada kerajaan supaya disekat untuk akses (saya tak cakap akaun profil saya) malah, posting spesifik tersebut. Soalan saya kalau dahulu, sebelah sana duduk (kerajaan), sebelah sini pembangkang bercakap tentang kebebasan bersuara adakah tidak diberi keutamaan,” katanya.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bagaimanapun menjawab seandainya tidak ada kebebasan bersuara sudah tentu seluruh platform media sosial milik Putrajaya tidak ada.

“Jadi kalau nak tuduh, saya rasa tuduhan itu tidak benarlah, saya boleh jawab,” nafi beliau, amun Radzi bingkas bangun untuk membetulkan kembali jawapan yang dilontarkan Menteri yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

“Ini bercakap tentang tuduhan, dia sebut tuduhan. Saya tak menuduh, saya kata kebebasan bersuara berkaitan dengan perkara itu. Jangan pusing semua, itu contoh bagaimana kerajaan menghalang kebebasan bersuara, jawab tentang Ringgit jangan pusing merata,” bidasnya – 

Friday, March 24, 2023

Tuan Ibrahim cadang PEJUANG dibubar, ahli sertai PAS, Bersatu

agendaily.com
24/03/2023
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan PEJUANG dibubarkan manakala ahlinya menyertai PAS atau Bersatu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) untuk menyertai gabungan itu kerana bimbang kemasukan parti baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan mengganggu perbincangan pembahagian kerusi.

“Masa dia masuk dekat PRN… parti komponen PN sudah bincang (pembahagian kerusi)… bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya menurut laporan FMT.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu, PEJUANG yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan sahaja kalah semua kerusi ditandingi, malah calonnya termasuk Dr Mahathir turut hilang wang deposit.

Sejak itu PEJUANG terus dilanda krisis dengan Dr Mahathir kemudian mengumumkan keluar parti dan menyertai Putra pimpinan Datuk Ibrahim Ali, manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz memohon PEJUANG menyertai gabungan PN.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab PEJUANG bukan parti utama sepertimana UMNO atau Bersatu.

“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim juga berkata PEJUANG wajar dibubarkan dan ahlinya menyertai PAS atau Bersatu.

“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

Selain Mukhriz yang juga ADUN Jitra, PEJUANG juga memegang tiga kerusi DUN iaitu Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor yang dimenangi ahlinya ketika bertanding bawah tiket Bersatu dan Pakatan Harapan pada 2018.

“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” kata Tuan Ibrahim.

Pada 21 Mac lalu, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan menolak permohonan PEJUANG untuk menyertai gabungan itu.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Tuesday, March 21, 2023

PN tolak permohonan keahlian Pejuang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 21, 2023 
Dikemaskini: 4:04 PM
Usaha Pejuang untuk mendapatkan keselamatan politik yang lebih terjamin dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) gagal.

Majlis Tertinggi PN hari ini memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat semalam.
“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah tidak memberikan sebarang alasan mengapa gabungan berkenaan memutuskan untuk menolak Pejuang.

Kenyataan itu uga tidak menyebut tentang Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga dilaporkan berhasrat untuk menyertai PN.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN dan dihadiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Wednesday, October 26, 2022

Dr M: Kenapa tiada tindakan pada Apandi Ali hingga kini?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 26, 2022 9:00 AM
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kenapa tiada tindakan yang diambil terhadap bekas peguam negara Apandi Ali berhubung dakwaan bersubahat dalam skandal 1MDB.

Dalam klip video yang dikongsi di media sosialnya, Mahathir berkata dia hairan tiada tindakan diambil sehingga hari ini.

"Saya berasa amat pelik, kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Apandi Ali.

"Apandi telah melakukan kesalahan semasa dia menjadi peguam negara sebelum Tommy Thomas. Kesalahanya melepaskan Najib dari sebarang tindakan undang-undang jelas menunjukkan Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB, sedangkan Najib kini di penjara," katanya.

Pada 2015, Apandi mengambil alih sebagai peguam negara daripada Abdul Gani Patail selama tiga tahun. Apandi kemudiannya digantikan oleh Thomas pada 2018.

Mahathir memetik penghakiman bertulis hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar pada 23 Mei 2022 yang menolak saman fitnah bekas peguam negara itu terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

"Hakim Azimah telah membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain adalah seorang yang tidak bercakap benar. Gagal melaksanakan tugas sebagai peguam negara, ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB.

"Hakim Azimah (dalam penghakimannya) turut menyatakan rasa meluat makhamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas," kata Mahathir.

Mahathir juga mendakwa bahawa banyak laporan polis dibuat berikutan penghakiman itu - tanpa sebarang tindakan diambil ke atas perkara itu, sehingga kini.

"Berikutan kenyataan (penghakiman oleh) hakim Azimah, banyak laporan polis dibuat terhadap Apandi tetapi hingga kini, tidak ada sebarang tindakan diambil sebaliknya kerajaan beri pampasan jutaan ringgit pada Apandi kerana kerajaan terdahulu telah tamatkan perkhidmatannya atas kegagalan menjalankan tugasnya," kata Mahathir.

Wednesday, October 19, 2022

‘Kezaliman’ Dr M sukar ‘dijernihkan’, PAS enggan terima Pejuang

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-October 19, 2022 10:40 AM
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zuhdi Marsuki, berkata ketika Dr Mahathir Mohamad berada di puncak kuasa, beliau sentiasa memusuhi PAS dan meminggirkan negeri yang ditadbir parti itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kezaliman Dr Mahathir Mohamad terhadap PAS ketika menjadi perdana menteri keempat sukar “dijernihkan”, menyebabkan parti itu susah untuk terbuka bekerjasama dengan Pejuang seperti mana diusahakan oleh Bersatu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zuhdi Marsuki, berkata ketika Mahathir berada di puncak kuasa, beliau sentiasa memusuhi PAS dan meminggirkan negeri yang ditadbir parti itu dengan menyekat pembayaran royalti petroleum dan peruntukan pembangunan di Kelantan dan Terengganu.

“Sangat sukar dijernihkan sejarah kezaliman beliau, apatah lagi untuk ahli-ahli PAS diajak bekerjasama dengan Pejuang seperti yang cuba diusahakan oleh Bersatu pada masa kini.

“Sejarah hubungan Mahathir dan PAS semasa beliau menjadi perdana menteri dan presiden Umno begitu berkeladak, keruh sekeruh-keruhnya,” katanya di Facebook.

Pada 13 Okt, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berkata parti itu bersedia mempertimbangkan kerjasama dengan Pejuang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti dipimpin Mahathir itu serius mengenainya.

Dalam pada itu, Zuhdi mendakwa kemuncak permusuhan Mahathir terhadap PAS apabila berlakunya tragedi Memali pada Nov 1985.

“Peristiwa Pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan murid-muridnya berlaku di kala Mahathir menjadi perdana menteri, yang sehingga hari ini masih misteri tentang siapakah sebenarnya pencatur di sebalik pertempuran pasukan polis dan orang-orang kampung?

“Sehingga hari ini Mahathir tidak pernah menyesal dengan kejadian ini,” dakwanya.

“Pendek kata, di zaman Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden Umno, tekanan terhadap PAS dan kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS begitu memuncak.”

Thursday, October 13, 2022

'BERSATU sedia pertimbang kerjasama dengan PEJUANG' - Muhyiddin

bharian.com.my
Oleh Noor Atiqah Sulaiman
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 13, 2022 @ 12:12pm
Muhyiddin berbual bersama peserta Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: BERSATU sedia untuk mempertimbangkan mengenai jalinan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya parti berkenaan serius mengenai perkara itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setakat ini tiada pihak yang menghubunginya berhubung kerjasama itu.

"Setakat ini tiada pihak yang berhubung dengan saya mengenai soal itu, lagi pun kita sudah berada dalam fasa persiapan. Jadi, saya tidak tahu kalau ada cadangan berkenaan, sebab dulu pun kita pernah bincang, tetapi pada awal dulu lah.

"Tetapi, selepas itu tidak jadi apa-apa, jadi kita kurang pasti sama ada serius atau tidak. Kalau pihak sana (PEJUANG) serius dan berbincang dengan serius, kita sedia menimbangkan.

"Ia juga bukan hak saya sebab kita kena bawa perkara ini ke Majlis Tertinggi BERSATU sama ada perkara difikirkan perlu atau tidak, tetapi secara keseluruhannya Perikatan Nasional (PN) dah siap sedia," katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan mempertimbang untuk mengadakan kerjasama politik dengan parti lain yang dikira 'sebulu' dengan parti itu bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menamakan parti mana yang pihaknya mahu bekerjasama dan menyatakan kesanggupan untuk mengadakan kerjasama sekiranya berkenaan ingin menyelamatkan negara daripada pemerintahan UMNO.

Monday, June 20, 2022

Dr M: Bersatu tak terima RM1.3 juta didakwa diberi pada Muhyiddin

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jun 20, 2022 11:11 AM
Bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata partinya dahulu tidak pernah menerima sumbangan sebanyak RM1.3 juta yang didakwa diberikan kepada Muhyiddin Yassin, pada 2018.

Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata dia tidak pasti berhubung kebenaran dakwaan terhadap presiden Bersatu itu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata sebagai pengerusi Bersatu ketika itu, dia berkata dana yang disebutkan itu tidak sampai ke bendahari parti.

“Saya tak tahu betul, tak betul… Yang saya tahu duit itu tak masuk tabung kita. Kalau sebarang wang yang diterima dari penderma, (ia) bukan disimpan oleh orang yang menerima. Saya pun kalau terima duit, saya serah kepada bendahari.

“Tetapi, setakat saya tahu, Muhyiddin Yassin tidak serah kepada bendahari sebanyak RM1.3 juta yang disebutkan ini.

“Ini bermakna bahawa sama ada dia dapat atau tak dapat, hakikatnya adalah tiada serahan wang RM1.3 juta kepada bendahari kita,” katanya kepada pemberita ketika satu majlis di Kuala Lumpur semalam.

Muhyiddin didakwa menerima RM1.3 juta oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) secara tunai dalam tiga peringkat pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Ia didedahkan oleh bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, iaitu saksi di dalam perbicaraan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Jun lalu.

Selain Muhyiddin antara ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding itu ialah Khairy Jamaluddin, Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin Hussein, Mohd Shafie Apdal dan Anifah Aman.

Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi itu turut mengesahkan berdasarkan catatan lejar itu, UKSB memberi Khairy dana keseluruhan sebanyak RM3.7 juta manakala Reezal Merican, berdasarkan laporan forensik SPRM, antara RM200,000 hingga RM300,000.

Setakat ini, hanya Muhyiddin dan Anifah yang telah menafikan menerima dana tersebut.

Muhyiddin berkata dakwaan berkenaan adalah palsu kerana menurutnya dia ketika itu sedang menjalani rawatan kanser, pada tarikh yang didakwa Tan itu.

Saturday, June 4, 2022

Pejuang tak gerak solo, tapi takkan kerjasama ‘penyangak’ – Tun M

wartarakyat.com.my
By Bernama
-June 4, 2022
PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuka pintu kerjasama dengan golongan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang tidak bergerak secara solo, namun menegaskan tidak akan bekerjasama dengan ‘penyangak’.

“Banyak NGO sudah kita jumpa termasuklah pesara guru dan tentera kerana kumpulan ini juga berhak mengundi. NGO ini masing-masing ada penyokong, kita tahu mereka bercakap tentang masalah orang Melayu dan mereka juga berminat menyelamatkan masa depan (orang Melayu),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan permukiman Pejuang negeri Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Mengulas mengenai pemukiman berkenaan, Dr Mahathir berkata ia adalah usaha menerangkan hala tuju parti itu menerusi pertemuan dengan pemimpin di peringkat negeri.

“Ramai yang tidak kenal apa itu Pejuang walaupun dalam kalangan ahli dan pemimpin parti ini. Mereka tak mengetahui dengan mendalam kenapa parti ini diwujudkan.

“Jadi kita datang ke setiap negeri untuk jelaskan dan diharap permukiman ini dapat memberi semangat kepada ahli parti untuk bekerja lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.

– Bernama

Thursday, March 31, 2022

PRU-15: BERSATU mahu kerjasama PEJUANG

bhnews@bh.com.my
Oleh Zatul Iffah Zolkiply 
bhnews@bh.com.my
- Mac 31, 2022 @ 6:43pm
Mukhriz semasa sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.
- Foto NSTP/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU: BERSATU mencadangkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bertemu Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk perbincangan awal.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pertemuan Muhyiddin dan Dr Mahathir diadakan kira-kira dua minggu lalu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Dua minggu lepas PRN Johor, dia yang mohon untuk berjumpa dan Tun kata ok untuk berjumpa.

"Belum bersetuju dengan apa yang disebutkan itu. Setakat ini, 'approach' tu sudah ada tetapi setuju atau tak belum lagi.

"Mungkin buat masa ni, saya boleh katakan tak atau kurang bersetuju dengan apa yang dicadangkan (membentuk kerjasama)," katanya ketika ditemui pada Permukiman PEJUANG Terengganu, di sini hari ini.

Ditanya mengenai hubungan di antara Dr Mahathir dan Muhyiddin, Mukhriz menyifatkan hubungan dua pemimpin itu masih lagi dingin, di sebalik tawaran bekerjasama yang dicadangkan BERSATU.

"Luka kami belum pulih. Dok berdarah lagi tetapi kami faham demi negara dan rakyat, tiada benda yang kami tidak sanggup buat kalau niatnya betul," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, PEJUANG tidak akan membentuk kerjasama dengan kumpulan kleptokrat serta yang mempuyai kluster mahkamah dalam menghadapi PRU-15.

"Saya pernah nyatakan sebelum ini PEJUANG tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat. Jadi, di mana ada kluster mahkamah, di situ kami tiada.

"Tak perlu pertimbang adakah boleh UMNO? Duduk semeja dengan UMNO contohnya. Yang itu saya ingat paling ekstrem. Jauh bezanya tetapi yang berada tengah-tengah ini banyak lagi.

"Ketika ini, PEJUANG mengadakan beberapa perjumpaan dalam kalangan pembangkang dan kerajaan sendiri," katanya.

Monday, March 21, 2022

Anwar, Muhyiddin dan Tun M akan bincang kerjasama politik?

inforakyat.net

21/3/2022

Anwar, Muhyiddin dan Tun M akan bincang kerjasama politik? Sudah sampai masanya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berbincang untuk bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bendahari Kelab Veteran Bersatu Malaysia (KVBM), Saifulanuar Yahya berkata, semua pihak perlu melupakan persengketaan dan ego masing-masing sebaliknya merangka strategi bersama-sama untuk PRU15.

“Kekalahan PN dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebenarnya adalah satu hikmah, ini melihatkan di mana kelemahan PN dan PH. Kelemahan ini boleh dibaiki dalam PRU15.

“Kita boleh gunakan formula kerjasama politik yang sama dalam PRU14 dan ini sudah terbukti berjaya, bagi pemilihan logo parti atau logo gabungan mana akan digunakan, itu boleh dibincangkan nanti.

“Kita harus belajar daripada kesilapan PRN Johor. Analisis mendapati pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor hanya 35 peratus manakala 65 peratus lagi menyokong PN dan PH,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia, Larkin di sini pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha KVBM, Datuk Jemale Paiman, Ketua Penerangannya, Haron Ariffin serta dua Ahli Jawatankuasanya Norzri Mokhtar serta Lokman Abu

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa PH, PN dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengadakan kerjasama strategik bagi mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat dan seterusnya mampu menumbangkan BN pada PRU15.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum itu menjangkakan akan wujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang BN dalam PRU15 kerana perpecahan hanya memberi kelebihan kepada BN.

Mengulas lanjut, Saifulanuar berkata, melalui perbincangan itu nanti dicadangkan PN dan PH masing-masing bertanding di 111 kerusi Parlimen serta memastikan tidak akan berlaku pertembungan kerusi sesama mereka.

Katanya, bagi parti pembangkang lain contohnya Pejuang, Muda atau Parti Warisan (Warisan), mereka boleh memilih untuk menyertai PN atau PH dan semuanya perlu mengutamakan semangat setiakawan dan mempunyai matlamat yang sama iaitu menang PRU15.

“PN dan PH boleh tanding di semua 222 kerusi Parlimen, kita bahagi dua, PN tanding 111 kerusi Parlimen, PH juga tanding 111 kerusi Parlimen, kita bahagikanlah supaya tidak ada satu kerusi pun yang bertembung,” katanya.

Beliau akui akan ada parti-parti komponen dalam PN atau PH mempunyai perbezaan pandangan yang menyukarkan rundingan termasuk beberapa pemimpin gabungan politik tersebut sudah pun mengeluarkan kenyataan membantah rancangan itu baru-baru ini.

Namun katanya, itu semua hanya pandangan peribadi pemimpin berkenaan serta tidak mewakili parti, apabila keputusan sudah dipersetujui kepimpinan tertinggi nanti semua pihak perlu akur untuk kepentingan semua.

Sementara itu, Jemale berkata, perancangan untuk PN, PH dan parti pembangkang lain bergabung tidak mustahil dilaksanakan malah sudah terbukti pada PRU14 sehingga berjaya menjatuhkan BN yang memerintah lebih 60 tahun.

Tambahnya, amat penting hanya dua gabungan politik bertanding dalam PRU15 kerana PRN Johor membuktikan PN dan PH gagal sedangkan BN sebenarnya tidak kuat serta masih lagi ditolak rakyat.

Friday, February 11, 2022

Pejuang tunggu saat akhir perkenalkan 42 calon PRN Johor

satuberita.my
By Satu Berita
-February 11, 2022


PEJUANG kini dalam proses memuktamadkan pemilihan 42 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti itu dan akan memperkenalkan mereka dua hari sebelum hari penamaan calon.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, calon-calon terpilih diwajibkan menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG) sebelum mereka dimuktamadkan sebagai wakil parti itu.

“Siapa yang akan kami tonjolkan sebagai calon mestilah bersih, cekap dan amanah kerana sudah tiba masanya Johor mempunyai pentadbiran kerajaan negeri yang bersih serta berintegriti.

“Pada ketika itu, kita akan lihat kombinasi nisbah calon, antara lelaki, wanita, orang lama dan orang muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Pejuang malam Khamis.

Mengenai keputusan parti itu yang muktamad untuk bertanding solo pada pilihan raya negeri ini, beliau berkata, jentera parti berkenaan telah bersiap sedia untuk bertanding di Johor.

“Kita ambil perhatian 42 kerusi DUN ini dan kesemua calon akan bertanding di bawah panji Pejuang,” katanya.

Mengenai keyakinan parti berkenaan untuk berjuang solo, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang perlu bergerak yakin meskipun masih baharu dan tidak mempunyai nama-nama terkenal tetapi mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman luas dalam kerajaan sebelum ini.

Ditanya mengenai sama ada Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi model poster parti itu, beliau berkata, ianya tidak salah, malah bekas Perdana Menteri itu masih dikenali dan disayangi rakyat.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ialah pada 26 Februari ini dan hari mengundi pada 12 Mac.

 – SB

Friday, September 17, 2021

PM pernah bincang lantik saya jadi Pengerusi MPN, kata Dr M

FMT Reporters
-September 17, 2021 11:12 PM

Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, tiada tawaran rasmi daripada mana-mana pihak, termasuk Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara selepas itu.

PETALING JAYA: Pengerusi PEJUANG, Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dan Ismail Sabri Yaakob pernah membincangkan jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) diisi olehnya.

Tetapi, beliau dipetik Sinar Harian berkata, tiada tawaran rasmi diterima daripada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri selepas itu.

Pada 14 Sept lalu, Ismail mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Ismail berkata, pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas Perdana Menteri itu memegang jawatan berkenaan sejak MPN ditubuhkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional.

Sementara itu, Mahathir menyifatkan tindakan Putrajaya melantik ahli politik memegang jawatan bertaraf menteri sebagai pembaziran kerana peruntukan bagi membayar gaji ahli politik itu sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pembabitan ahli politik dalam badan kerajaan harus dihentikan kerana ia hanya memberi manfaat berat sebelah kepada individu tertentu.

“Mana perkara boleh tangguh, tangguh dan yang perlu didahulukan adalah masalah rakyat. Ini penting kerana mereka takut dijangkiti penyakit. Ada ramai mati dan sudah ramai tak tahan dengan ‘lockdown’.

“Perkara yang tak penting kerajaan ada pula duit. Ada macam-macam duit untuk benda-benda politik, tetapi berkenaan masalah rakyat tidak diberi perhatian,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu di pejabatnya hari ini.

Wednesday, August 18, 2021

Dr M: Pejuang pertimbang jika ada pelawaan sertai PN

malaysiakini.com
Diterbitkan 18 Aug 2021, 10:54 pm

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya sedia mempertimbangkan sekiranya ada pelawaan daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai kabinet di bawah gabungan itu.

"Kita akan fikir," kata Mahathir dalam program bual bicara terbitan Bernama, sebentar tadi.

Terdahulu, Mahathir ditanya apakah bekas perdana menteri itu atau kalangan pemimpin Pejuang akan menyertai kabinet PN sekiranya dijemput untuk menyertai mereka, yang mana terdapat kumpulan dalam Umno yang digelar 'kleptokrat'.

Ketika ditanya sama ada ahli parlimen Langkawi itu akan menyertai Pakatan Harapan (PH) jika gabungan itu dapat membentuk kerajaan, Mahathir tidak menjawab soalan tersebut.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata dia tidak berminat dengan kedudukan dalam kabinet dan hanya mahu menangani peningkatan kes Covid-19.

"Saya tak berminat dengan kabinet, saya cuma nak dapatkan kuasa untuk tangani masalah Covid-19," katanya ringkas.

Pada April lalu, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin berkata gabungan itu sedia menerima sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir asalkan mengikuti perlembagaannya.

Ini selepas Mahathir berkata dia "mungkin" mempertimbang untuk menyertai PN jika tiada 'penjenayah' dalam kerajaan ketika itu.

Isnin lalu, Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri setelah 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Setakat ini, persaingan untuk merebut jawatan perdana menteri dipercayai melibatkan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Port Dickson).

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong hari ini menitahkan agar kesemua 220 ahli parlimen menghantar nama calon perdana menteri secara bertulis sebelum jam 4 petang.

Ahli Parlimen dari Umno dan Bersatu menyatakan parti itu akan menyokong Ismail, manakala Pakatan Harapan dan sekutunya mendakwa Anwar mempunyai 105 sokongan ahli parlimen.

Bagaimanapun, sebelum ini seorang anggota parlimen dari GPS berkata mereka secara prinsip telah bersetuju untuk menyokong Ismail Sabri - memberikan naib presiden Umno itu cukup sokongan untuk membentuk kerajaan.

Namun, tanda tanya mula timbul apabila Pengerusi GPS, Abang Johari Openg mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa mereka akan menyerahkan perkara berkenaan kepada "kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong".

Ini ditafsirkan oleh beberapa pihak sebagai GPS berkecuali dalam pemilihan calon perdana menteri.

Seorang calon perdana menteri memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 111 ahli parlimen untuk membentuk majoriti mudah.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar perdana menteri yang baru masih perlu membuktikan majoriti diperolehinya secepat mungkin di Dewan Rakyat.

Friday, June 4, 2021

Mahathir anggap PH akan beri beban kepada Pejuang, tak minat untuk teruskan kerjasama

inforakyat.net

04/06/2021 10:20 AM


Dr Mahathir Mohamad berkata Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak berminat untuk mewujudkan pakatan dengan PH dalam pilihan raya, ekoran “beban” yang digalas gabungan itu.

Menurutnya, Pejuang sebaliknya mungkin akan mengusahakan kerjasama dengan Warisan dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PRU15.

Ditanya berkenaan perancangan parti yang diasaskannya itu, Mahathir berkata Pejuang pada masa ini kekal sebgai “kuasa ketiga” bebas sehinggalah PRU diadakan.

“Tapi kalau dekat PRU kita dapati ada parti lain yang mempunyai matlamat yang sama, kita mungkin adakan kerjasama pilihan raya dengan mereka.

“Tapi pada masa ini kita tunggal, parti tunggal yang memberi pilihan kepada orang ramai yang tak suka pada rasuah (dan) tak suka pada PH,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata Pejuang tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam PH atau Perikatan Nasional (PN).

“Mereka bukan daripada PH, bukan daripada PN.

“Ada sebuah parti dari Sabah (iaitu) Warisan, yang pada masa ini tidak bersekutu dengan mana-mana parti lain.

“Ada juga parti yang belum didaftarkan (iaitu) Muda, parti orang muda,” katanya lagi.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda sebagai parti politik.

Mahathir menubuhkan parti itu selepas dia dan beberapa pemimpin lain dibuang daripada Bersatu tahun lalu.

‘Bebas dari masa lalu’

Mahathir mengetuai PH untuk menewaskan BN dalam PRU14 – sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Dia kemudian menjadi perdana menteri selama 22 bulan sebelum keruntuhan pentadbiran PH akibat ‘Langkah Sheraton’.

Ditanya mengapa Pejuang seperti menjarakkan diri daripada PH dan jika ia disebabkan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Mahathir berkata dia ingin “bebas” bagi memberi pilihan lain buat pengundi.

“Apabila kita ada hubungan dengan parti lain, tentunya beban mereka akan beri kesan kepada kita. Masa silam mereka akan beri kesan kepada kita.

“Ada orang yang tak senang dengan DAP. Sesetengah orang tak senang dengan Amanah atau PKR. Kami tak ingin terkesan dengan pencapaian mereka yang sebelumnya.

“Kita ingin bebas dan jadi kuasa ketiga agar rakyat ada pilihan (lain), berbanding dua gabungan saja,” katanya lagi.

Baca selanjutnya : https://www.inforakyat.net/mahathir-anggap-ph-akan-beri-beban-kepada-pejuang-tak-minat-untuk-teruskan-kerjasama/

Friday, February 26, 2021

Mungkinkah Warisan sertai BN-Umno untuk PRU15?

freemalaysiatoday.com
Durie Rainer Fong
-February 26, 2021 8:08 AM

Shafie Apdal mempunyai hubungan rapat dengan Dr Mahathir Mohamad tetapi, sebagai naib presiden Umno, beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan ramai pemimpin tertinggi parti itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Warisan, yang memerintah Sabah sebagai negeri pembangkang selepas pilihan raya umum lalu, mungkin akan beralih kepada parti dan gabungan lain berbanding bekerjasama dengan parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata penganalisis.

Ini kerana tidak banyak yang boleh ditawarkan Pejuang – yang statusnya masih tergantung akibat pendaftarannya yang ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) – kepada parti Sabah itu dalam usahanya untuk kembali sebagai kuasa besar politik di negara ini.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Romzi Ationg berkata, spekulasi yang semakin mendapat perhatian adalah Warisan akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN)-Umno pada PRU15.

Beliau berkata, wujud desas-desus dalam kalangan ahli politik bahawa Warisan juga sedang meninjau semula perjanjiannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan dengan itu memerlukan pengganti yang kuat untuk memastikan kelangsungannya sekiranya ia berpisah dengan PH.

“Apa-apa mungkin berlaku dalam politik, tetapi saya rasa tidak elok untuk Warisan memberi tumpuan kepada Mahathir dan Pejuang,” katanya kepada FMT.

“Presiden Warisan Shafie Apdal, yang bersama dengan pemimpin PH Anwar Ibrahim disebut-sebut sebagai calon perdana menteri, harus menumpukan perhatian dalam mengukuhkan cengkaman partinya ke atas Sabah dan juga politik persekutuan dengan bekerjasama dengan parti yang dianggap lebih relevan kepada politik Malaysia.

“Kerjasama politik (yang harus diusahakan Warisan) juga harus mampu menjadikan Sabah sebuah negeri maju setara dengan negeri lain di semenanjung,” katanya.

Romzi mengulas cadangan penganalisis sosiopolitik Azman Awang Pawi bahawa Warisan mungkin akan menyokong Mahathir pada PRU15 kerana “hubungan peribadi” Shafie dengan bekas perdana menteri itu.

Walaupun beliau tidak yakin 100% bahawa Warisan akhirnya akan bekerjasama dengan musuh politiknya kini, Romzi berkata, parti itu mungkin akan lebih suka bekerjasama dengan BN-Umno kerana ia lebih stabil berbanding Perikatan Nasional.

Shafie sendiri adalah bekas naib presiden Umno dan mempunyai ramai kawan rapat dalam kalangan pemimpin Umno.

Romzi berkata, Warisan dan BN-Umno dapat saling melengkapi, dengan Warisan memerlukan sekutu untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU15 dan BN-Umno memerlukan parti tempatan yang kuat untuk menolong mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

“Kenapakah Warisan akan memilih BN-Umno berbanding PN? Antara sebabnya adalah Umno masih kuat di semenanjung (berbanding PN),” katanya.

Masih belum terjamin sama ada pakatan seperti itu akan wujud kerana timbalan presiden Warisan, Darell Leiking, sebelumnya berkata, partinya tidak mungkin akan bergabung dengan Umno.

Ini susulan dakwaan bahawa ramai Ahli Parlimen daripada parti semenanjung itu dan BN menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Umno Sabah adalah sebahagian daripada pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama-sama dengan PN dan Parti Bersatu Sabah.

Semalam, ADUN Warisan Hassan A Gani Pg Amir meninggalkan Warisan untuk kembali kepada GRS, yang kini bersekutu dengan kerajaan PN.

Namun, pemerhati politik menganggap hubungan antara Umno Sabah dan sekutu GRSnya meruncing, terutama dengan PPBM Sabah selepas ketegangan mengenai jawatan ketua menteri berikutan pilihan raya negeri tahun lalu.

Umno Sabah membantu GRS memperoleh majoriti tipis 38 kerusi, tetapi menyerahkan jawatan ketua menteri kepada PPBM Sabah, yang menimbulkan kemarahan sejumlah pemimpin Umno.

Timbalan dekan Universiti Sarawak Malaysia Arnold Puyok berkata, kerjasama Warisan dengan BN-Umno mungkin tidak dapat diterima oleh sebilangan penyokongnya.

“Tetapi Warisan harus sedia bekerjasama dengan siapa pun jika ia ingin sekali lagi menjadi pucuk pimpinan,” katanya, sambil menambah, Warisan masih mempunyai pilihan sekutu politik bagi PRU15

Beliau juga berkata, Warisan mungkin akan lebih rugi sekiranya parti itu memihak kepada Mahathir, yang menurutnya adalah individu yang menyebabkan pecah belah di kedua-dua Sabah dan Sarawak.

“Warisan sepatutnya sudah menyedari bahawa Mahathir sedikit sebanyak boleh dipersalahkan atas kejatuhan PH.

“Bagi Warisan, risiko bekerjasama dengan Pejuang jauh lebih besar berbanding manfaat,” katanya.

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan Romzi dan Puyok, dan percaya bahawa Warisan akhirnya akan memilih untuk mengekalkan pakatan politiknya dengan PH, tetapi bekerjasama dengan Pejuang pada masa yang sama.

“Kerjasama Warisan-Pejuang dapat dilihat sebagai usaha untuk menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.


Sama ada ia diterima oleh PH adalah isu lain, katanya, tetapi seperti yang terbukti dalam sejarah, apa-apa sahaja mungkin berlaku dalam politik Sabah.

Sunday, February 14, 2021

Penyokong Dr M cadang formula kerjasama dengan PH, elak dua penjuru

 puteradaily.com

February 14, 2021

Buat pertama kalinya kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan formula kerjasama mereka dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.

Kumpulan penyokong Dr Mahathir yang memperkenalkan mereka sebagai ‘The Third Force bloc’ atau Pasukan Ketiga mahu bertanding 98 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang dan mencadangkan Pakatan Harapan bertanding 124 kerusi.

Dalam satu tulisan yang dibuat oleh penyokong kuat mereka, Raggie Jessy Rithaudeen, The Third Force dianggotai oleh Pejuang akan bertanding 50 kerusi, Warisan (23) dan lain-lain (25).

Kerusi-kerusi itu adalah kerusi yang telah dimenangi oleh Pejuang dan Warisan sekarang serta sejumlah kerusi yang lain.

Tulisan itu mencadangkan, PKR bertanding 50 kerusi, DAP (42) dan AMANAH (32).

Cadangan ini bertujuan untuk mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru, kata tulisan itu lagi.

“Semua pihak akan bertemu selepas pilihan raya umum untuk menentukan siapakah yang patut menjadi perdana menteri,” cadang tulisan itu.

Tulisan ini mengandaikan, Bersatu, Umno dan Pas serta rakan-rakan mereka akan bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan tidak akan bertembung antara satu sama lain.

Ini adalah cadangan yang pertama datang dari kumpulan Tun Dr Mahathir untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam pilihan raya umum akan datang selepas berpecah dengan Pakatan Harapan.

Dr Mahathir masih menjadi faktor dalam pilihan raya di Malaysia.

Yang menjadi isu juga adalah apakah Umno akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya nanti kerana kedua-duanya merebut kerusi yang sama.

Dalam mesyuarat bahagian-bahagian Umno awal Januari lepas, 147 dari 222 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Namun begitu, Umno sedang dipujuk oleh Pas terutamanya bahawa tanpa kerjasama dengan Bersatu dan Pas, mereka akan kalah.

Jika Umno bertegas dengan keputusannya tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, akan terbentuk tiga blok utama dalam pilihan raya umum akan datang.

Perikatan Nasional (PN) di mana Bersatu akan bersama dengan Pas dan rakan-rakannya termasuk Gerakan yang baru menyertai mereka.

Barisan Nasional yang terdiri dari Umno, MIC dan MCA.

Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan AMANAH yang bekerjasama dengan kumpulan The Third Force pimpinan Dr Mahathir.

 | MD

Selesaikan Covid-19 secara tuntas, bukan pilihan raya umum

Oleh MALAYSIA DATELINE
February 14, 2021 


Parti Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad beranggapan sekarang bukan masa yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum kerana ancaman Covid-19.

Oleh itu, presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menyifatkan sekarang bukan masa sesuai untuk mana-mana pihak menggerakkan usaha ke arah mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, negara masih bedepan ancaman Covid-19 dan keutamaan semua pihak ketika ini adalah memikirkan tentang keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Kami rasakan bahawa bukan masanya untuk adakan pilihan raya umum lagi. Biarlah habis penggal ini pun tak apa iaitu pada 2023.

“Tapi dalam tempoh sekarang sampai tempoh 2023, kalau ubah semula kerajaan tak apa asalkan jangan kita mendedahkan rakyat kepada risiko penularan wabak ini seperti mana yang berlaku setelah Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sanitasi Masjid di Jerlun, semalam

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang turut disertai pembangkang juga menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan raya umum akan diadakan segera sebaik sahaja wabak Covid-19 reda.

Ini berikutan desakan yang dibuat oleh Umno agar pilihan raya diadakan segera untuk membentuk kerajaan baru berikutan kerajaan yang ada ini tidak stabil.

Menurut pengalisis, Muhyiddin besar kemungkinan akan memohon Yang Dipertuan Agong membubarkan parlimen selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos nanti.

Ini kerana, kerajaan beliau kini adalah kerajaan minoriti berikutan pengumuman beberapa ahli parlimen Umno yang menarik sokongan mereka kepada beliau.

“Sebelum parlimen bersidang dan beliau terbukti hilang sokongan, dan kerajaannya jatuh, baik beliau membubarkan parlimen terlebih dahulu,” kata sumber itu.

Namun begitu, jika Muhyiddin berbuat demikian, agak sukar untuk kerajaan PN menang PRU dan Muhyiddin kekal sebagai PM.

Ini berikutan sokongan terhadap beliau yang jatuh menjunam sejak kebelakangan ini.

“Jadi dari kalah PRU baik berusaha kekalkan kerajaan yang ada dengan menyusun balik sokongan terhadap beliau, bukannya membubarkan parlimen,” kata penganalisis yang enggan dkenali itu.

Dr Mahathir sejak dari awal lagi mencadangkan agar kerajaan perpaduan dibentuk sehingga pilihan raya umum akan datang.

Friday, January 29, 2021

Setiakawan PH ‘putus’ jika Amanah benar parti Mahathir guna logo, kata penyokong Anwar

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-January 29, 2021 8:51 AM

Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis berkata, langkah Amanah menggunakan logo sendiri bersama Pejuang akan merugikan PH kerana bakal kehilangan 15-20 kerusi yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya lalu.

PETALING JAYA: Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim berkata, hubungan setiakawan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) akan “putus” jika parti sepihan PAS itu bersetuju membenarkan Pejuang yang diketuai Dr Mahathir Mohamad menggunakan logo mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata, jika itu keputusan Amanah maka secara automatik dalam PRU akan datang PH akan diwakili PKR dan DAP dalam menghadapi Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN).

“Amanah berisiko hilang masa depan politik dan hilang semua kerusi yang ditandingi jika mereka menggunakan logo Amanah yang tidak dikenali rakyat.
Abdul Razak Ismail.
“Secara logiknya Amanah bakal “menempah maut” ditelan oleh BN-PN di kerusi yang ditandingi mereka.

“Kita hairan bagaimana Amanah sanggup memperjudikan masa depannya hanya untuk membenarkan Mahathir dan pemimpin Pejuang ‘mempergunakan’ pentas parti itu.

“Pemimpin Amanah turut ‘dikhianati’ Mahathir apabila beliau meletak jawatan perdana menteri tahun lalu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, langkah Amanah mahu menggunakan logo sendiri bersama Pejuang akan merugikan PH kerana bakal kehilangan 15-20 kerusi yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya lalu.

Abdul Razak berkata, jika Amanah mahu kekal releven ia perlu melupakan hasrat membenarkan kumpulan Mahathir mengunakan logo mereka.

Katanya, Amanah perlu fokus untuk kekal dalam gabungan PH dengan menggunakan satu lambang, sekali gus memperkuat jenteranya bagi merampas kerusi yang dimenangi PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ronnie Liu.
Pada PRU lalu Amanah memenangi 11 kerusi Parlimen mewakili PH dengan menggunakan logo PKR.

Bantahan sama dibuat bendahari Otai Reformis, Ronnie Liu yang berkata, keputusan Amanah menerima kumpulan Mahathir menyebabkan PH bakal kehilangan keyakinan dalam kalangan penyokong sendiri.

“Mahathir akan menyebabkan PH kehilangan sokongan walaupun daripada penyokong sendri.

“Jika Amanah mengizinkan Pejuang menggunakan logo mereka, ini bermakna PH tidak bersatu, ia akan memberi kesan buruk kepada Amanah dan PH,”katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, di Selangor.
Idris Ahmad.
Sementara itu, pengerusi Otai Reformis, Idris Ahmad berkata, Amanah sepatutnya fokus untuk memperkuatkan PH tanpa perlu bekerjasama dengan kumpulan Mahathir.

“Tidak perlu Pejuang, mereka sudah lemah dan nak cari dahan untuk bergayut. Kena hati-hati dengan rancangan mereka, jangan percaya Mahathir,” katanya yang juga merupakan Adun Ijok.

Terdahulu timbalan presiden protem Pejuang Marzuki Yahya mengesahkan parti itu mungkin bertanding pada pilihan raya umum 15 dengan menggunakan logo Amanah jika pendaftarannya tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Berikutan itu, Amanah juga mengesahkan bahawa idea itu ada dikemukakan kepada parti itu, tetapi belum ada perbincangan rasmi mengenainya.

Thursday, January 28, 2021

Pejuang pertimbang tanding PRU guna logo Amanah

JANUARY 27, 2021

Berdepan sekatan untuk mendaftar parti mereka, Pejuang mungkin mempertimbangkan untuk bertanding pada pilihan raya umum berikutnya dengan menggunakan logo Amanah.

Timbalan Presiden pro-tem parti, Marzuki Yahya mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Pemimpin Amanah juga mengesahkan bahawa idea itu ada dikemukakan, tetapi belum ada perbincangan rasmi mengenai perkara itu.

Marzuki, yang merupakan bekas timbalan menteri luar negeri, mengatakan ini hanyalah salah satu daripada beberapa idea awal.

“Kami belum membincangkan apa-apa (dengan Amanah) … itu adalah salah satu daripada beberapa cadangan.

“Sekarang fokus kami adalah mendaftarkan Pejuang … dan ini (cadangan guna logo Amanah) adalah jika ada pilihan raya (sebelum kami dapat mendaftar Pejuang),” kata Marzuki.

Ketika ditanya apakah parti itu juga mempertimbangkan untuk bergabung dengan Warisan, senator itu secara ringkas mengatakan bahawa mereka terbuka untuk bekerjasama dengan semua orang dalam pembangkang.

“Namun, kami belum melakukan apa-apa … kami lebih fokus pada Pejuang untuk didaftarkan,” katanya.

Sementara itu, naib presiden Amanah, Hasanuddin Yunus, yang mengetahui cadangan Pejuang, mengatakan bahawa pihaknya terbuka terhadap idea itu sekiranya dapat memberi manfaat kepada negara.

“Belum ada perbincangan rasmi, tapi kami terbuka untuk bekerjasama dengan calon Pejuang yang memiliki kemampuan kepemimpinan dan tidak memiliki platform untuk bertanding pada PRU15, untuk bertanding di bawah logo kami.

“(Mereka boleh) mohon kepada Amanah dan kami bersedia untuk berbincang dan berikan penilaian dan akhirnya membuat keputusan,” katanya.


Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub turut mengatakan perkara sama.

“Setakat ini, saya tidak mendapat permohonan rasmi … tetapi kami terbuka untuk menerimanya. (Sekiranya ada permintaan) Amanah akan berbincang dan kami tidak mempunyai masalah dengan ini,” katanya.

Pejuang dibentuk pada Ogos lalu oleh pemimpin yang disingkirkan daripada Bersatu.

Mahathir, yang merupakan pengerusi pro-tem Pejuang, presiden pro-tem Mukhriz Mahathir, dan beberapa yang lain disingkir daripada Bersatu kerana enggan duduk bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa sesi parlimen.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan, bagaimanapun, menolak permohonan pendaftaran Pejuang pada 6 Januari.

Mukhriz mengatakan bahawa jika pendaftaran Pejuang ditolak, parti itu mungkin mempertimbangkan untuk bertanding pada pilihan raya umum berikutnya dengan tiket parti atau gabungan lain, dan bukan sebagai calon bebas.

-Mkini

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-