Friday, March 18, 2022

PRU15: Umno tak boleh buat keputusan sepihak - Annuar

malaysiakini.com

Diterbitkan: Mar 18, 2022 5:08 PM
PAU 2021 | Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa berkata keputusan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak boleh dibuat secara unilateral.

“Kita berada dalam satu kerajaan yang merupakan gabungan pelbagai parti, Umno tidak boleh buat keputusan secara unilateral.

“Ada kaedah yang akan diperincikan oleh parti. Saya fikir apa yang digambarkan presiden agak jelas, sebenarnya menyegerakan PRU itu memang menjadi impian semua orang, cuma soal bila dan bagaimana.

“Kita juga perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan,” katanya, lapor Bernama hari ini.

Jelas Annuar, setiap perkara yang hendak dibincangkan mesti dalam konteks tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong, dan soal pembubaran parlimen perlu dibincang secara tertib.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian PAU2021 turut menyentuh mengenai PRU15 dengan mengatakan perkara itu diserah kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

‘Tak semestinya semua sependapat’

Sementara itu, Annuar berkata ucapan dasar presiden ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno amat jelas dan penuh diplomasi, dalam menyampaikan mesej kepada perwakilan dan ahli parti.

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia itu berkata secara keseluruhan pendekatan yang digunakan Zahid dalam membuat beberapa pesanan, dilihat dapat mengharmonikan situasi.

“Mesej tetap sampai, boleh difahami dan pendekatan itu adalah lunak dan boleh mengharmonikan situasi…

"Tidak semestinya semua orang sependapat, tetapi saya rasakan presiden telah membuat ucapan ‘well delivered’,” katanya.

Ahmad Zahid ketika berucap mengulangi pendirian Umno terus mendukung kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam membangunkan semula negara.
Zahid juga berkata Umno memahami keputusan untuk membubarkan parlimen terletak pada ketetapan kabinet sebelum ia dipohonkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

Justeru, kata presiden Umno itu pihaknya tidak akan mengganggu urusan tersebut sesuai dengan sifatnya yang menjunjung perlembagaan negara.

Pun begitu, bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata, apabila mood rakyat sedang condong ke arah Umno, PRU perlu diadakan segera.

“Nak tunggu apa lagi…?

“Bak kata timbalan presiden (Mohamad Hasan) buek apo tunggu lamo-lamo, takut anak daro dicuri orang,” katanya

Sebelum itu, Ahmad Zahid berkata langkah parti pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan perlu dicurigai.

Katanya parti terbabit tidak pernah berhenti mahu menghancurkan Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-