Wednesday, May 18, 2022

Dengan pinda perlembagaan, Umno siap sedia untuk 'berperang'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: May 18, 2022 9:00 AM

Ketika Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM) pada Ahad lalu, Umno telah berjaya meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Bagi Umno, pindaan perlembagaan bukanlah perkara baru, malah parti itu telah beberapa kali berbuat demikian sebelum ini, termasuk ketika Dr Mahathir Mohamad menerajui Umno.

Ketika itu, pindaan juga berhubung soal pemilihan parti.

Bagaimanapun, dalam situasi politik pada masa ini, langkah itu secara signifikan memberi isyarat Umno dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU15 dalam masa terdekat ini.

Ada yang mendakwa ia akan memperkukuhkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden walaupun dinafikan Zahid menafikan secara terbuka.

Hakikatnya selepas pindaan itu dilakukan dan diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Zahidlah yang akan menandatangani watikah calon-calon BN yang akan bertanding dalam PRU15 nanti.

Menarik juga apabila dilihat usul pindaan itu - yang dibawa oleh naib presiden Khaled Nordin - disokong oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merangkap naib presiden parti.

Percaturan itu pada mata kasar menunjukkan Umno dalam keadaan solid serta bersiap sedia untuk "berperang".

Namun sejauh mana perpaduan itu dapat diterjemahkan ia masih menjadi tanda tanya.

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Awang Azman Awang Pawi berpendapat kejayaan pindaan itu membuktikan akar umbi Umno berdiri teguh untuk menguatkan kedudukan parti menjelang PRU15.

"Bermakna segala keputusan yang dilakukan adalah berdasarkan sentimen akar umbi parti itu sendiri, bukannya berdasarkan suara individu semata-mata.

"Keputusan itu berdasarkan sentimen daripada perhimpunan agong Umno (PAU), sentimen akar umbi politik yang dibawa ke Biro Politik dan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi, hingga ia dibincangkan kemudian barulah dilakukan pindaan," katanya kepada Malaysiakini.
Awang Azman Awang Pawi
Katanya lagi, pindaan itu untuk mengelakkan perpecahan parti secara menyeluruh pada PRU akan datang, ekoran persaingan dalam pemilihan yang dijalankan sebelumnya.

Selepas PRU, katanya lagi, sesiapa saja boleh merebut jawatan, termasuk kedudukan presiden dan timbalan presiden.

Selain itu, turut menarik perhatian adalah sejauh mana pindaan itu mampu mempengaruhi Ismail untuk menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri bagi mempercepatkan PRU, seperti yang dituntut kepimpinan Umno.
Ia walaupun sebaik selepas EGM, Ismail memberitahu soal itu perlu dibincangkan dengan kabinet dahulu dan pindaan tidak akan mempengaruhi tarikh PRU15.

'Kepercayaan untuk hadapi PRU'

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia juga berpandangan EGM itu menterjemahkan keyakinan akar umbi parti kepada kepimpinan sedia ada apabila sebulat suara setuju dengan usul untuk menangguhkan pemilihan.

"Mereka memberi kepercayaan kepada kepimpinan sekarang dalam menghadapi PRU15," katanya.

Ditemui pemberita Ahad lalu, bekas naib presiden Umno Hishamuddin Hussein menyifatkan ia adalah satu keputusan demi kelangsung dan kestabilan parti.

"Agar semua dapat bersatu merapatkan barisan, pemilihan dalam parti dapat diketepikan dulu dan fokus kepada usaha memenangkan parti dalam PRU.
"Semua menteri dalam kabinet Ismail Sabri menerima baik keputusan ini. Saya tahu sebab saya juga sebahagian daripadanya," jelas Hishamuddin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii menyifatkan EGM lalu membuktikan kestabilan memang wujud dalam parti di saat pembangkang bergelut sesama sendiri.

"Umno fokus kepada kestabilan dalam negara melalui kestabilan dalam parti sendiri terlebih dulu, manfaat akan dirasai rakyat juga.

"Ketika ada pemimpin DAP 'fed-up' dengan parti sampai tak nak bertanding lagi, Umno pula menunjukkan kematangan politik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-