Wednesday, May 18, 2022

Dilantik jadi duta, adakah Tajuddin akan lepas jawatan ahli Parlimen, soal Maria

freemalaysiatoday.com
Reshna Reem Ganesan and Sean Augustin
-May 18, 2022 8:30 AM
Maria Chin Abdullah berkata, Tajuddin Abdul Rahman tidak memandang jauh jika tidak memikirkan pengundinya, terutama memandangkan peruntukan diterimanya daripada kerajaan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR mempersoalkan sama ada duta besar ke Indonesia yang baharu, Tajuddin Abdul Rahman akan melepaskan jawatannya sebagai ahli Parlimen Pasir Salak.

“Saya rasa beliau (Tajuddin) perlu menjelaskan keputusan kepada pengundinya dan negara, sama ada akan melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen untuk menggalas tugas itu. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Tambahnya, Tajuddin tidak memandang jauh jika tidak memikirkan pengundinya, terutama memandangkan peruntukan diterimanya daripada kerajaan.

“Beliau wajib melaksanakan tanggungjawabnya dan mengutamakan keperluan rakyat. Beliau tidak boleh sekadar lepas tangan,” katanya kepada FMT.

Noor Farida Mohd Ariffin daripada kumpulan G25 turut berkongsi sentimen serupa dan tertanya-tanya sama ada kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum mencalonkan Tajuddin sebagai duta besar kepada kerajaan Indonesia.

“Apabila dilantik sebagai duta. beliau akan tinggal di luar Malaysia, seterusnya menyebabkan kawasannya tiada ahli Parlimen untuk mewakili kepentingan mereka di Parlimen,” kata Farida, yang juga bekas duta besar ke Belanda.

Beliau memberi sebagai contoh Ahli Parlimen Rompin Allahyarham Jamaluddin Jarjis dan bekas ahli Parlimen Ranau Bernard Dompok yang gagal melaksanakan tugas masing-masing selepas dilantik menjadi duta ke Amerika Syarikat dan Vatican City.

Tajuddin semalam mengesahkan beliau dilantik sebagai duta besar ke Indonesia yang baharu, mengisi jawatan yang dibiarkan kosong sejak Zainal Abidin Bakar bersara pada 4 April 2021.

Ahli Parlimen berkontroversi itu disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Mei lepas, hanya beberapa hari selepas sidang medianya yang mendapat kecaman susulan pelanggaran dua tren LRT.

Pelantikannya itu mencetuskan kritikan ahli Parlimen pembangkang dan bekas diplomat.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menyifatkannya sebagai “pelantikan kroni” selain mempertikai latar belakang Tajuddin yang melayakkannya untuk jawatan diplomat.

“Lantikan politik seperti ini memang sudah lama wujud, namun mestilah dibuat demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob cuba menggunakan pelantikan Tajuddin sebagai pengaruh politik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-