Wednesday, May 18, 2022

PRU-15: PAS Bagan Serai tolak Wan Ahmad Fayhsal tanding Parlimen

agendaily.com
18/5/2022
Yang Dipertua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid menyerahkan kertas kerja politik kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Bagan Serai, sekali gus menolak hasrat Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bertanding di situ.

Parti gabungan Perikatan Nasional (PN), PAS, menolak Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berhasrat bertanding di Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sebaliknya PAS Bagan Serai telah menyerahkan kertas kerja politik dan menyampaikan hasrat agar parti itu bertanding mewakili PN di Parlimen Bagan Serai, kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Yang Dipertua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid, ahli PAS bahagian ini sebulat suara menolak Timbalan Menteri Perpaduan Negara sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen itu.

“PAS Bagan Serai sama sekali tidak akan memberi laluan sama kepada beliau atas beberapa sebab munasabah.

“Sebab utama adalah beliau turun ke Bagan Serai tanpa sebarang mandat daripada PN sama ada peringkat Pusat mahupun negeri,” katanya memetik laporan Utusan hari ini.

Abdul Aziz berkata, sejak Julai lalu, PAS Perak memberi bayangan mahu bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai kerana mempunyai kelebihan untuk menang berbanding jika calon parti lain mewakili PN di kawasan berkenaan.

Malah menurutnya, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Bagan Serai membuat desakan melalui memorandum yang dikemukakan kepada beliau pada 21 dan 22 Mac lalu.

“Tuntutan daripada akar umbi PAS di Bagan Serai adalah berasaskan fakta kukuh antaranya mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti lain dalam PN.

“PAS kawasan turut membina hubungan sangat rapat dengan masyarakat di sini yang terdiri dari para ulama, ustaz dan individu yang berpengaruh di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain itu, PAS Bagan Serai mempunyai prasarana yang lengkap hampir di setiap cawangan parti,” katanya.

Mengenai kertas kerja politik itu, Abdul Aziz berkata Abdul Hadi menunjukkan reaksi positif terhadap hasrat yang telah dikemukakan oleh PAS Bagan Serai.

“Perkara itu akan dibawa dalam perbincangan di peringkat PAS pusat dan mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi PN apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Dalam program di Bagan Serai baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata kerusi Parlimen Bagan Serai antara yang berpotensi untuk ditandinginya dalam PRU-15 selain di Kelantan.

Bagaimanapun, katanya perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-