Showing posts with label Maria Chin Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Maria Chin Abdullah. Show all posts

Monday, March 4, 2024

Ingatkan polis tak perlu lagi permit berhimpun, Maria Chin beritahu KDN

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
 - 04 Mar 2024, 10:00am

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 permit tidak diperlukan lagi untuk mengadakan perhimpunan aman.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata penganjur hanya perlu maklum kepada polis, dan mereka tiada kuasa untuk menolaknya.

PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen PKR menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain “memperbetulkan” pemahaman bahawa permit polis tidak lagi terpakai untuk perhimpunan awam.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur hanya perlu memaklumkan kepada polis sebelum perhimpunan diadakan.

Tegasnya, mengikut akta yang diwartakan 12 tahun lalu itu, polis tidak lagi mempunyai kuasa untuk menolak sebarang perhimpunan.

“KDN dan KPN mesti membetulkan polis dan memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan mereka.

“Polis perlu dilatih semula dalam cara menangani perhimpunan serta mempunyai pemahaman yang lebih lengkap tentang apa yang dimaksudkan dengan hak asasi manusia dalam sesebuah masyarakat berdemokrasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas tindakan polis yang didakwa enggan menerima notis perhimpunan dihantar jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia (WMMY) 2024 yang dijadual berlangsung pada 9 Mac ini.

Semalam WMMY mendakwa pihaknya berusaha empat kali, pada 2 dan 3 Mac, untuk memohon kebenaran mengadakan perhimpunan namun ditolak tanpa sebarang alasan.

WMMY diadakan setiap tahun sempena Hari Wanita Sedunia. Tahun ini perhimpunan itu dijadual diadakan pada Sabtu ini berdekatan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan selepas Akta Perhimpunan Aman 2012 diwartakan bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967.

Seksyen 9(1) menyatakan penganjur perlu memaklumkan pegawai yang bertanggungjawab dalam daerah polis di mana himpunan akan diadakan, lima hari sebelum himpunan tersebut diadakan.

Wednesday, May 18, 2022

Dilantik jadi duta, adakah Tajuddin akan lepas jawatan ahli Parlimen, soal Maria

freemalaysiatoday.com
Reshna Reem Ganesan and Sean Augustin
-May 18, 2022 8:30 AM
Maria Chin Abdullah berkata, Tajuddin Abdul Rahman tidak memandang jauh jika tidak memikirkan pengundinya, terutama memandangkan peruntukan diterimanya daripada kerajaan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR mempersoalkan sama ada duta besar ke Indonesia yang baharu, Tajuddin Abdul Rahman akan melepaskan jawatannya sebagai ahli Parlimen Pasir Salak.

“Saya rasa beliau (Tajuddin) perlu menjelaskan keputusan kepada pengundinya dan negara, sama ada akan melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen untuk menggalas tugas itu. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Tambahnya, Tajuddin tidak memandang jauh jika tidak memikirkan pengundinya, terutama memandangkan peruntukan diterimanya daripada kerajaan.

“Beliau wajib melaksanakan tanggungjawabnya dan mengutamakan keperluan rakyat. Beliau tidak boleh sekadar lepas tangan,” katanya kepada FMT.

Noor Farida Mohd Ariffin daripada kumpulan G25 turut berkongsi sentimen serupa dan tertanya-tanya sama ada kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum mencalonkan Tajuddin sebagai duta besar kepada kerajaan Indonesia.

“Apabila dilantik sebagai duta. beliau akan tinggal di luar Malaysia, seterusnya menyebabkan kawasannya tiada ahli Parlimen untuk mewakili kepentingan mereka di Parlimen,” kata Farida, yang juga bekas duta besar ke Belanda.

Beliau memberi sebagai contoh Ahli Parlimen Rompin Allahyarham Jamaluddin Jarjis dan bekas ahli Parlimen Ranau Bernard Dompok yang gagal melaksanakan tugas masing-masing selepas dilantik menjadi duta ke Amerika Syarikat dan Vatican City.

Tajuddin semalam mengesahkan beliau dilantik sebagai duta besar ke Indonesia yang baharu, mengisi jawatan yang dibiarkan kosong sejak Zainal Abidin Bakar bersara pada 4 April 2021.

Ahli Parlimen berkontroversi itu disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Mei lepas, hanya beberapa hari selepas sidang medianya yang mendapat kecaman susulan pelanggaran dua tren LRT.

Pelantikannya itu mencetuskan kritikan ahli Parlimen pembangkang dan bekas diplomat.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menyifatkannya sebagai “pelantikan kroni” selain mempertikai latar belakang Tajuddin yang melayakkannya untuk jawatan diplomat.

“Lantikan politik seperti ini memang sudah lama wujud, namun mestilah dibuat demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob cuba menggunakan pelantikan Tajuddin sebagai pengaruh politik.

Friday, July 13, 2018

Gugur semua dakwaan terhadap peguam Fadiah, gesa Maria Chin

FMT Reporters | July 12, 2018

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, ia menunjukkan intimidasi polis masih berlaku dan siasatan sedemikian tiada tempat dalam Malaysia hari ini.
Maria Chin Abdullah berkata, PH menerusi manifestonya berjanji akan memansuhkan Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan yang melanggar hak asasi manusia.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa Kementerian Dalam Negeri dan polis menggugurkan semua siasatan ke atas aktivis dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri.

“Ia perlu dinyatakan dengan jelas siasatan seperti ini sama sekali tiada tempat di Malaysia hari ini.

“Polis mempunyai tanggungjawab melindungi rakyat Malaysia dan tidak menggunakan undang-undang melampau yang terus mencemarkan imej negara ini,” kata bekas pengerusi Bersih 2.0 itu dalam kenyataan hari ini.

Fadiah dipanggil polis di bawah Akta Perhimpunan Aman, sehari selepas beliau disoal siasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung satu artikel tulisannya yang menyentuh institusi diraja.

“Saya terkejut dengan siasatan polis berhubung artikelnya.

“Saya bertambah marah yang Fadiah akan disosial siasat polis pada 17 Julai ini di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman kerana menghadiri perhimpunan solidariti menyokongnya.

“Ini menunjukkan intimidasi polis masih berlaku.”

Maria berkata, sudah sampai masanya untuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan bagi mengembalikan integriti serta menghormati pasukan polis.

“Sebagai kerajaan baru, kami perlu menunjukkan kepimpinan dan menghapuskan undang-undang drakonian serta Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan dengan segera.”

Katanya, walaupun wujud bantahan terhadap catatan Fadiah, tiada alasan untuk polis menyoal siasatnya 2 kali di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan.

“Kedua-dua akta ini sudah disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk dimansuhkan kerana ia melanggar hak asasi manusia.

“Bergerak ke arah Malaysia demokratik bermakna kita perlu membuka laluan untuk menghentikan penyalahgunaan hak asasi manusia.

“Tidak patut berkompromosi mengenai perkara ini.”

Terdahulu, organisasi lain seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) dan peguam termasuk Ramkarpal Singh, turut menggesa kerajaan PH memansuhkan Akta Hasutan seperti dijanjikan.

Friday, November 25, 2016

Penahanan Maria Chin adalah teratur, kata AG

Penahanan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) Akta 747 adalah
teratur dari segi undang-undang, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata penahanan Maria adalah bagi membantu siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Justeru, penahanan Puan Maria Chin Abdullah di bawah Seksyen 4 Akta 747 yang bertujuan untuk membantu siasatan pihak Polis Diraja Malaysia kerana dia disyaki terlibat dalam aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, adalah teratur dari segi undang-undang," katanya.

Beliau berkata oleh yang demikian, jabatan itu akan memberi pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan yang akan dikemukakan oleh polis kelak.

Katanya jabatan itu amat prihatin terhadap pandangan dan persepsi masyarakat berhubung penahanan Maria di bawah SOSMA dan adalah menjadi tanggungjawab jabatan itu untuk memastikan undang-undang negara sentiasa dihormati dan dikuat kuasakan sewajarnya.

Mohamed Apandi berkata berhubung isu penahanan Maria, perlulah difahami bahawa Akta 747 merupakan suatu undang-undang prosedur yang mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas berhubung penangkapan, penahanan dan penyiasatan berkaitan kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Jabatan Peguam Negara ingin menjelaskan bahawa Seksyen 3 yang dibaca bersama Jadual Pertama Akta 747 mentakrifkan “kesalahan keselamatan” sebagai bukan sahaja terhad kepada kesalahan berhubung dengan keganasan tetapi turut meliputi antara lain, kesalahan berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya.

Maria, 60, ditahan di bawah SOSMA sehari sebelum perhimpunan Bersih 5.0 di sini pada Sabtu lalu.

Pada 22 Nov, Maria memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi antara lain memohon perintah agar beliau dibebaskan serta-merta daripada tahanan SOSMA dan mahkamah akan mendengar permohonannya itu pada 29 Nov ini.

- Bernama

Sunday, November 20, 2016

Tangkapan BERSIH: 8 dibebaskan, Maria masih 'terkurung'

Polis telah membebaskan lima ahli politik dan tiga aktivis yang ditahan sebelum himpunan BERSIH 5 kelmarin.

Kesemua mereka telah ditahan pada hari Jumaat yang lalu dan disiasat atas pelbagai kesalahan. Lapan mereka ialah:-
Safwan Anang, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH
Mandeep Singh, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH
Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, aktivis pelajar
S Arutchelvan, ahli jawatankuasa PSM
Wong Chee Wai @ Jimmy Wong, ahli DAP
Lee Khai Ming, ahli DAP
Anis Syafiqah, jurucakap TangkapMO1
Ronnie Liu, bekas exco Selangor dari DAP


Bercakap kepada pemberita selepas pembebasan tersebut, peguam Ramkarpal Singh berkata, perintah reman ke atas lapan individu tersebut tamat pada hari ini, oleh itu, mereka dibebaskan.

"Setakat yang saya tahu ... keseluruhan proses (boleh dicirikan) sebagai tahanan dengan niat untuk menghalang penyertaan mereka dalam BERSIH 5.

"Ini adalah hal yang sangat memalukan kerana kita tidak nampak sebab atau keperluan untuk menangkap mereka semua pada malam sebelum BERSIH 5," katanya.

Ramkarpal, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata, polis mempunyai masa yang cukup untuk menangkap dan menyoal anak guamnya sebelum BERSIH 5.

"Jelas sekali, ini semua dilakukan dengan niat untuk menggagalkan BERSIH 5," ujar beliau lagi.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah yang turut ditahan pada hari Jumaat yang lalu, bagaimanapun, tidak tersenarai di kalangan mereka yang dibebaskan hari ini.

[Baca berita penuh]

Friday, November 18, 2016

BERSIH5 tetap diteruskan di sebalik penangkapan Maria

Kow Gah Chie  :  
Timbalan Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Saari berikrar perhimpunan BERSIH5 yang dijadualakn di Kuala Lumpur, esok akan tetap diteruskan di sebalik penangkapan ke atas pemimpinnya, Maria Chin Abdullah.

"Ya, kita akan teruskan mengikut jadual," kata Shahrul kepada Malaysiakini petang ini.

Petang tadi, Maria dan pengurus sekretariat BERSIH, Mandeep Singh Karpal ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Shahrul berkata beliau akan memimpin orang ramai di Masjid Negara manakala bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan akan menggantikan Maria di Dataran Maybank, Bangsar.

"Ambiga akan berada di sana," katanya, sambil menambah bahawa jawatankuasa pemandu BERSIH akan meneraju perhimpunan besar-besaran itu esok.

Sementara itu, Ambiga mengesahkan beliau hanya akan memimpin orang ramai di Bangsar jika Maria masih ditahan.

Beliau berharap pihak polis akan melepaskan Maria dan Mandeep malam ini.

Sebelum ini, sepasukan polis dari Bukit Aman serta pegawai dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya pada kira-kira jam 3 petang.

Serbuan dan tangkapan dibuat selepas ketua polis Khalid Abu Bakar melabelkan kedua-dua perhimpunan BERSIH dan Baju Merah sebagai perhimpunan haram.

Selain KL, BERSIH turut merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kuching dan Kota Kinabalu esok.

[Baca berita penuh]

Friday, January 30, 2015

Mahkamah Tinggi tolak tuntutan saman Kerajaan Malaysia

Ambiga bersama A Samad Said dan Maria Chin Abdullah berkongsi kegembiraan setelah mendapat keputusan daripada Mahkamah Tinggi yang memihak kepada mereka. - Foto TRP/Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 30 Januari:

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak tuntutan saman kerajaan Malaysia terhadap Pengerusi BERSIH 3.0, Datuk S. Ambiga dan 14 jawatankuasa penganjur berhubung kegagalan mengawal perhimpunan yang menyebabkan 15 kenderaan milik kerajaan rosak, pada 28 April 2012.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’Hara turut memutuskan supaya kerajaan membayar RM30,000 kepada defenden ketujuh, Dr. Wong Chin Huat serta ganti rugi kerosakan sebanyak RM21,000.

Keputusan itu dibuat selepas selesai mendengar hujahan daripada barisan empat Peguam Kanan Persekutuan yang diketuai oleh Kamal Azira.

Kesemua defendan telah memberikan hujah masing-masing sekitar Disember, tahun lalu.

Pada 15 Mei 2012, Kerajaan Malaysia selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap penganjur-penganjur bersama perhimpunan haram Bersih 3.0 atas dakwaan gagal mengawal perhimpunan yang diadakan pada 28 April tahun sama.

Ekoran kegagalan itu, sebanyak 15 buah kenderaan miliknya telah mengalami kerosakan dan terpaksa menanggung kerugian seperti yang ditaksirkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kos pembaikan dengan jumlah keseluruhannya ialah RM110,543.27.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/30/mahkamah-tinggi-tolak-tuntutan-saman-kerajaan-malaysia/#ixzz3QHkAbMGj

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-