Wednesday, May 11, 2022

Gelombang rakyat nak tolak PAS memang ada - Umno, Amanah Kelantan

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: May 11, 2022 9:00 AM

Keutuhan PAS menguasai Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu dilihat bakal tergugat apabila datangnya pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang dijangka tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata andaian itu dibuat kerana dia melihat rakyat Kelantan sudah mula muak dengan pelbagai masalah dihadapi tanpa ada penyelesaian tuntas daripada kerajaan negeri.

"Pemuda Umno nampak bibit-bibit kesedaran rakyat. Mungkin rakyat Kelantan bersikap tunggu dan lihat (buat masa ini) bagaimana kerajaan negeri sekarang menguruskan isu-isu berbangkit.

"Ia seperti isu kekurangan infrastruktur, kelemahan pentadbiran dan pembongkaran isu pembalakan yang akan mencetuskan gelombang untuk menukar kerajaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Noor Hariri berkata demikian ketika ditanya apakah Pemuda Umno Kelantan melihat wujudkan penolakan rakyat terhadap pentadbiran PAS menjelang PRU akan datang.
Untuk rekod PAS menguasai Kelantan sejak PRU kelapan yang diadakan pada 1990. Bagaimanapun ketika itu PAS dibantu gelombang daripada krisis dalaman Umno yang kemudian melahirkan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun ahli parlimen veteran itu kembali menyertai Umno dan kini menjadi salah seorang tokoh yang dianggap berpengaruh khususnya di Kelantan.

Sejak akhir-akhir ini PAS Kelantan berdepan dengan pelbagai isu termasuk bekalan air yang dikaitkan dengan kegagalan mengawal kebarakan di Berek 12 pada 28 April lalu.

Nampak kian menyerlah

Selain itu kerajaan Kelantan juga dikaitkan dengan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. Bagaimanapun kerajaan negeri sudah berkali-kali menafikan dakwaan tersebut.

Tambah Noor Hariri, ketika ini terpulang kepada kerajaan negeri untuk berusaha menguruskan isu yang dihadapi rakyat secara berhemah ataupun kekal dengan sanggahan yang menyalahkan pihak lain.

Sementara itu bagi Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan pula berpendapat gelombang rakyat yang mahu menukar peneraju kerajaan negeri dilihat semakin menyerlah.
Namun katanya, kini terserah kepada gerakan atau strategi parti-parti pembangkang untuk mengambil peluang yang ada.

"Gelombang untuk tukar kerajaan Kelantan sudah ada, namun bagaimana gerakan dan strategi parti-parti pembangkang di Kelantan ke meja rundingan bagi memastikan PAS Kelantan tumbang pada PRU ke-15," katanya kepada Malaysiakini.

Hazmi menambah, rasa tidak puas hati rakyat Kelantan kepada PAS dapat dilihat pada pelbagai hantaran media sosial, selain maklumat yang diterima apabila mereka bertemu dengan orang ramai.

Justeru, tambahnya, rakyat Kelantan diharap dapat menilai dengan rasional bagaimana PAS di negeri itu menangani isu-isu yang dibangkitkan.

"Kelemahan dan ketidakupayaan PAS Kelantan itu sendiri menjadi faktor wujudnya gelombang penolakan kepada PAS," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-