Monday, May 30, 2022

Kemenangan Rafizi bukti ahli PKR mahu perubahan, kata penganalisis




Rafizi Ramli mendahului saingan jawatan timbalan presiden PKR.

PETALING JAYA: Kemenangan besar Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR menunjukkan ahli parti mendambakan perubahan dalam kepimpinan, kata penganalisis politik selepas beliau mendahului saingan untuk jawatan timbalan presiden.

Rafizi mendapat 67,895 undi setakat 8.30 malam tadi, menewaskan pencabarnya, Saifuddin Nasution yang meraih 48,797 undi, selepas keputusan dari semua negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Sarawak, dikira.

Saintis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim memerlukan seorang timbalan yang kuat – “seseorang yang boleh menyuntik idea berbeza dalam parti”.

Katanya, persepsi semasa menunjukkan Saifuddin bersekutu rapat dengan Anwar.
Azmi Hassan.
“Ini mungkin sebab ahli cenderung kepada Rafizi,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, Rafizi secara terbuka menentang konsep “khemah besar” yang dibawakan Anwar untuk menyatukan semua parti pembangkang bagi menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Oh Ei Sun.
April lalu, Rafizi berkata, beliau menentang idea itu sambil memetik “Langkah Sheraton” pada Februari 2020 yang mengakibatkan Pakatan Harapan dikhianati Bersatu, yang ketika itu merupakan rakan gabungan.

Penganalisis politik, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bersetuju ahli PKR mahukan pembaharuan secara keseluruhan yang diharapkan dapat menghidupkan semula parti itu.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, keputusan pemilihan PKR menunjukkan ahlinya mencari “seseorang di luar acuan Anwar” untuk mengambil alih jawatan presiden apabila beliau bersara.

“Tiba masanya untuk PKR keluar dari bayangan Anwar dan menempuh jalan baharu yang tidak terikat dengan Anwar menjadi perdana menteri.”

Azmil berkata, desakan untuk Anwar menjadi perdana menteri membantut perbezaan pendapat dalam parti dan menghalang pandangan alternatif daripada disuarakan.
freemalaysiatoday.com
Hakimie Amrie Hisamudin
-May 30, 2022 8:00 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-