Monday, May 30, 2022

Kemenangan Rafizi isyarat ahli PKR tolak Anwar, kata Puad

malaysiakini.com

Diterbitkan: May 30, 2022 2:27 PM
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi secara sinis menyindir kemenangan tidak rasmi Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden PKR.

Sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai mengejutkan Puad dan adalah penolakan terhadap Anwar Ibrahim yang menang tanpa persaingan bagi jawatan presiden parti.

“Ia juga tekanan kepada Anwar supaya bersara awal. Pengaruh Anwar merosot luar dan dalam.

“Majoriti ahli PKR memberi isyarat, Anwar bukan lagi poster boy atau calon PM yang boleh diharap. Apatah lagi ramai pemimpin pro-Anwar tewas di peringkat cabang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohd Puad Zarkashi, Ahli MKT Umno
Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan pusat parti itu, Rafizi menewaskan pencabarnya Saifuddin Nasution Ismail yang juga adalah setiausaha agung PKR.

Dalam hantarannya, Puad yang juga adalah speaker DUN Johor terus memuji kewibawaan dan kesetian Saifuddin sebagai pemimpin.

“Saifuddin ada substance. Tetapi kesetiaan pada parti ketika susah dan senang tidak dapat membantunya untuk menang. Putar alam macam Rafizi lebih diterima.

“Gandingan baru Anwar-Rafizi mengekalkan PKR sebagai parti retorik. Kedua-duanya pakar persepsi. Mereka berdua memang sebati,” katanya.
Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR
Sebagai rekod, Puad adalah ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dilantik pada Mac 2015. Namun dia meletakkan jawatan secara mengejut pada April 2018 selepas tidak dinamakan sebagai calon BN dalam pilihan raya umum (PRU).

Jasa adalah agensi kerajaan yang bersifat rahsia, berakar umbi sejak 1960-an, ketika ia dikenali sebagai Cawangan Hal Ehwal Khas (Chek) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan, yang kemudiannya dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pada dasarnya Jasa bertindak sebagai cabang propaganda untuk Umno sehinggalah kerajaan BN ditumbangkan pada 2018.

Berdasarkan senarai jawatan kerajaan 2019, Jasa mempunyai 229 kakitangan sepenuh masa di seluruh negara sebelum dibubarkan pada Januari 2020.

Bagaimanapun susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, jabatan itu kemudiannya dihidupkan semula tetapi ditukar nama sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza.
Keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan PKR 2022 menyaksikan, Rafizi yang sebelum ini merupakan naib presiden yang dilantik memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin dengan 48,223 undi.

Bagi jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK) yang direbut oleh dua aktivis menyaksikan Adam Adli Abd Halim mendahului dengan meraih 13,749 undi, berbanding Fahmi Zainol dengan 11,674 undi.

Sementara itu bagi jawatan Ketua Wanita pula, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail mendahului dengan meraih 21,690 undi.

Pencabarnya Senator Fadhlina Sidek mengekori rapat dengan 21,201 undi.

Pemilihan PKR 2022 berakhir dua hari lalu, manakala pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres PKR yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-