Tuesday, May 17, 2022

MP Pasir Salak sahkan dilantik jadi duta ke Indonesia

malaysiakini.com
Diterbitkan: May 17, 2022 3:36 PM
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia seterusnya yang berpangkalan di Jakarta.

“Memang benar,” kata pemimpin Umno itu dalam pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Portal dalam talian Malaysia Now awal hari ini memetik sumber diplomatik yang mendedahkan bahawa pelantikan Tajuddin telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Indonesia di bawah Presiden Joko Widodo.

Pelantikan Tajuddin bagi menggantikan diplomat Zainal Abidin Bakar akan menyaksikan ahli politik menjawat semula jawatan itu.

Zainal dilantik pada 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika itu bagi menggantikan bekas ahli parlimen PKR yang kemudian menyertai Umno, Zahrain Mohd Hashim, yang berkhidmat dari 2013.

Sebelum pengesahan Tajuddin, agensi berita Indonesia Antara telah melaporkan mengenai pelantikannya yang dikhabarkan sejak Oktober lalu, kemudian didorong oleh kehadirannya semasa lawatan rasmi Menteri Luar Saifuddin Abdullah ke Jakarta pada November.

Ahli politik berusia 74 tahun itu sebelum ini dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana berikutan kenyataan yang dianggap tidak sensitif selepas insiden perlanggaran LRT di Kuala Lumpur yang menyebabkan berpuluh-puluh penumpang cedera.

Awal bulan lepas, bekas diplomat Dennis Ignatius menyatakan bahawa kekosongan jawatan yang tidak diisi untuk jawatan tertinggi dalam perwakilan Malaysia di luar negara telah menimbulkan persoalan mengenai hal ehwal domestik di Kementerian Luar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-