Monday, May 9, 2022

Najib sekeluarga dijemput cuti atas kapal layar di Perancis - Saksi

bharian.com
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
 - Mei 9, 2022 @ 5:36pm

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini, bagi perbicaraan kes dana 1MDB yang dihadapinya. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak sekeluarga dijemput bercuti di atas sebuah kapal layar bernama Topaz di selatan Perancis, yang dimiliki Putera Abu Dhabi, Sheikh Mansour, pada 2013.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, yang bertindak sebagai Pegawai Bertugas ketika percutian itu berkata, beliau nampak seorang pelakon Hollywood dan keluarganya turut berada di atas kapal berkenaan tetapi mereka berada di bahagian berasingan.

Wan Ahmad Shihab yang juga saksi ke-16 pendakwaan berkata, beliau dimaklumkan oleh pengurus kapal Topaz, Robert Shepherd bahawa pelakon itu adalah tetamu Sheikh Mansour, justeru beliau merasakan kehadiran mereka hanya kebetulan bersama rombongan Najib.

Wan Ahmad Shihab yang membacakan pernyataan saksinya berkata, beliau melihat salah seorang pengarah Aabar (Aabar Investments PJS Ltd), Mohamed Badawy Al-Husseiny turut berada di atas kapal bersama Robert Baker yang juga seorang jurulatih golf profesional.

Katanya, Mohamed Badawy sentiasa bersama Najib dan kenalan bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Bustari Yusuf, di atas kapal berkenaan.

"Pada malam itu, Robert Shepherd memberitahu bahawa beliau sedang bersiap menyambut Riza Aziz (anak tiri Najib) untuk datang ke kapal Topaz. Ketika Riza Aziz tiba, saya mendapati ahli perniagaan, Jho Low (Low Taek Jho), dan Joey McFarland (penerbit Wolf Of Wall Street) turut serta bersama Riza.

"Saya tidak tahu apa tujuan Jho Low dan Joey McFarland hadir bersama tetapi saya menganggap mereka hadir untuk bersama-sama menikmati percutian itu. Sepanjang berada di atas kapal, saya nampak hampir setiap masa mereka bersama dan kedengaran perbualan mereka banyak tertumpu berkaitan pembikinan filem untuk Hollywood.

"Pada hari berikutnya, iaitu 6 Julai 2013 sebelah petang, Najib memberitahu saya bahawa seorang ahli perniagaan dari Malaysia akan menjemput beliau serta ahli keluarga dan membawa mereka untuk makan malam di sebuah hotel berdekatan milik ahli perniagaan itu," katanya.

Wan Ahmad Shihab berkata, sejak itu, beliau tidak lagi nampak Jho Low atau Joey McFarland di atas kapal Topaz, serta tidak tahu bila dan ke mana mereka pergi.

Pada 2019, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Mohamed Badawy adalah salah seorang eksekutif yang dikaitkan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan disabitkan dengan jenayah kewangan serta dijatuhi hukuman penjara di Abu Dhabi.

Terdahulu, Wan Ahmad Shihab berkata, Jho Low menghubunginya melalui aplikasi Blackberry (BBM) dan memberitahu bahawa Najib sekeluarga dijemput untuk bercuti di selatan Perancis di atas kapal Topaz, dan beliau dipilih sebagai Pegawai Bertugas ketika percutian itu.

Beliau berkata, Jho Low memberitahu bahawa seseorang bernama Eric Tan Kim Loong akan menghubunginya mengenai butiran jemputan percutian itu, dan turut memaklumkan Eric adalah sepupunya (Jho Low).

Selepas menerima maklumat daripada Jho Low, saksi itu berkata, beliau mendapatkan pengesahan daripada Najib yang kemudian mengesahkannya dan mengarahkan beliau untuk meneruskan 'arrangement' (urusan butiran jemputan).

"Pada 4 Julai 2013, rombongan percutian Najib sekeluarga bertolak dari London dengan menaiki pesawat milik kerajaan (ACJ 320) dan tiba di Lapangan Terbang Cote D'Azur, Nice, Perancis, pada jam 10 malam. Najib sebelum itu mempunyai lawatan kerja di London, oleh itu dari London beliau terus terbang ke Perancis.

"Rombongan itu terdiri daripada Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa, Nor Ashman Razak, Daniyar Kessikbayev dan Kolonel Norhayati Hassan (Pegawai Pengiring Rosmah).

"Sebelum itu, saya dan Tan Sri Bustari bersama anaknya terlebih dahulu tiba di Nice dengan menaiki pesawat komersial dari London pada jam 4 petang hari sama. Ketika rombongan Najib tiba, saya dan Robert Shepherd menyambut beliau di lapangan terbang dan terus membawa mereka ke kapal Topaz," katanya.

Wan Ahmad Shihab berkata, ketika tiba di atas kapal Topaz, mereka disambut oleh Kapten kapal dan kemudian dibawa belayar di sekitar perairan selatan Perancis.

Menjawab soalan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata, pelakon Hollywood yang dinyatakan dalam pernyataan saksinya adalah Jamie Foxx.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-