Sunday, May 22, 2022

Pendaratan ikan kurang, harga meningkat

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
 - Mei 22, 2022 @ 7:08pm

Foto hiasan.

ALOR SETAR: Pendaratan ikan terutama di utara semenanjung berkurangan sehingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan, berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, kekurangan bekalan itu menyebabkan harga ikan di pasaran turut meningkat.

"Kekurangan bekalan ikan terutama di sebelah utara amat ketara berbanding tempoh sama tahun lalu, tangkapan nelayan pantai sangat berkurangan termasuklah tangkapan nelayan bot C.

"Kita dapati cuaca sekarang tak menentu, kadang-kadang air pasang datang tidak diduga dan begitu tinggi sehingga ada nelayan pantai yang keluar hanya dapat lima hingga 10 kilogram (kg) ikan sahaja, berbanding kelaziman 300kg.

"Keadaan ini seperti tak balik modal (untuk menampung kos) petrol mereka dan menyebabkan mereka rugi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, ramai nelayan mengeluh susulan pendapatan mereka turut merosot disebabkan hasil yang berkurangan itu.

Katanya, harga ikan seperti ikan kembung bersaiz kecil kini dijual RM12 hingga RM14 sekilogram, berbanding antara RM3 hingga RM4 sebelum ini.

Dalam pada itu, Abd Salim berkata, faktor kekurangan awak-awak warga asing akibat pandemik COVID-19 turut menyebabkan tangkapan ikan bot besar berkurangan.

"Kita sarankan pengguna beli ikan sejuk beku atau Q Fish di pasaran dan kita yakin, bekalan ikan akan semakin pulih tidak lama lagi. Harga sekarang naik disebabkan bekalan kurang tetapi permintaan tinggi, apabila bekalan ikan pulih, harga akan kembali normal seperti biasa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-