Sunday, May 22, 2022

Tak wujud istilah ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam MN, kata Takiyuddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-May 22, 2022 12:50 PM
Takiyuddin Hassan berkata, bukan mudah untuk PAS dan Umno mewujudkan Muafakat Nasional, selepas kedua-dua parti bertembung dalam arena politik negara selama berpuluh-puluh tahun.

PETALING JAYA: Tiada istilah “nyawa-nyawa ikan” untuk gagasan Muafakat Nasional (MN), selagi tiada pihak yang membatalkan piagam dibentuk menerusi kerjasama politik antara PAS dan Umno itu, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, bukan mudah untuk PAS dan Umno mewujudkan MN, selepas kedua-dua parti bertembung dalam arena politik negara selama berpuluh-puluh tahun.

“Saya tidak tahu yang disebut ‘nyawa-nyawa ikan’ itu siapa, sebab MN ada banyak pihak. Namun bagi kita, untuk mewujudkan gagasan MN ini bukan satu usaha mudah, Alhamdulillah kita berjaya mengorak satu langkah yang berkesan untuk menyatukan umat Melayu dalam satu gagasan, iaitu MN.

“Bagi saya, mereka yang terbabit secara langsung mewujudkan MN amat sayang kepada gagasan ini dan orang yang tidak sayang kepada MN atau mengatakan pelbagai itu, boleh jadi dia tidak terbabit secara langsung,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kerjasama Umno dan PAS menerusi MN sebagai “nyawa-nyawa ikan”.

Zahid dilaporkan berkata, soal masa depan MN wajar dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti itu, sebelum hasilnya dibawa kepada pimpinan dua parti untuk diputuskan.

Takiyuddin yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata, PAS masih yakin MN merupakan gagasan terbaik bagi menyatukan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan kaum.

Katanya, MN masih wujud dan diterima sehingga kini, malah tiada siapa yang menandatangani perjanjian pembatalan gagasan itu.

“Setakat saya tahu, tidak pernah (sesiapa) menandatangani satu dokumen membatalkan MN, dia macam kita buat satu perjanjian antara pihak A dan B, selagi A dan B tak membatalkan perjanjian itu, ia hiduplah.

“Sehingga mana-mana pihak ini membuat satu perjanjian dipanggil ‘revocation’, iaitu membatalkan perjanjian itu, barulah terbatal. Ini tak ada orang membatalkan MN, (bermakna) MN masih hiduplah, tak timbul ‘nyawa-nyawa ikan’, hidup itu hiduplah. Kita kena optimis.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-