Showing posts with label nelayan. Show all posts
Showing posts with label nelayan. Show all posts

Tuesday, May 2, 2023

Projek mega P Pinang Selatan ‘akan jejas Umno-PH’

freemalaysiatoday.com
02 May 2023, 8:45am

Sumber dalaman Umno berkata, PN akan menuduh pemimpin Melayu dalam Umno dan PH gagal mempertahankan komuniti nelayan.
Nelayan di Permatang Damar Laut dan Teluk Kumbar membantah projek Pulau Pinang Selatan.

GEORGE TOWN: Umno dan Pakatan Harapan (PH) akan terjejas teruk pada PRN akan datang berikutan kelulusan bersyarat kepada projek penambakan mega Pulau Pinang Selatan (PSI), kata sumber dalaman Umno.

Menurutnya, beliau tidak dapat melihat kesan positif projek itu kepada penduduk Pulau Pinang dan Umno sendiri.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata, Perikatan Nasional (PN) akan cuba mempolitikkan projek penambakan itu dengan isu perkauman untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada PRN.

Katanya, PN akan cuba mencemarkan imej Umno dan PH dengan mendakwa pemimpin Melayu mereka gagal mempertahankan komuniti nelayan, “walaupun hakikatnya komuniti nelayan bukan hanya terdiri daripada orang Melayu”.

Sumber itu berkata, pengumuman kerajaan negeri mengenai kelulusan projek itu tidak kena pada masanya kerana dibuat sebelum PRN dan ia akan memberi kesan buruk kepada Umno disebabkan isu terbabit berpotensi dimanipulasi PN.

“Sebenarnya, ketua menteri sepatutnya memilih masa sesuai untuk mengumumkan kelulusan itu. Walaupun ia tidak akan memberi kesan kepada 25 kerusi majoriti bukan Melayu, 15 kerusi majoriti Melayu akan terjejas.

“Kehilangan kerusi itu kepada PN akan menyebabkan kerajaan negeri pimpinan DAP kehilangan majoriti dua pertiga di DUN,” katanya kepada FMT.

Justeru, beliau menggesa pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri menjelaskan secara terperinci bagaimana projek itu akan memanfaatkan rakyat Pulau Pinang dari segi ekonomi, memandangkan kesan buruk terhadap perikanan dan sektor lain sudah dimaklumkan.

“Kita boleh menjangkakan penolakan daripada pengundi Melayu apabila isu ini dimainkan dan tidak dijelaskan dengan sewajarnya oleh kerajaan pusat dan negeri.”

Projek itu membabitkan penambakan tiga pulau seluas 1,620ha di luar pantai selatan, antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul. Penjualan hartanah dan tanah penambakan itu akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, di mana lebuh raya baharu dan sistem transit akan dibina.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow membayangkan PSI tidak mungkin menjejaskan PH pada PRN akan datang kerana projek mega itu, yang mula dicadangkan pada 2013, tidak menjejaskan PH dalam dua PRU lalu.

Kelulusan bersyarat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi PSI diberikan di tengah-tengah bantahan daripada komuniti nelayan dan kumpulan pencinta alam sekitar yang mendakwa projek itu akan merosakkan ekosistem marin di pantai selatan.

Kami tak politikkan isu PSI, kata PN

Pengerusi PN Pulau Pinang, Dominic Lau berkata, gabungan itu tidak mempolitikkan atau mengambil kesempatan daripada kelulusan PSI.

Beliau berkata, PN sekadar menjalankan tugasnya sebagai pembangkang dengan mengetengahkan kebimbangan nelayan dan NGO yang menghubungi gabungan itu mengenai projek terbabit.

Katanya, dakwaan mempolitikkan isu itu hanya akan timbul jika orang ramai tidak mempunyai masalah dengan PSI.

“Tetapi, rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati mereka melalui demonstrasi dan rayuan oleh nelayan dan NGO alam sekitar. Ini adalah fakta,” kata Lau.

Sunday, May 22, 2022

Pendaratan ikan kurang, harga meningkat

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
 - Mei 22, 2022 @ 7:08pm

Foto hiasan.

ALOR SETAR: Pendaratan ikan terutama di utara semenanjung berkurangan sehingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan, berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, kekurangan bekalan itu menyebabkan harga ikan di pasaran turut meningkat.

"Kekurangan bekalan ikan terutama di sebelah utara amat ketara berbanding tempoh sama tahun lalu, tangkapan nelayan pantai sangat berkurangan termasuklah tangkapan nelayan bot C.

"Kita dapati cuaca sekarang tak menentu, kadang-kadang air pasang datang tidak diduga dan begitu tinggi sehingga ada nelayan pantai yang keluar hanya dapat lima hingga 10 kilogram (kg) ikan sahaja, berbanding kelaziman 300kg.

"Keadaan ini seperti tak balik modal (untuk menampung kos) petrol mereka dan menyebabkan mereka rugi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, ramai nelayan mengeluh susulan pendapatan mereka turut merosot disebabkan hasil yang berkurangan itu.

Katanya, harga ikan seperti ikan kembung bersaiz kecil kini dijual RM12 hingga RM14 sekilogram, berbanding antara RM3 hingga RM4 sebelum ini.

Dalam pada itu, Abd Salim berkata, faktor kekurangan awak-awak warga asing akibat pandemik COVID-19 turut menyebabkan tangkapan ikan bot besar berkurangan.

"Kita sarankan pengguna beli ikan sejuk beku atau Q Fish di pasaran dan kita yakin, bekalan ikan akan semakin pulih tidak lama lagi. Harga sekarang naik disebabkan bekalan kurang tetapi permintaan tinggi, apabila bekalan ikan pulih, harga akan kembali normal seperti biasa," katanya.

Saturday, July 13, 2019

Anwar jumpa nelayan P Pinang bantah projek tambak laut

FMT Reporters
-July 13, 2019 7:23 PM

Anwar Ibrahim berucap dalam pertemuannya dengan nelayan yang menolak PSR di Pulau Pinang hari ini.

PETALING JAYA:  Ketua Umum Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim turun padang untuk mendengar sendiri rintihan nelayan di Pulau Pinang yang membantah projek tambak laut bagi pembinaan 3 pulau di selatan negeri itu.

“Alhamdulillah, dalam perbincangan sebentar tadi, beberapa perkara dapat dicapai dan saya akan membawa perkara ini kepada pimpinan utama kerajaan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Lawatan itu menyusul pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya semalam membincangkan isu sama yang akan menjejaskan kelestarian alam sekitar dan kehidupan nelayan.

Baru-baru ini, gabungan 52 kumpulan berkepentingan Melayu menghantar satu memorandum kepada perdana menteri untuk menggesa pembatalan projek tambak laut bagi 3 pulau.

Kumpulan di bawah naungan Persatuan Melayu Pulau Pinang itu menulis nota bantahan kepada Mahathir pada 30 Jun lalu dengan 20 alasan projek itu perlu dibatalkan.

Pada 5 Julai lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Jabatan Alam Sekitar meluluskan Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) bersama 72 syarat.

PSR berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Tanah ditebus guna itu akan menjadi milik kerajaan negeri, tetapi ia akan dilelongkan kepada pembina tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Monday, January 7, 2019

Bantu petani, nelayan tidak selesai masalah miskin, kata Dr Mahathir

Bantuan dan wang percuma bukanlah penyelesaian dalam membantu atasi kemiskinan di kalangan nelayan dan petani, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. — Foto oleh Yusof Mat Isa

MARANG, 7 Jan — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bantuan dan wang percuma bukanlah penyelesaian dalam membantu atasi kemiskinan di kalangan nelayan dan petani.

Sebaliknya, beliau berkata golongan itu perlu berusaha dan mengambil pendekatan yang berubah daripada cara tradisi, supaya mampu bersaing serta menjana pendapatan lumayan.

“Kerajaan akan tukar cara... jadi rakyat juga perlu tukar (cara) untuk atasi masalah kemiskinan dalam negara.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pemberian wang percuma, tetapi perlu tambah pengeluaran untuk tingkat pendapatan,” katanya ketika berucap di majlis bersama nelayan dan petani di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga kini giat berusaha melakukan transformasi dalam bidang pertanian sepertimana negara lain.

Dengan mengambil contoh negara China, beliau berkata walaupun penduduk di negara itu seramai 1.4 bilion, namun mereka dapat memenuhi keperluan dalam negara mereka tanpa bantuan luar, berbanding dengan negara ini walaupun hanya mempunyai populasi seramai 32 juta tetapi terpaksa mengimport bekalan makanan dari negara luar.

“Sesebuah negara perlu mampu membekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan bekalan makanan dari punca dalam negara. Tanah kita masih luas tetapi kita masih perlu mendapatkan makanan daripada luar seperti sayur sayuran sedangkan kita boleh keluarkan semua ini dengan sendiri,” katanya.

Di hadapan hampir 1,000 golongan petani dan nelayan, Dr Mahathir sempat mencadangkan agar mereka bukan sahaja mempelbagaikan jenis tanaman tetapi juga perlu bersepakat menggabungkan tanah mereka agar lebih luas bagi memaksimakan pengeluaran.

Selain itu katanya, golongan nelayan perlu selari dengan arus perubahan bidang itu dengan menggunakan bot laut dalam dan menyediakan peti sejuk beku agar mampu berada lama di laut serta mendapatkan lebih banyak hasil tangkapan.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis itu dan ditanya berhubung pembayaran royalti petroleum, Dr Mahathir berkata ia akan dibayar seperti yang diterima oleh negeri-negeri lain seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pun beliau tidak menjelaskan berapa amaun dan bila pembayaran akan dibuat kepada kerajaan Terengganu.

“Kita dah buat keputusan royalti (petroleum). Ia akan kita bagi sama (dengan negeri pengeluar minyak) .. mengenai baki bayaran kalau ada (duit) kita bagi lah,” katanya.

 — Bernama

Wednesday, November 14, 2018

Wakil rakyat tanya kenapa petani tak masuk Belanjawan 2019

Melissa Darlyne Chow
-November 14, 2018 10:04 PM

Ahli Parlimen Jempol berkata orang luar bandar bergelut mencukupkan perbelanjaan tetapi pahit getir mereka tak dipedulikan kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional hari ini membidas kerajaan kerana gagal melindungi kebajikan para nelayan, penoreh getah, pekebun kecil dan petani dalam Belanjawan 2019.

Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) memberitahu Dewan Rakyat bahawa belanjawan itu mengabaikan dan mendiskriminasikan rakyat di luar bandar.

“Menteri kewangan tak sebut pesawah padi, penoreh getah dan nelayan dalam belanjawan.

“Mereka di luar bandar bergelut mencukupkan perbelanjaan. Pahit getir mereka tidak dipedulikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Adakah kerajaan PH merasakan orang-orang ini tidak penting?

“Jika orang-orang ini penting, jadi penderitaan dan kebajikan mereka mesti diberi perhatian,” katanya semasa membahaskan belanjawan.

Salim berkata pentadbiran Barisan Nasional sentiasa memberi tumpuan kepada kebajikan para petani, nelayan dan penoreh getah. Mereka diberi peruntukan terbesar sebanyak RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2018, tambahnya.

Beliau berkata RM2.3 bilion diperuntukkan untuk insentif seperti baja untuk pesawah padi, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.

“Juga ada bantuan musim tengkujuh untuk 440,000 petani dan penoreh getah berjumlah RM261 juta. Sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk membantu 200 petani menunggu hasil dituai.

“Kami memberikan elaun sara hidup kepada nelayan, berjumlah RM12 juta, untuk membantu 5,200 nelayan.

“Juga terdapat elaun bulanan antara RM1,000 dan RM1,500 untuk 31,000 peneroka yang terlibat dalam skim penanaman semula.”

Salim menggesa kerajaan pertimbang semula pengagihan insentif kepada kelompok itu.

“Ahli Parlimen Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah berkata kerajaan akan menghentikan pembayaran insentif kepada pekerja kelapa sawit, penoreh getah dan nelayan. Ini ketika keadaan kewangan mereka dalam keadaan kritikal dan mereka perlukan bantuan kerajaan.

“Kepada siapa lagi mereka merayu bantuan kalau bukan kerajaan?”

Salim berkata harga minyak sawit jatuh daripada RM530 satu tan pada Januari kepada RM380 bulan lepas.

“Penurunan harga sejak Mei memberi kesan kepada pendapatan pekerja seluruh negara,” katanya.

Salim berkata kebiasananya setiap peneroka akan diberi 4ha tanah yang mampu menghasilkan 8 tan minyak sawit sebulan jika tiada masalah.

“Purata pendapatan mereka adalah RM1,000 sebulan.

“Penoreh getah dapat RM900 sebulan selepas harga getah jatuh mendadak kepada RM1.80 sekilo.

“Bagaimanapun, tidak ada pengumuman dalam belanjawan yang memberi kelegaan kepada mereka.

“Adakah ini yang mer maksudkan dengan belanjawan berkorban? Ditanggung oleh orang luar bandar?

“Kami juga terdengar mereka yang perlu meminjam daripada lintah darat untuk mencukupkan perbelanjaan. PH jangan prejudis dan hukum mereka seperti ini.”

Salim mencadangkan PH memberikan bantuan kewangan sekali beri kepada penoreh getah dan mereka yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit.

Beliau mahu kerajaan mengadakan mekanisme baru untuk menetapkan harga dasar satu tan minyak sawit pada RM500 dan sekilo getah pada RM4 untuk membantu pekebun kecil menghadapi keadaan tidak menentu sekarang.

Friday, June 22, 2018

Bantuan nelayan: PM kata henti, menteri kata kekal


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberikan pendirian bercanggah dengan Menteri Pertanian Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkaitan bantuan bulanan kerajaan kepada nelayan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan Malay Mail hari ini berkata kerajaan berhasrat memansuhkan bantuan bulanan antara RM200 hingga RM300 kepada 57,000 nelayan.

Salahuddin dalam sidang media semalam pula menjamin kerajaan akan meneruskan bantuan itu.

Salahuddin ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau sedang mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri berkaitan perkara itu.

Mahathir dalam wawancara itu berkata Putrajaya tidak dapat mengekalkan dasar-dasar era BN kerana kekurangan dana.

Wang salah guna dana kerajaan

“Mereka mampu beri kerana ia wang curi. Atau ia disalah guna daripada dana-dana kerajaan, untuk menjadi popular di kalangan nelayan.

“Kita tidak boleh gunakan wang kerajaan untuk itu, untuk menjadi popular. Kita tiada wang curi untuk diberi pada mereka.

“Jadi kita terpaksa potong. Mereka hilang pendapatan tetap percuma. Kerana kita tidak dapat beri, mereka tidak akan gembira,” beliau dipetik sebagai berkata semalam.

Salahuddin, dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet sebelum ini berkata, beliau menerima aduan nelayan bahawa elaun mereka tidak dimasukkan ke dalam bank.

Bagaimanapun, katanya, ini hanya kes terpencil susulan kemungkinan masalah teknikal dengan salah satu bank serta menjadi ia tidak akan dihentikan.

“Saya ingin nyatakan semua elaun sara hidup dah dideposit 11 Jun.

“Secara umum semua bantuan berkaitan bajet akan diteruskan seperti biasa. Rakyat tak usah bimbang bila tukar kerajaan elaun sara hidup dihentikan. Itu tidak berlaku,” katanya.

Katanya, jika ekonomi bertambah baik dan hutang negara dalam kawalan, insentif-insentif kepada rakyat akan disemak semula.

Bantuan kepada nelayan itu diberikan sejak 2008 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

Hanya nelayan yang turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun layak mendapat bantuan itu.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-