Wednesday, May 11, 2022

Satukan semula parti Melayu, Islam

bharian.com.my

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 
bhnews@bh.com.my
 Mei 11, 2022 @ 4:22pm
UMNO dan PAS masih ada peluang untuk berbaik semula. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Penyatuan UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) kelihatan semakin rumit, bahkan peluang untuk kembali harmoni, semakin malap.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan, berkata pemimpin kedua-kedua parti itu jangan sekali-kali kecewa dan mudah berputus asa, dalam usaha menyatukan kedua-dua parti besar yang mewakili umat Islam ini.

"Gagalkan usaha musuh Islam yang mahukan umat Islam terus berpecah kerana pastinya, mereka mahu menjarah atas perpecahan umat Islam. Masing-masing mesti bertolak ansur.

"Menghulurkan tangan perdamaian dan membuka dada persefahaman. Usah diungkit kejadian semalam, demi melangkah hebat di hari esok. Saya faham, memang perit meriwayatkan kisah pertelagahan. Masing-masing saling menyalahkan. Jari saling menuding. Bibir saling menjuih dan mata pula saling menjegil. Persoalannya sampai bila?" katanya di media sosial.

Beliau berkata, membiarkan pertelagahan terus berlaku bermaksud kedua-duanya sedang mengundur ke belakang, mengheret umat Islam ke dalam kancah kebencian yang sama seperti lebih 50 tahun lalu.

"Saya yakin dan percaya, pemimpin dari kedua-dua parti ini sangat memahami perkara yang saya bangkitkan ini. Cuma apa yang perlu dilakukan sekarang ialah jangan berputus asa untuk terus mengusahakan perpaduan umat Islam ini dengan ikhlas dan jujur.

"Bukan bertujuan untuk memerangkap dan memangsakan antara satu sama lain. Hentikan berbalas serangan di media. Cari jalan bertemu, lalu berbincang dari hati ke hati.

"Akui kelemahan atau kesilapan masing-masing. Luahlah semahunya bila bertemu. Kemudian cari solusi untuk kembali bertaut," katanya.

Beliau berkata, UMNO dan PAS tidak boleh dibiarkan terus bergelut kerana perbalahan ini tiada faedahnya, malah merugikan umat Islam sendiri.

"Kalah dalam perbalahan ini menjadi abu dan kalaupun menang hanya menjadi arang. Tiada untungnya kecuali musuh-musuh Islam akan bergembira dan mengaut laba dari pertelagahan umat Islam.

"Dahulunya UMNO dan PAS pernah bersingsing lengan. Lebih 50 tahun bersengketa. Entah banyak mana parut luka di badan masing-masing, akibat sengketa yang lama ini. Malah ada yang terbunuh. 50 tahun jugalah umat Islam hidup dalam kebencian dan dendam sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata, pertembungan dan api sengketa di antara kedua-duanya seakan-akan kembali dinyalakan, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor selesai.
Kelangsungan UMNO dan PAS bergantung kepada iltizam pemimpin pelapis. 
- Foto hiasan NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-