Friday, May 13, 2022

Thailand agih sejuta pokok ganja percuma kepada isi rumah

malaysiakini.com

Diterbitkan: May 13, 2022 8:00 AM

GLOBAL | Kerajaan Thailand akan mengagihkan satu juta pokok ganja percuma kepada isi rumah di seluruh negara pada bulan Jun ini.

Ia menandakan peraturan baru yang membenarkan orang ramai menanam ganja gred perubatan di rumah, maklum Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul.

Dia mengumumkan langkah itu melalui catatan Facebook pada 8 Mei apabila menteri itu menyatakan hasratnya supaya tanaman ganja ditanam seperti "tanaman isi rumah" lain.

Peraturan baru itu, lapor CNN bakal berkuat kuasa pada 9 Jun, akan membenarkan orang ramai menanam tanaman ganja di rumah selepas memaklumkan kerajaan tempatan mereka, tetapi tumbuhan itu mestilah digunakan secara eksklusif untuk tujuan perubatan.

Selain itu, ganja tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial tanpa lesen lanjut.

Langkah itu merupakan rancangan terbaru Thailand untuk mempromosikan ganja sebagai tanaman kontan bernilai tinggi. Kira-kira satu pertiga daripada sumber tenaga manusia Thailand bekerja dalam bidang pertanian, menurut Bank Dunia.

Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menghalalkan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan.
Menteri Kesihatan Thailand Anutin Charnvirakul.
Kerajaan negara jiran itu juga telah melonggarkan undang-undang tempatan mengenai ganja.

Syarikat minuman dan kosmetik Thai tahun lepas bergegas melancarkan produk dengan hem dan CBD, kompaun yang tidak memberikan pengguna kesan ‘khayal’, selepas penggunaannya diluluskan untuk produk konsumer.

Dalam catatan Facebook selanjutnya pada 10 Mei, Anutin menyatakan syarikat Thai yang mendaftar boleh menjual produk kanabis yang mengandungi bahan psikoaktif kurang daripada 0.2 tetrahydrocannabinol, atau THC.

‘PM maklum balas positif’

"Ini akan membolehkan orang ramai dan kerajaan menjana lebih daripada 10 bilion baht setahun dalam bentuk hasil daripada (ganja jenis) marijuana dan hem," tulis Anutin.

Pada 6 April lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kajian klinikal terhadap penggunaan ganja dalam perubatan boleh dilakukan di Malaysia.

Khairy berkata, setiap dasar perlu berasaskan bukti dan setakat ini belum ada kajian klinikal yang lengkap diterima Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam perkembangan berkaitan Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen pula telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 16 April.

Menurut kaukus ahli parlimen rentas parti itu, Ismail Sabri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberikan maklum balas positif terhadap cadangan mereka.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Kaukus itu berkata industri ganja perubatan bernilai RM60 bilion setahun dan lebih 40 negara telah menghalalkan penanaman, penjualan dan penggunaan ganja perubatan.

Sementara itu, beberapa mufti negeri pula berkata tiada masalah untuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bermuzakarah mengenai isu ganja perubatan.
Gambar fail, pertemuan kaukus parlimen bersama PM.
Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamed dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat dengan muzakarah majlis fatwa kebangsaan maka perkara tersebut dapat dibincangkan dari segenap sudut.

Penyalahgunaan ganja dikawal ketat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan mengedar 200 gram bahan itu boleh dikenakan hukuman mati. Sementara itu, tumbuhan ketum pula dikawal bawah Akta Racun Negara 1952.

Pun begitu, Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengklasifikasikan semula ganja sebagai "dadah yang kurang berbahaya" dan mengeluarkannya daripada senarai dadah yang boleh membunuh dan mewujudkan ketagihan.

Sidang yang ke-63 di Austria, pada 2 Disember 2020 bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-