By Admin
-June 19, 2022
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, Malaysia bukan lagi milik Bumiputera apabila bangsa Melayu masih lagi dibelenggu dengan isu kemiskinan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, situasi tersebut dapat dilihat apabila banyak tanah milik orang Melayu terpaksa dijual akibat isu kemiskinan.
“Orang melayu miskin kerana kita dapati walaupun kita mempunyai simpanan tanah Melayu namun kerap kali dijual dan sebenarnya dimiliki oleh orang lain.
“Seperti yang berlaku di Singapura yang sebahagian daripada Johor tetapi kita hilang Singapura sehingga menjadi negara lain dan dimiliki oleh orang lain.
“Orang Melayu di Singapura ketika itu tidak mampu nak kuasai kekayaan bahkan ingin memiliki tanah pun bukan dalam kalangan orang Melayu,” katanya ketika sidang media Program Aku Melayu di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.
Katanya, dalam masa sama berpendapat, kempen menghalang penjualan tanah perlu diperbanyakkan untuk menghalang aktiviti itu terus berlaku.
Melihat kepada senario ketika ini, Dr. Mahathir menzahirkan kebimbangan berhubung masa depan bangsa Melayu di negara ini.
“Walaupun kita dapati ada beberapa kerat orang yang berjaya dan kaya tetapi umumnya orang Melayu adalah antara yang termiskin di Malaysia.
“Orang miskin adalah orang yang lemah dan apabila lemah mereka akan lakukan sesuatu perkara yang merugikan mereka,” ujarnya lagi.
Beliau dalam masa sama turut mencadangkan agar diwujudkan beberapa forum untuk dijadikan platform bagi membincangkan faktor kelemahan orang Melayu di negara ini selain mencari solusi berhubung masalah tersebut.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.