Wednesday, July 20, 2022

SURAT | Hutan Gunung Inas gondol sebelum tanam Musang King

malaysiakini.com
Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Diterbitkan: Jul 20, 2022 9:30 AM
Bekas menteri besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah telah bersuara dan menjelaskan hari ini bahawa idea asal penanaman Musang King di Gunung Inas, Kedah dilakukan dengan matlamat yang jelas, iaitu untuk memulihara kembali kawasan hutan tersebut yang telah bertompok, gondol dan musnah teruk akibat pembalakan.

Ini bermakna terdapat dua perkara penting yang sebenarnya melatari cadangan awal penanaman Musang King di situ.

Pertama, kawasan tersebut sudah sedia gondol. Telah berlaku aktiviti pembalakan dan penggondolan hutan di situ jauh lebih awal dengan kelulusan kerajaan negeri sebelumnya. Penggondolan dan pembalakan tersebut telah menyebabkan kerosakan serta kemusnahan yang teruk.

Maka, apabila mewarisi hutan yang sedia gondol dan rosak, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri pada masa itu (di bawah pentadbiran Ahmad Bashah) untuk mencari jalan menghijaukan semula bukit dan ia mesti dilakukan dengan segera dan besar-besaran.

Jika tidak, kawasan tersebut dirasakan akan terus rosak dan tidak akan pulih dengan sendiri. Atas dasar itu, kerajaan negeri ketika itu bersetuju untuk menghijaukan kembali kawasan tersebut dengan projek penanaman semula pokok.
Ahmad Bashah Abu Hanipah
Kedua, tanaman Musang King menjadi pilihan kerana ia akan bersifat serampang dua mata. Ia berupaya menghijaukan kembali kawasan yang telah gondol dan pada masa sama berpotensi memberi pulangan kepada negeri.

Ini bermakna isu ini mesti dilihat dengan lebih jauh. Ia bukan sekadar isu penanaman durian di kawasan bukit. Tetapi keadaan gunung Inas yang telah dibiarkan rosak dan botak akibat penggondolan hutan dan pembalakan sebelumnya.

Tanpa projek dan idea penanaman durian itu sekalipun, kawasan tersebut sudah sangat berisiko memberi ancaman kepada kawasan sekelilingnya.

Perkara ini mesti diperhalusi, disiasat dan diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri hari ini serta oleh semua pihak termasuklah kerajaan persekutuan.

Pendedahan yang memberikan fakta dan keadaan sebenar mesti dibuat dengan telus dan lengkap. Jika tidak, kita akan terlepas daripada melihat punca sebenar.

Tanpa mengetahui punca sebenar (iaitu penggondolan hutan dan pembalakan), isu sebegini akan terus berlaku dan kita akan terus melihat kepada perkara yang tidak pun menjadi punca masalah.

Saya harap semua pihak akan bersikap adil, terbuka dan objektif dalam meneliti isu ini dan tidak membiarkannya dilihat atau dinilai secara separuh dan tidak lengkap.

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN adalah timbalan ketua Umno Merbok dan bekas setiausaha politik Ahmad Bashah.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-