Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Monday, October 14, 2024

SG4: Kerjasama Ekonomi Dan Pemerkasaan Dakwah Antara Empat Negeri

mediaislam.net
MI
October 14, 2024
Inisiatif kerjasama antara empat negeri di bawah gabungan State Government 4 (SG4) yang terdiri daripada Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis bukan sahaja memberi fokus kepada sektor pelaburan dan pembangunan ekonomi, malah turut memperluas peranannya dalam aspek pemerkasaan dakwah dan syariah.

Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, menegaskan bahawa hubungan erat yang terjalin antara negeri-negeri ini adalah bukti komitmen mereka untuk bukan sekadar memajukan ekonomi tetapi juga memastikan agenda dakwah dan pengukuhan syariah dijadikan keutamaan.

Beliau menyatakan, usaha dakwah tidak sepatutnya terhad kepada satu negeri sahaja, sebaliknya perlu diperkukuhkan melalui kerjasama antara negeri untuk memberi impak yang lebih meluas dan berkesan.

Dalam konteks ini, SG4 berperanan bukan sahaja sebagai platform pelaburan strategik, tetapi juga sebagai medium bagi meluaskan program dakwah dan memperkasa syariat Islam di kalangan masyarakat setempat.

“Kerjasama antara Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis akan membuka ruang lebih luas untuk memperkemas strategi dakwah dan memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap Islam sebagai cara hidup (ad-din),” ujar beliau.

Tambahnya lagi, agenda dakwah harus diperkasakan secara kolektif bagi memastikan keberkesanannya dalam melahirkan masyarakat yang lebih memahami dan mengamalkan syariat.

SG4, yang dijenamakan sebagai model kerjasama antara negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), turut melihat potensi untuk melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan institusi pendidikan dalam menyemarakkan program dakwah dan syariah.

Dr. Muhammad Khalil berkata bahawa agenda ini juga akan memberi tumpuan kepada generasi muda, selari dengan usaha untuk membina generasi berakhlak tinggi dan berdaya saing dalam cabaran semasa.

Dalam masa yang sama, kerjasama ini dijangka turut membuahkan hasil dalam memacu ekonomi negeri-negeri SG4 melalui pembangunan sektor-sektor strategik seperti pelancongan Islamik, pertanian moden, dan perindustrian.

Kejayaan ekonomi ini diharapkan dapat menyokong usaha dakwah dengan lebih efektif, memandangkan kestabilan ekonomi adalah antara asas penting dalam pembangunan masyarakat berlandaskan syariat.

Dengan SG4, negeri-negeri ini dilihat bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi tetapi juga memikul tanggungjawab besar dalam mengangkat martabat Islam sebagai tunjang pemerintahan dan kehidupan.

Gabungan inisiatif dakwah dan pembangunan ekonomi ini diharap dapat menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam membangunkan masyarakat yang seimbang dari segi material dan rohani.

Kerjasama erat ini juga dilihat selari dengan semangat Islam yang menganjurkan syura dan tolong-menolong dalam kebaikan dan taqwa.

Dr. Muhammad Khalil menegaskan, usaha ini perlu disokong oleh semua pihak agar matlamat SG4 bukan sahaja tercapai, tetapi turut menjadi contoh bagi negeri-negeri lain dalam membina sebuah negara yang maju, berakhlak dan diberkati.

Sunday, September 22, 2024

'Terima kasih, Perdana Menteri' - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
- September 22, 2024
Muhammad Sanusi melawat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Komplek Rakan Sukan, Pendang, hari ini. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir

PENDANG: Kos kerja baik pulih infrastruktur rosak dan ganti rugi akibat banjir di Kedah dijangka mencecah lebih RM100 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bantuan RM13 juta bagi tujuan itu, semalam.

"Saya rasa tak cukuplah tapi kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang datang kelmarin, ambil masa datang ke Kedah, terima kasih banyak-banyak.

"Pengumuman awal RM13 juta kelmarin dia umum 'on the spot', saya harap akan ada pertambahan, selepas ini kita kita akan buat bancian kerosakan infrastruktur kediaman dan lain-lain.

"Selepas itu laporan akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kita jangka lebih RM100 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, bancian kerosakan akibat banjir turut merangkumi sektor pertanian terutama padi.

"Kalau sawah yang tenggelam, ada kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan di luar MADA. Kawasan MADA ditentukan oleh MADA tapi di luar MADA, ada 32,000 hektar dan kena tengok jugalah.

"Saya harap selepas ini kita dapat buat penilaian penuh dan serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk diberi pertimbangan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah tetap berjaga-jaga kerana tempoh peralihan monsun dijangka bermula Selasa ini.

"Biasanya peralihan monsun akan membawa hujan lebat, saya harap ia tidak membawa banjir sehingga terpaksa berpindah," katanya.

Beliau berkata, situasi banjir ketika ini terkawal dan tidak seburuk 2010 walaupun berlaku peningkatan mangsa banjir terutama di daerah Kota Setar.

"Alhamdulillah, terurus dengan sempurna seperti kita hadapi tiap-tiap tahun tanpa perubahan apa-apa dari segi langkah menangani situasi ini. Terima kasih kepada semua agensi kerajaan," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Suka Menanti, Alor Setar, semalam. - Foto BERNAMA
Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir yang berlaku di seluruh negeri ini.

Jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke PPS.

Saturday, September 21, 2024

PM umum bantuan banjir RM10 juta buat Kedah

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
bhnews@bh.com.my
 - September 21, 2024 @ 12:31pm
Pekerja kedai makan menyediakan makanan percuma kepada penduduk terjejas banjir di sekitar Kampung Suka Menanti, Alor Setar, hari ini. - FOTO BERNAMA

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir di seluruh negeri ini.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan memantau kemajuan empat projek tebatan banjir di Kedah bagi memastikan kesan kerosakan banjir dapat diminimumkan pada masa hadapan.

Berita penuh menyusul

Saturday, August 10, 2024

Sanusi: Nak buat persembahan di Kedah, pakai elok-elok

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 10, 2024
Kerajaan negeri Kedah telah menyediakan garis panduan baru untuk mengadakan konsert di negeri itu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut ahli parlimen PAS itu, pentadbiran negeri bukan "antikonsert" seperti yang didakwa pihak tertentu, kerana ia membenarkan persembahan diadakan, asalkan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Terdapat garis panduan untuk konsert di Kedah agar tidak melanggar adat dan susila.

“Untuk konsert jika dulu minta (kebenaran) pegawai daerah, sekarang konsert perlu mendapat pertimbangan Exco Kerajaan Negeri,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media selepas melancarkan Lawatan Kedah 2024 di Kuala Lumpur malam tadi.

Antara garis panduan yang dikuatkuasakan termasuk penganjur memilih masa dan tempat yang sesuai untuk persembahan, dan artis yang membuat persembahan, termasuk lelaki dan wanita, tidak memakai pakaian menjolok mata.

“Kalau nak buat persembahan di Kedah, pakai elok-elok," kata Sanusi.

Pada 2022, kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak membenarkan semua konsert terbuka di negeri itu.

Februari lalu, konsert hip-hop di Alor Setar mencetuskan kontroversi. Penganjur kemudiannya memohon maaf kerana tidak meminta kelulusan kerajaan negeri untuk persembahan itu.

Thursday, July 25, 2024

'Sila terima P Pinang negeri merdeka'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 25, 2024 2:31 PM
Tidak perlu menjelajah dunia untuk mengumpul dokumen bagi menunjukkan fakta sejarah yang diketahui ramai, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kepada rakan sejawatannya di Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dia menjawab laporan berita yang memetik Sanusi mengenai pasukan penyelidik yang dibentuk kerajaan negeri Kedah yang memperoleh beribu-ribu dokumen dari luar negara berhubung hubungan kedua-dua negeri itu.

“Kita tidak menafikan bahawa Pulau Pinang pernah menjadi sebahagian daripada Kedah suatu ketika dahulu.

“Sila terima bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang merdeka dan kedudukannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Tidak perlu anda pergi ke seluruh dunia untuk mengumpulkan 20,000 dokumen mengenai fakta sejarah yang diketahui ramai ini," kata Chow, menurut Buletin Mutiara.

Menurut Sanusi, pasukan penyelidik sedang meneliti dokumen yang diperoleh dari England, Belanda, Thailand dan Indonesia, dan dijangka menyelesaikan kajiannya pada Disember.

“Dapat banyak dokumen. Saya difahamkan 20,000 dokumen sejarah, kebanyakannya tentang laporan daripada negeri-negeri selat kepada kerajaan British pada masa itu,” tambahnya.

Sanusi berkata penemuan itu akan membantu dalam membina kes berhubung status Pulau Pinang sebagai negeri pajakan semasa pentadbiran kolonial British.

"Isu ini lama sudah dan kita tidak pernah duduk diam, nanti mereka kata kita saja-saja hendak duit percuma (sedangkan) bukan. Saya hendak jadikan perkara yang kita ungkap sejak ratusan tahun lamanya sebagai fakta, akhirnya kita kumpul semua bahan dan (jelaskan) kedudukan secara berfakta," katanya seperti dilapor media.

Sanusi menambah bahawa dia sendiri telah mengkaji beberapa dokumen di British Library dan British National Archieve.

Wednesday, July 24, 2024

Kajian 20,000 dokumen tentukan hubungan Kedah, Pulau Pinang akan dibentang

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
Julai 24, 2024 
Muhammad Sanusi pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Wisma Darulaman. NSTP/ WAN NABIL NASIR.

ALOR SETAR : Kerajaan negeri akan membentangkan dapatan hasil kajian pasukan penyelidiknya ke atas 20,000 dokumen di luar negara bagi melihat fakta sebenar hubungan antara Kedah dan Pulau Pinang pada masa lampau.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pasukan penyelidik membabitkan pakar perundangan dan sejarahwan terbabit sedang meneliti dokumen yang diambil di England, Belanda, Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggunakan dapatan daripada kajian berkenaan bagi menentukan hala tuju baharu dalam hubungan antara dua negeri berkenaan termasuk dalam isu berkaitan tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.

"Pasukan pengkaji sejarah Kedah dan Pulau Pinang sedang mengumpulkan dapatan kajian yang akan diumumkan pada Disember ini selepas mereka beberapa kali keluar negara bagi mengumpulkan kira-kira 20,000 dokumen yang kebanyakannya laporan pentadbiran Negeri-Negeri Selat.

"Saya ada teliti sedikit dokumen yang diambil di British Library dan British National Archive yang menjadi rujukan kajian, semua ini akan dijadikan fakta kepada kerajaan negeri dalam melihat hubungan Kedah dan Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tahun lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan usaha membetulkan sejarah berkaitan kedudukan Kedah dan Pulau Pinang yang didakwa dipesongkan sejak 200 tahun lalu.

Katanya, eksploitasi ke atas sejarah Kedah yang dilakukan sejak pemerintahan British wajar diperbetul selepas mendakwa pakar sejarah pada era ini menemui fakta baharu hasil pelbagai kajian.

Isu ini timbul apabila pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sewaan Pulau Pinang terbatal sebaik saja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kajian itu dibuat bukan semata-mata untuk membolehkan tuntutan dibuat ke atas Pulau Pinang, tetapi bagi menjelaskan bagaimana wujudnya hubungan antara dua negeri berkenaan.

"Laporan pentadbiran Negeri-Negeri Selat itu adalah yang dihantar kepada House of Common dan Straits Settlement Office di London. Jadi kita tunggu dapatan pasukan pengkaji sebelum kerajaan negeri kemukakan fakta ilmiah mengenai kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

"Dalam isu ini, kita tidak pernah diam dan saya sendiri bercakap lama mengenainya, bukan kerana kita hendak duit percuma. Saya mahu jadikan perkara yang kita ungkap sejak ratusan tahun dulu sebagai fakta, sebab itu kita kumpul semua bahan," katanya.

Tuesday, July 9, 2024

Mahkamah batal keputusan k'jaan Kedah haramkan kedai judi

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 9, 2024 
Beberapa kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang mereka untuk mengubah tindakan kerajaan Kedah yang mengharamkan mereka di negeri itu.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada berbilang pengendali perjudian yang menyasarkan keputusan pentadbiran Kedah.

Bagaimanapun, kerajaan Kedah telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 Nov 2022, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan Kedah tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.
Dia berkata langkah itu bertujuan menangani gejala sosial yang berpunca daripada perjudian, seperti keruntuhan institusi keluarga.

Pada 1 Jan tahun lepas, keputusan itu berkuat kuasa menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Menurut salah satu permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SM Lottery Sdn Bhd, pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri adalah tidak sah, tidak rasional dan melanggar perlembagaan.

Kedai judi itu mendakwa keputusan pentadbiran Kedah gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri itu dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan di Kedah.

Kedai judi itu juga berpendapat Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk menggubal undang-undang dan peraturan mengenai perjudian.

Bukan sahaja kerajaan Kedah dan Sanusi, malah pelbagai majlis daerah seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Baling dinamakan sebagai responden yang disasarkan oleh tindakan undang-undang itu.

[Baca berita asal]

Sunday, February 18, 2024

Kedah mahu keluarkan beras untuk pasaran sendiri - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Norazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
Februari 18, 2024 
Gambar hiasan - Sawah padi di Kedah

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah untuk dijual pada harga lebih murah berbanding kadar pasaran makanan ruji itu ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.

"Kita cuba cari jalan untuk wujudkan Beras Kedah untuk rakyat negeri ini seperti Kerajaan Terengganu wujudkan Beras Ganu untuk rakyat mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai program Kayuhan Amal Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, rakyat Kedah sepatutnya dapat membeli beras pada harga lebih murah berbanding pasaran kerana negeri itu menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran beras negara.

"Sepatutnya perkara ini dapat dilaksanakan di Kedah sebab kita pengeluar beras, tetapi rakyat termasuk golongan petani yang mengusahakan sawah padi terpaksa beli beras pada harga mahal.

"Kalau nak laksanakan sekarang mungkin kementerian berkaitan tak benarkan, tetapi kita akan cuba juga cari jalan untuk laksanakan perkara ini," katanya.

Saturday, August 12, 2023

PRN: Mahfuz kalah di tangan Radhi

hmetro.com.my
BERNAMA
Mahfuz Omar tewas di kerusi DUN Alor Mengkudu kepada Radhi Mat Din.

Sik: Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Muhamad Radhi Mat Din dengan majoriti 10,104 undi.

Muhamad Radhi yang juga bekas pemain bola sepak Kedah memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah memperoleh 8,832 undi.

Kedua-dua mereka pernah bersaing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.

Disiarkan pada: Ogos 12, 2023 @ 10:06pm

Saturday, July 29, 2023

PRN: Ahmad Zahid yakin dua negeri ‘swing back’ kepada BN-PH

kosmo online
Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
29 Julai 2023, 3:35 pm
Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya, Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Bangunan UMNO, Kota Bharu hari ini. -Foto MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi di dua daripada tiga negeri yang sebelum ini diperintah Pas akan membuat pusingan atau ‘swing back’ dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, Pas dan BN sebelum ini pernah memerintah di Terengganu dan beliau meluahman keyakinan BN bersama PH akan merampas semula pimpinan negeri tersebut.

“Keadaan sama berlaku di Kedah. Insya-Allah, dua negeri ini akan ‘swing back’. Cuma, Kelantan sahaja bukan negeri yang ‘swing’ kerana ia sebuah negeri yang sangat taksub kepada parti politik.

“Jangan beri harapan kepada pengundi dan menjanjikan syurga. Yang memberi janji itu pun bukan tentu masuk syurga. Jadi, aspek duniawi dan ukhrawi perlu diambil kira,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya, Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sehubungan itu, kerajaan yang memerintah Kelantan sebelum ini diharap tidak memberikan janji dan harapan kepada pengundi dia negeri ini.

Menurutnya, paling penting adalah pembangunan perlu dibawa ke Kelantan selepas ini.

 – KOSMO! ONLINE

Monday, July 17, 2023

Gelombang rakyat tolak PH-BN makin dahsyat

ismaweb.net
Siti Hafidah

Fitnah politik terhadap Sanusi makan diri tanpa disedari
BANGI, 28 Zulhijjah 1444H, Isnin – PAS Kedah mendakwa gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahya juga tidak menolak kemungkinan negeri-negeri selesa PH dan BN suatu ketika bakal rebah ke bumi untuk diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, politik fitnah yang terus dimainkan oleh kepimpinan PH dan BN sedang memakan diri sendiri tanpa mereka sedari.

“Satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

“Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PH dan BN dengan lebih dalam.

“Segala tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah telah dijawab balas dan ia menggambarkan Menteri Madani tidak tahu selok-belok pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.

Dakwanya lagi, seluruh kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH serta BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang menteri besar di sebuah negeri.

“Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal bahkan sokongan kepada Sanusi pula semakin melonjak naik.

“Naratif ‘Sanusi tidak berbuat apa-apa’ sebenarnya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

“PAS Kedah yakin PH-BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Sanusi,” dakwanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, PH dan BN juga semakin hilang keyakinan terhadap ‘poster boy’ mereka sehingga memaksa seluruh menteri turun beraksi di Kedah.

“Insya-Allah rakyat di keenam-enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia untuk memastikan PH dan BN tersungkur menyembah bumi dan Sanusi sedang memimpin kebangkitan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Saturday, July 15, 2023

Sanusi mohon ampun pada Sultan Selangor, dakwa ucapan diputarbelit

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 15, 2023 9:30 AM
Menteri Besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya baru-baru ini yang didakwa menghina baginda.

Pemimpin PAS itu bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputarbelitkan oleh musuh politiknya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya, Sanusi berkata permohonan maaf itu disampaikan melalui warkah yang dihantar kepada istana Selangor dan dibaca oleh baginda semalam.

"Sebaik mengetahui ucapan saya telah dispin (diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah) oleh agen-agen Pakatan Harapan /Barisan Nasional (PH/BN), saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang telah sengaja diputar belit itu.

"Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” kata Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN.

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, July 12, 2023

Sanusi terbuka jalin semula hubungan dengan UMNO

ismaweb.net
Ainul Illia

Jangan kerap serang kerana esok mungkin berkawan lagi

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1444H, Rabu – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu UMNO bahawa beliau terbuka untuk menjalinkan semula persahabatan antara kedua-dua parti.

Menteri Besar Kedah itu, yang menjadi tetamu dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, berkata, beliau masih terbuka dengan idea untuk menjalinkan semula persahabatan dengan rakan sekutu itu.

“Saya masih ingatkan rakan-rakan yang menjadi pemimpin UMNO supaya jangan terlalu menyerang (kami) kerana esok mungkin berkawan lagi. Saya masih terbuka untuk itu.

“Muafakat Nasional boleh dihidupkan semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keruntuhan Muafakat Nasional – kerjasama antara UMNO dan PAS.

“Muafakat rebah kerana dia. Dia (hancurkan) supaya dia boleh bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya merujuk kepada kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak bermusuh dengan ‘rakan’ UMNO yang pernah bersama PAS di Muafakat Nasional, sambil menambah bahawa mereka hanya mengikut keputusan ‘bos’ mereka.

Beliau menegaskan, asas Muafakat Nasional adalah perpaduan ummah dan bukannya PAS dan UMNO.

“Sesiapa yang mahu bersatu dengan ummah dialu-alukan, termasuk Bersatu,” katanya.

Selepas kekalahan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2018, UMNO dan PAS menandatangani piagam kerjasama yang dipanggil Muafakat Nasional untuk memerangi musuh bersama mereka, Pakatan Harapan.

Ia ditandatangani dengan penuh semangat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rakan sejawatannya dari UMNO, Ahmad Zahid pada perhimpunan di Kuala Lumpur pada 14 September 2019.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO meletakkan tiga syarat kepada PAS jika mahu bekerjasama dengan mereka untuk pilihan raya negara.

Ini termasuk PAS meninggalkan Perikatan Nasional dan memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu

 Ismaweb.net.

Wednesday, July 5, 2023

Mustahil tawan Kedah selagi tiada ‘reformasi besar’ dalam Umno, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif 
- 05 Jul 2023, 8:00am

Peralihan undi akan berlaku jika ada reformasi besar dalam Umno, bermula dengan Zahid Hamidi meletak jawatan presiden, kata Azmil Tayeb.
Azmil Tayeb berkata pengundi Umno yang beralih kepada PN akan kembali menyokongnya jika parti itu dilihat bersih dan berintegriti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peralihan undi dari Perikatan Nasional (PN) ke Pakatan Harapan-Barisan Nasional hanya akan berlaku jika ada ‘reformasi besar’ dalam Umno, kata penganalisis politik.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata Umno perlu membuat ‘perubahan drastik’ untuk menunjukkan kepada pengundi Melayu bahawa ia benar-benar mahu menjadi parti yang bersih dan berintegriti.

“Pengundi Umno yang beralih kepada PN pada PRU15 lalu akan kembali ke Umno jika parti itu dilihat sebagai bersih dan berintegriti, tidak seperti sekarang,” katanya kepada FMT.

“Kita hanya boleh lihat peralihan undi Melayu dari PN ke PH-BN jika ada reformasi besar dalam Umno, bermula dengan peletakan jawatan Zahid Hamidi sebagai presiden.”

Sementara itu, Noor Nirwandy Mat Noordin percaya BN-PH akan meraih sokongan pengundi Melayu yang mengutamakan kestabilan politik, namun bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadap rekonsiliasi politik BN-PH.

“Kerajaan PH-BN berkemungkinan untuk mendapat undi apabila kestabilan politik akan dilihat sebagai salah satu isu utama,” katanya.

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berpandangan perbalahan antara kerajaan negeri dan pusat berpotensi memberi kelebihan kepada BN-PH sekiranya ia menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan agenda PN yang memimpin pentadbiran Kedah.

“Dengan kekuatan kerajaan perpaduan, persefahaman yang baik, dan tawaran yang akan diberikan oleh BN-PH ini…saya yakin peralihan adalah realistik,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar dilaporkan yakin BN-PH berpotensi merampas Kedah daripada PN sekiranya berlaku peralihan 10% undi pada PRN akan datang.

Wednesday, June 28, 2023

Sanusi pelawa Saifuddin bertanding kerusi DUN di Kedah

satuberita.my
By SatuBerita
-June 28, 2023

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempelawa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mungkin ingin mencuba nasib di peringkat DUN pula selepas tewas di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, tidak mustahil Saifuddin ‘mengidam’ jawatan Menteri Besar Kedah kerana Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah itu dilihat agak ‘dekat’ dengan rakyat Kedah berbanding pemimpin PKR lain.

“Saya pelawa Saifuddin bertanding kerusi DUN di Kedah, mana tahu kalau menang (beliau) boleh jadi Menteri Besar Kedah. Walaupun Saifuddin pernah kalah banyak kali juga, cubalah DUN pula.

“Mungkin apabila (Saifuddin) sudah jadi MB nanti baru boleh rasai asam garam perjuangan kerajaan negeri dalam sistem federalisme, terutama jika politik negeri dan Persekutuan tidak sealiran,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada Sabtu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menolak keberangkalian parti gabungan Kerajaan Perpaduan mampu mengalahkan Muhammad Sanusi dan menumbangkan kerajaan PN dalam PRN kali ini.

Ia susulan watak Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu disifatkan sebagai bukan sebahagian daripada siri tarbiyah Pas yang berasaskan tarbiyah quraniyah.

Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak gentar dengan sebarang ugutan mahupun sasaran mahu merampas Kedah, sebaliknya meminta jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersaing secara sihat dalam PRN.

“Jom lawan atas padang yang sama rata, jangan guna jentera kerajaan dan jangan guna pihak berkuasa (polis) dan ugut sana sini. Saya terima apa jua cabaran dalam PRN kali ini, apa jua (telahan pihak luar), keputusan akan diketahui pada malam hari mengundi,” jelasnya.

Rabu lepas, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Muhammad Sanusi mengingatkan semua parti politik mengamalkan sepenuhnya amalan demokrasi sepanjang tempoh kempen PRN.

Beliau mahu setiap parti ‘bertanding secara anak jantan’ menggunakan kekuatan dan kapasiti masing-masing dalam menawan hati pengundi, tanpa menyalahgunakan aset kerajaan.

Enam negeri akan melaksanakan PRN yang dijangka diadakan awal Ogos depan termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Komposisi DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi, dengan Pas sebanyak 14 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi.

PH memiliki 10 kerusi yang menggabungkan PKR sebanyak lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi dan DAP (dua). Manakala BN dan Pejuang masing-masing beroleh dua kerusi.

Dua kerusi kosong, iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, sementara DUN Belantek kosong disebabkan kematian ADUN, Datuk Mohd Isa Shafie pada 14 Jun lepas.

Sunday, June 25, 2023

Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

satuberita.my
By Admin
-June 25, 2023
Oleh BADLISHAH MAT

STADIUM Darul Aman yang memiliki kapasiti kira-kira 25,000 orang hampir dipenuhi lautan manusia apabila rakyat Kedah dan negeri sekitarnya membanjiri lokasi itu bagi menyertai program Himpunan Kedah Berselawat anjuran kerajaan negeri Kedah.

Majlis yang bermula sejak pukul 7.30 malam itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat dan doa munajat sebelum diteruskan dengan kuliah Maghrib Perdana serta solat Isyak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara pimpinan utama yang hadir ke program itu bersama barisan Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil rakyat negeri Kedah.

Turut hadir, tokoh ulama Kedah, Abdullah Lebai Samah yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah atau dikenali Pondok Bukit Lada; Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.
Sebanyak empat pusingan selawat dan qasidah dialunkan sepanjang himpunan tersebut sebelum Tausiah disampaikan oleh Syeikh Muhd. Zainal Asri Mohd. Romli dan diikuti ucapan Muhammad Sanusi.

Muhammad Sanusi berkata, program berkenaan merupakan himpunan terbesar yang diadakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“Himpunan yang besar pernah diadakan di Stadium Darul Aman adalah Himpunan Hijau pada tahun 2012.

“Alhamdulilah Allah beri izin dan Allah paut hati-hati kita untuk berhimpun bersama dengan para alim ulama, asatizah dan para pemimpin yang dalam tempoh bebrapa tahun ini sedaya upaya membawa kebaikan seperti mana dituntut Allah,” katanya pada program itu malam tadi.

Wednesday, June 21, 2023

Sejarah hubungan Kedah dan Pulau Pinang dipesongkan sejak 200 tahun

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan 
hifzuddin@bh.com.my
- Jun 21, 2023 @ 8:56pm
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) bersama barisan exco mengadakan sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini - Foto NSTP/SYAHARIM ABIDIN

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan meneruskan usaha membetulkan sejarah berkaitan kedudukan Kedah dan Pulau Pinang yang didakwa dipesongkan sejak 200 tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata eksploitasi ke atas sejarah Kedah yang dilakukan sejak pemerintahan British wajar diperbetul selepas mendakwa pakar sejarah menemui fakta baharu hasil daripada pelbagai kajian.

Jelasnya, sekiranya pembetulan itu tidak dibuat, rakyat terutama generasi muda akan terus hidup dalam pemesongan sejarah yang dibuat pihak yang mempunyai kepentingan dalam setiap peristiwa yang berlaku.

"Ini ada pakar sejarah kata sewa (Pulau Pinang) sudah terbatal. Itu dia seorang sahaja yang kata kerana dia juga lahir daripada sistem yang telah dipesongkan. Saya tak tahu PhD (Doktor Falsafah) dia kaji bab apa.

"Jadi apabila kita ada hasrat murni untuk memperbetulkan pemesongan membabitkan Kedah, maka hasrat ini patut disokong selagi ia benar berdasarkan hakikat yang telah terjadi pada waktu itu dan mesti diperbetulkan ketika ini.

"Keadaan ini mesti diperbetul anak bangsa yang kemudian lahir dan mempunyai kecerdikan, kepintaran, kecerdasan, berilmu, mempunyai maklumat, membuat kajian dan ada usaha untuk membuat pembetulan berkenaan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kelmarin, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menjelaskan, sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

Menurutnya, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau menjunjung titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengenai sejarah hubungan Kedah dan Pulau Pinang sempena Hari Keputeraan baginda Ahad lalu.

Katanya, mana-mana pihak tidak wajar berasa bimbang atau risau atas titah yang disampaikan Sultan Kedah itu kerana ia adalah benar, lurus dan betul berdasarkan fakta yang dimiliki.

"Seperti saya kata, Kesultanan Kedah ini adalah yang tertua di dunia dan satu-satunya yang diperintah keluarga sama yang tidak pernah terputus hubungan kekeluargaan sejak zaman sebelum Islam sehingga pengislaman Sultan Kedah pertama pada tahun 1136.

"Disebabkan itu adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan sejarah buat selama-lamanya? Saya tak sanggup, jika ada yang sanggup, itu kerana dia ada kepentingan dalam pemesongan itu dan kita ada kepentingan untuk memperbetulkan apa yang dipesongkan.

"Kita menjunjung titah perintah Sultan Kedah yang mahu sejarah sebenar direalisasikan berdasarkan pembentangan fakta tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, itu usaha yang sedang kita lakukan," katanya.

Sultan Sallehuddin sebelum ini bertitah, bahawa pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik yang membenarkan sejarah Kedah yang wujud sejak sekian lama dipadamkan.

Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.

Tuesday, June 13, 2023

Peluang kita menang di Terengganu, Kedah ada, kata Mat Hasan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 13, 2023 11:06 AM
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yakin BN mampu membuat kejutan dan menawan semula Kedah dan Terengganu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Bagaimanapun, timbalan pengerusi BN itu memberi peringatan, ini hanya akan dicapai jika semua ahlinya bersatu hati dan tidak mengamalkan budaya 'cah keting'.

"Kita mahu pastikan supaya BN dapat bertapak semula dan juga kalau boleh macam negeri swing state macam di Terengganu dan Kedah itu peluang untuk menang ada.

"Bukan saya kata kita boleh rampas tetapi peluang untuk menang ada dengan syarat kita kerja kuat, kita tidak bertelingkah antara satu sama lain (dan) dengan syarat kita masuk pilihan raya ini guna strategi yang betul, tepat (dan) pilihlah calon yang boleh memenangkan kita," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online di Kuala Nerus, malam semalam.

Mohamad yang juga menteri pertahanan, berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam anjuran badan perhubungan Umno Terengganu.

Menurutnya, pertelingkahan sesama ahli tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja melemahkan parti tetapi menyebabkan pengundi terutama pengundi atas pagar beralih ke parti lawan.

"Itu sebabkan banyak tempat pilihan raya (sebelum ini) negeri-negeri kita kalah bukannya parti lawan kuat tapi kita bertelingkah sesama sendiri, keluar saja nama calon, tutup bilik gerakan, keluar poster, keluar 'banner'

"Macam mana nak menang kalau macam itu (situasi itu) sudah melemahkan semangat orang (pada sama sama) orang atas pagar tengok apa punya parti macam ini, jadi patut-patut dia undi kita langsung dia takundi kita.
"Jadi itu yang saya katakan tadi elakkan pertelingkahan, elakkan perbalahan (dan) satu hati untuk kita mengharungi pilihan raya negeri ini, kalau nak menang buat cara nak menang," katanya sambil menambah bahawa peluang BN untuk kembali bertapak di Kedah dan Terengganu adalah juga cerah sekiranya mereka menampilkan calon yang tepat.

Dalam pada itu, Mohamad juga dilaporkan yakin mampu mengekalkan kemenangan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang kini dikuasai kerajaan perpaduan.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mana kala Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Saturday, April 29, 2023

Rumah terbuka Madani Kedah capai sasaran 25,000 pengunjung

freemalaysiatoday.com
Bernama
29 Apr 2023, 4:45pm

Saifuddin Nasution Ismail berkata hidangan makanan di 60 gerai disediakan juga hampir habis walaupun majlis belum berakhir.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tidak berlaku pembaziran kerana semua makanan seperti mi goreng, sate, dan lemang habis.

ALOR SETAR: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di Hotel Raia berjaya mencapai sasaran lebih 25,000 pengunjung, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, hidangan makanan di 60 gerai yang disediakan juga hampir habis walaupun majlis belum berakhir lagi.

“Saya sempat buat tiga pusingan untuk melihat sendiri majlis, saya yakin sasaran 25,000 kehadiran pengunjung berjaya dicapai dalam tempoh empat jam dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir hari ini.

“Majlis rumah terbuka di Kedah ini merupakan program utama perdana menteri walaupun ia akan diadakan di lima lagi negeri yang lain dan ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku pembaziran kerana semua makanan seperti mi goreng, sate, dan lemang habis,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri yang lain.

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kehadiran Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang mengiringi keberangkatan Sultan Sallehuddin turut dapat menguatkan semangat ukhwah dan muhibah walaupun berlainan fahaman politik.

“Ini menunjukkan kematangan orang politik untuk mengenepikan sebarang sentimen dan perbedaan dari segi politik..pemimpin-pemimpin politik yang berbeda haluan ini boleh berada di platform yang sama seumpama merayakan Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, jumlah peruntukan untuk Kedah yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan membuktikan bahawa kerajaan pusat tidak memandang sepi terhadap kerajaan negeri ditadbir pembangkang.

“Kerajaan persekutuan telah umum, peruntukan dalam projek baharu atau projek yang bersambung (untuk Kedah), nilainya adalah berjumlah RM1.6 bilion..ini bukan projek dalam perancangan tetapi ini adalah bajet yang telah diluluskan meliputi 442 projek Persekutuan di negeri (ini).

“Ia terdiri daripada 136 projek baharu manakala 306 adalah projek sambungan..jadi sekali lagi perdana menteri betul-betul menterjemahkan prinsip ini kepada masyarakat dan ia tidak langsung membedakan negeri yang tidak diterajui kerajaan perpaduan, tetap menerima peruntukan yang besar,” katanya.

Tuesday, February 14, 2023

PH Kedah tak serah kerusi kepada BN, hanya agih kerusi PN

freemalaysiatoday.com
 Faiz Zainudin 
- 14 Feb 2023, 8:00am

PH Kedah tidak bercadang menyerahkan kerusi miliknya kepada BN, yang hanya menang tiga kerusi pada PRU14.
Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar mensasarkan sekurang-kurangnya 19 DUN untuk ditawan PH-BN pada PRN kelak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Kedah hanya sudi membincangkan pengagihan kerusi Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional, dalam rundingan menghadapi PRU15 peringkat negeri.

Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, tidak bercadang memberi laluan kepada sekutu baharunya itu di mana-mana kerusi DUN milik gabungannya ketika ini.
Stay up-to-date by following FMT's Telegram channel
FMT

Dalam kedudukan sekarang, PH menduduki sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala BN dua kerusi, berbanding 21 kerusi PN.

Adun Guar Chempedak keluar Umno pada 2018 untuk menjadi wakil rakyat bebas dan kemudian menyertai Bersatu.

“Kalau telah dimenangi PH ia kekal milik PH, kita tak boleh ubah. Tiga DUN dimenangi BN pada PRU lalu akan kekal kepada BN, kita PH tak boleh usik,” kata Mahfuz kepada FMT.

Pihak lain yang mempunyai tempat di DUN Kedah adalah Pejuang (dua) dan satu bebas, iaitu bekas wakil rakyat Amanah, Phahrolrazi Zawawi.

Pecahan kerusi PH adalah empat PKR, tiga Amanah, dan dua DAP. BN mempunyai dua kerusi menerusi Umno.

Mahfuz berkata sehingga Kini PH dan BN Kedah belum mengadakan perbincangan rasmi menghadapi PRN nanti, di sebalik penubuhan sekretariat kerajaan perpaduan di peringkat nasional.

“Tapi pertemuan tak rasmi ada dibuat,” katanya.

Mahfuz mensasarkan sekurang-kurangnya 19 DUN untuk ditawan PH-BN pada PRN kelak.

“PH sekarang ada 13 DUN, BN tiga berdasarkan keputusan PRU lepas, jadi kita perlu cari tiga DUN lagi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz menepis populariti Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dalam kalangan rakyat Kedah.

“Dia hanya popular seperti kumpulan lawak. Bila tak ada lawak habislah,” katanya.

“Populariti Sanusi bermusim dan bukan jaminan kemenangan PN dalam PRN Kedah.”

Mahfuz juga percaya Gelombang Hijau yang diuar-uarkan kuat di Kedah hanya sementara.

“Seperti ombak tsunami tak berlaku hari-hari dan sejarah menunjukkan PAS pernah perintah Terengganu pada 1999 sepenggal sahaja selepas itu tewas. Jadi ia boleh berlaku di Kedah.”

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-