Friday, August 5, 2022

'Hasil siasatan SPRM terhadap projek LCS jadi tanda tanya'

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my
- Ogos 5, 2022 @ 12:10pm

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion.

Veteran DAP itu turut meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan kepada rakyat, mengapa badan itu tidak bertindak lebih awal dalam isu projek yang dilaksanakan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi kegunaan Tentera Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Katanya, pada 2020, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, menggesa siasatan terhadap kehilangan RM1 bilion yang dikaitkan dengan projek LCS, namun dakwa beliau, tiada sebarang siasatan diumumkan kerajaan atau tindakan diambil SPRM sejak itu.

"Amat menyedihkan untuk melihat bagaimana kerajaan sekali lagi mengecewakan rakyat Malaysia, dengan satu lagi skandal mega, yang mendedahkan kerugian RM6 bilion.

"Kini menjadi tugas SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memaklumkan kepada rakyat, sama ada wang itu benar-benar diseleweng dan siapa yang akhirnya mendapat manfaat daripadanya.

"Laporan PAC mungkin memberi sedikit petunjuk kepada SPRM jika SPRM tidak tahu mengenai wang yang hilang itu. Adalah mengejutkan apabila laporan PAC mendedahkan bukan saja RM1 bilion tetapi RM1.4 bilion yang hilang," dakwanya.

Semalam, selepas dua tahun tahun disiasat dan sembilan prosiding, PAC mengumumkan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS.

Rumusan berkenaan termasuk kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Selain itu, kajian daya maju oleh kerajaan terhadap BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pendahuluan RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Kit Siang mendakwa, laporan PAC itu membuktikan "semuanya salah" dalam projek itu, daripada pelantikan kontraktor, pilihan reka bentuk kapal sehingga bagaimana wang pembayar cukai dibelanjakan dan disia-siakan.

Dakwa beliau, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk berdiam diri dalam tempoh 24 jam lalu, walaupun namanya disebut dalam laporan PAC atas keputusan beliau memilih reka bentuk GOWIND oleh Kumpulan Tentera Laut Perancis untuk LCS, bertentangan dengan kehendak TLDM sebagai pengguna akhir yang memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda.

"Zahid perlu menjelaskan kepada negara, mengapa beliau membuat keputusan sedemikian yang memihak kepada kontraktor.

"Ini adalah isu yang membabitkan keselamatan negara dan TLDM adalah pihak yang pergi berperang menggunakan LCS," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-