Showing posts with label LCS. Show all posts
Showing posts with label LCS. Show all posts

Friday, March 24, 2023

Skandal LCS: Zainab Md Salleh tuntut Rafizi minta maaf dalam 14 hari

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Mar 24, 2023 5:53 PM
Seorang wanita menafikan dirinya sebagai isteri bekas menteri di jabatan perdana menteri Abdul Latiff Ahmad seperti didakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, berkaitan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Zainab Mohd Salleh semalam mengeluarkan surat tuntutan kepada Rafizi agar dia membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari.

Zainab mendakwa ahli parlimen Pandan itu membuat enam kenyataan bersifat fitnah antara 22 Ogos dan 1 November 2022 di laman blog dan akaun TikToknya.

Dia menyangkal kenyataan itu - yang didakwanya sebagai membayangkan dia adalah isteri kedua Latiff dan menjadi proksi kepadanya berhubung kontrak pertahanan yang berkaitan dengan projek LCS - sebagai tidak benar.
Zainab Mohd Salleh
Dia mendakwa Rafizi membuat kenyataan itu dengan motif politik ekoran PRU15 yang bakal menjelang ketika itu dan Rafizi tidak pernah cuba menghubunginya sebelum membuat dakwaan tersebut.

Justeru, Zainab menuntut Rafizi untuk membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari dan disiarkan oleh akhbar dan media dalam talian, membuat aku janji bertulis yang menyatakan dia tidak akan menerbit, menulis atau mengekluarkan kenyataan yang serupa serta membayar ganti rugi yang munasabah.

Pada 22 Ogos tahun lalu, dalam usahanya mencari "ikan jerung" yang terlibat dalam skandal LCS, Rafizi mendakwa Latiff terlibat dalam projek itu melalui dua syarikat luar pesisir yang didakwa dikawal oleh Zainab.

Menurut Rafizi, maklumat berkenaan status luar pesisir dan kaitan Zainab dengan syarikat itu pertama kali didedahkan pemberi maklumat yang terlibat dalam projek Panama Papers dan Paradise Papers.

Dia juga mendakwa apa yang dikatakan sebagai kaitan antara Latiff dan Zainab ada direkodkan dalam kertas siasatan dalaman skandal LCS.

Namun Latiff dalam respons segera berkata Zainab bukanlah isterinya.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pasukan peguam Rafizi untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.

[Baca berita asal]

Wednesday, February 22, 2023

Anwar beri Awang 3 hari untuk mohon maaf

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 22, 2023 3:29 PM
Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada bekas timbalan menteri, Awang Hashim berhubung kenyataan ahli parlimen Pendang itu yang menuduh perdana menteri berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad.

Menurut peguam Anwar dalam surat bertarikh hari ini Awang dituntut menarik balik kenyataannya secara terbuka, memohon maaf tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan fitnah itu lagi.

“Kami telah diarahkan oleh pelanggan kami untuk menuntut daripada anda seperti berikut: Menarik balik perkataan fitnah secara terbuka, serta-merta dan tanpa ragu-ragu serta menarik balik semua komen yang menyinggung perasaan dan memfitnah.

“Permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh kami sebagai penasihat undang-undang untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan peguam kami.

"Dan aku janji bertulis oleh anda untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau komen seperti dalam perkataan fitnah dalam artikel."

Surat itu dikeluarkan peguam Anwar dari firma SN Nair & Partners.

Terdedah kepada kebencian awam

Melalui LOD berkenaan juga Anwar menuntut Awang memberikan kos pampasan substantif atas kerosakan reputasinya sebagai perdana menteri, serta semua kos perundangan yang timbul daripada perkara tersebut.

“Kami menunggu jawapan anda tanpa sebarang kelewatan. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap anda,” kata surat itu.

Pada 21 Feb lalu Awang dilaporkan menuduh Anwar lebih berdendam daripada Mahathir selepas salah seorang pemimpin kanan PN, Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Wan Saiful merupakan ketua penerangan Bersatu dan dia meletakkan jawatan tersebut hari ini.

Bersatu dan PAS adalah antara parti komponen PN yang pernah mentadbir negara selama kira-kira 17 bulan. Awang pernah dilantik menjadi timbalan menteri sumber manusia.
Dalam komennya Awang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membuat sebarang pertuduhan terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) - kes yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.

“Bagi saya, kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.

“Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Dalam LOD sama peguam Anwar berkata komen dibuat Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.

Katanya kenyataan itu dibuat untuk memburukkan imej Anwar di mata orang ramai sama ada di dalam atau luar negara sehingga ia mendedahkan perdana menteri kepada kebencian dan penghinaan.

Menurut LOD tersebut Anwar tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan oleh agensi penguatkuasaan di negara ini, justeru tiada pendakwaan terpilih dibuat seperti yang dituduh Awang.

Saturday, December 10, 2022

Tak guna sentuh masa lampau, tumpu siapkan LCS, tegas Tok Mat

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-December 10, 2022 1:45 PM
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan, berkata kapal tempur pesisir (LCS) itu perlu disiapkan mengikut jadual.

PUTRAJAYA: Tidak guna mengungkit perkara lalu berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS), sebaliknya Menteri Pertahanan Mohamad Hasan menegaskan mahu fokus memastikan aset ketenteraan negara itu siap dibina mengikut jadual.

“Tidak guna bercakap mengenai masa lampau, tetapi apa yang kita nak capai, itu yang paling penting kerana ia adalah aset strategik bagi angkatan tentera Malaysia.

“Banyak pihak terbabit dalam rundingan itu (LCS), jadi tiada guna…kita perlu tumpukan apa yang kita perlu selesaikan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) 2022.
Mohamad Hasan.
Projek LCS dianggap perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Projek itu mencetuskan kontroversi selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada sebuah pun kapal itu disiapkan, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga Ogos lalu.

Mohamad yang memulakan tugas rasmi di kementerian pada 5 Dis lalu, berkata beliau akan mendapatkan taklimat berkaitan kemajuan projek LCS daripada pihak terbabit dalam masa terdekat sebelum memberikan sebarang penjelasan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji segala permintaan anggota tentera berkaitan isu kebajikan dan perumahan berdasarkan kemampuan negara.

Ini kerana, katanya, negara perlu bersedia kemungkinan jangkaan ekonomi dunia bahawa akan berlaku kemelesetan ekonomi dalam tempoh dua tahun lagi.

“(Segala permintaan anggota) kita akan teliti dengan baik berdasarkan kemampuan negara. Kerana kita kena beri keutamaan dalam keadaan negara bersedia kemelesetan ekonomi dalam dua tahun lagi.

“Jadi kita kena beri keutamaan yang mana kita perlu ada untuk kita pastikan ianya dapat disusun atur dengan baik,” katanya.

Wednesday, November 30, 2022

Isu rasuah skandal kapal tak siap bakal senyap selepas UMNO bersama PH

agendaily.com
30/11/2022
Rafizi Ramli membuat siri pendedahan berhubung skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Jika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) isu projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang gagal disiapkan menjadi riuh-rendah, tetapi nampaknya skandal tersebut bakal senyap begitu sahaja.

Pakatan Harapan (PH) menerusi pendedahan Rafizi Ramli sebelum ini hampir setiap hari membuat pendedahan berhubung LCS tersebut, namun dijangkakan watak utama dalam skandal tidak akan dibawa ke muka pengadilan memandangkan PH dan UMNO kini sudah menjadi rakan kerjasama strategik dalam kerajaan.

Mana mungkin rakan strategik baharu PH itu boleh disentuh kerana ia akan memberi suasana kurang harmoni selepas perkahwinan antara kedua-dua gabungan tersebut baru-baru ini.

Nampaknya prinsip integriti dan ketelusan yang dilaungkan oleh PH selama ini hanya akan tinggal retorik politik sahaja, tetapi apabila menjadi rakan satu katil semua kebobrokan dilakukan sebelum ini sudah disucikan dan seakan sudah halal demi cita-cita peribadi individu tertentu.

Adakah selepas pembentukan kerajaan UMNO-PH ini, Rafizi akan menunaikan janjinya untuk membawa pesalah dalam skandal LCS tersebut ke muka pengadilan seperti yang dibuat dalam kempen ceramahnya sebelum ini?

Adakah Rafizi berani berdepan dengan anak murid Presiden PKR, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam terus membongkar setiap inci penyelewengan dalam skandal LCS sehingga mereka yang bertanggungjawab diheret ke mahkamah?

Persoalan tersebut perlu dijawab oleh Rafizi kerana sebelum ini beliau yang paling lantang dan berani dalam mencari kebenaran melibatkan isu skandal tersebut.

Semasa awal pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Rafizi secara terbuka mengaitkan beberapa nama individu dalam skandal penyelewengan terbesar selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), antaranya nama Zahid juga, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ketiga-tiga individu merupakan pemimpin kanan dalam UMNO dan pernah memegang portfolio semasa dalam Kementerian Pertahanan.

Rafizi mendakwa ratusan juta wang dalam projek tersebut hilang dan lesap akibat penyelewengan yang berlaku.

Malah, Rafizi juga memberi amaran kepada Najib supaya tidak berpura-pura tidak tahu berhubung skandal LCS kerana waktu itu beliau merupakan Perdana Menteri ketika kerajaan menandatangani perjanjian bagi projek LCS bersama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2011 serta merupakan satu-satunya pihak yang berkuasa mempengaruhi penukaran reka bentuk kapal tersebut daripada keperluan tentera laut.

Isu kapal LCS mendapat perhatian susulan pendedahan PAC yang mendedahkan tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.

Persoalannya kini, adakah PH dan Rafizi khususnya akan meneruskan desakan supaya pesalah dalam skandal ini ke muka pengadilan atau selepas menjadi rakan baharu kepada UMNO, isu rasuah dan penyelewengan ini akan hanya diam begitu sahaja?

Saturday, November 5, 2022

Dakwaan terima sogokan RM67 juta, Zahid sedia saman Raja Petra

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Nov 5, 2022 5:00 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa dia akan mengemukakan saman fitnah terhadap Raja Petra Kamarudin.

Ini selepas penulis blog itu mendakwa Zahid menerima sogokan RM67 juta dalam projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

"Sebelum membuat tuduhan beliau perlu mempunyai bukti atau dokumen untuk mengemukakan tuduhan itu.

"Jika tidak saya akan mengemukakan saman malu pada beliau dan saya akan meminta peguam-peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya kepada pemberita di sidang media di kediamannya, Bagan Datuk, hari ini.
Raja Petra Kamaruddin(RPK)
Zahid berkata kebanyakan tulisan Raja Petra sekadar spekulasi dirinya sendiri sahaja.

"Sebelum ini dia menyatakan bahawa adanya seolah-olah surat akujanji atau SD menyatakan bahawa ahli-ahli parlimen BN atau calon-calon BN menandatangani surat akuan sumpah menggunakan kepala surat BN menyokong saya sebagai perdana menteri.

"Itu surat palsu. Ini menunjukkan Raja Petra tidak mempunyai kredibiliti.

"Jadi, saya setuju bahawa SPRM perlu siasat untuk (Raja Petra) tidak mempunyai kredibiliti dan asas untuk tuduhan sedemikian," katanya.
Terdahulu, penyandang parlimen Bagan Datuk itu diminta mengulas dakwaan Raja Petra yang mengaitkannya dengan projek LCS.

Raja Petra sebelum ini menuduh Zahid selaku timbalan perdana menteri menerima wang sogokan daripada kontraktor projek menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

Dia mendakwa urus niaga itu dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sebelum ini berkata, suruhanjaya itu akan bertemu Raja Petra yang membuat dakwaan itu sebelum memutuskan apakah perlu memanggil Ahmad Zahid untuk disoal siasat berhubung kontrak LCS itu.
Azam juga berkata pihaknya perlu meneliti dokumen yang diperolehi terlebih dahulu.

Pasukan SPRM yang ditugaskan untuk bertemu Raja Petra - dipercayai berada di England - akan bertemu penulis blog itu di lokasi di luar negara yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Azam berkata, lokasi dan masa belum dapat dipastikan tetapi menyatakan pertemuan itu tidak semestinya berlangsung di UK.

Menurutnya, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas kes LCS yang sedang berjalan.

Suruhanjaya itu sebelum ini menyiasat kes itu di bawah Seksyen 17 Akta SPRM berkaitan rasuah dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan bagi kes pecah amanah.

Thursday, September 8, 2022

Kit Siang garis lima sebab kenapa Zahid perlu letak jawatan Presiden UMNO

agendaily.com
08/09/2022
Terdapat 21 LOA bernilai kira-kira RM5 bilion untuk mendapatkan peralatan dan sistem kapal LCS dengan kebanyakannya dibuat ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini (8 September 2022) menggariskan lima sebab kenapa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan Presiden UMNO, menjelang penggal Parlimen ke-14 akan berakhir Julai tahun depan.

Pertama, katanya semua parti politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang harus mengecam skandal kewangan RM50 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi sebagai landasan utama ikrar pilihan raya mereka.

Adakah Zahid bersedia melakukan ini? Soalnya.

Menurutnya bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata sistem perundangan dan kehakiman negara akan menjadi bahan ketawa sekiranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan. Adakah Zahid bersetuju?

Memetik kenyataan Abdul Hamid, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata sekiranya Lembaga Pengampunan bersetuju untuk membebaskan Najib, ia akan mengetepikan kerja keras yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai kehakiman selama bertahun-tahun dalam membina kes terhadap Najib.

Abdul Hamid berkata: “Pendakwa Raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan; bertahun-tahun Hakim-Hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman.

“Satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu!”

Adakah Zahid bersetuju dengan Abdul Hamid? soal Kit Siang lagi.

Kedua, kata Kit Siang Presiden UMNO itu gagal menjadi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Najib bahawa dia telah bertemu dengan penderma diraja Arab yang menderma RM2.6 bilion kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Dia (Zahid) berkata demikian secara terbuka pada Ogos 2015. Diam dan gagal memberi keterangan dalam perbicaraan Najib hanya bermakna dia tidak bercakap benar pada Ogos 2015.

“Ketiga, terdapat ketidakupayaan Zahid untuk membersihkan dirinya daripada tanggungjawab besar bagi skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion, dan percubaannya untuk menyalahkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, penggantinya sebagai Menteri Pertahanan, atas skandal LCS.

“Zahid telah menafikan bahawa dia bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion, dan berkata adalah tidak munasabah untuk menyematkan kegagalan perolehan LCS kepadanya, kerana dia bukan Menteri Pertahanan semasa projek itu diberikan,” katanya.

Kit Siang berkata walaupun Zahid memegang jawatan Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013, dan digantikan oleh Hishammuddin, dan kontrak itu ditangguhkan dan hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014, kedua-dua laporan yang didedahkan mengenai skandal LCS, walaupun telah banyak disunting, menunjukkan bahawa Zahid yang mesti memikul tanggungjawab lebih besar daripada Hishammuddin untuk skandal LCS.

Katanya surat hasrat untuk pembekalan enam LCS pada nilai keseluruhan RM9 bilion telah dikeluarkan pada 15 Oktober 2010, dan surat pemberian (LOA) pada 16 Disember 2011, tetapi kontrak itu ditahan kira-kira dua dan satu setengah tahun, dan hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014.

Bagaimanapun, antara isu LOA dan pemeteraian kontrak, terdapat 21 LOA bernilai kira-kira RM5 bilion untuk mendapatkan peralatan dan sistem, kebanyakannya dibuat ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Memandangkan LOA yang dibuat semasa Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan selepas PRU-13 tidak mencecah RM700 juta, Zahid mesti memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada Hishammuddin bagi skandal LCS.

Keempat, kata Kit Siang ialah terdapat ketidakupayaan Zahid untuk menjelaskan mengapa dia membatalkan keputusannya pada 2011, seperti yang disyorkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), untuk kontrak membina enam LCS jenis Sigma buatan Belanda dan memilih Gowind buatan Perancis pengeluar kapal selam Scorpene tanpa berunding dengan TLDM sebagai pengguna terakhir.

“Akhir sekali, Zahid gagal menyatakan dengan jelas dan khusus bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, tidak bertanggungjawab ke atas skandal LCS, terutama kerana perolehan LCS berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Terdapat 21 LOA bernilai kira-kira RM5 bilion untuk mendapatkan peralatan dan sistem kapal LCS dengan kebanyakannya dibuat ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Wednesday, August 31, 2022

Pegawai Abdul Latiff lapor polis terhadap dakwaan Rafizi isu LCS

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 31, 2022 8:31 AM
Seorang pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini selepas Rafizi mendakwa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh yang terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Abdul Latiff, Sayed Ahmad Mu'izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya meskipun menteri itu sudah memberi penjelasan.

“Saya diarahkan dan sesungguhnya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut dicipta untuk merosakkan nama baik Abdul Latiff untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Abdul Latiff dan menyemarakkan keresahan rakyat.

"Penyiaran dan komunikasi elektronik (oleh Rafizi) tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam, dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut, dan mengganggu Abdul Latiff," katanya dalam laporan itu.

Katanya, dia percaya Rafizi telah melakukan kesalahan fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan, ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, penghinaan dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Laporan itu yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi malam tadi, menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak terhadap Rafizi dan mereka yang bekerja dengannya melakukan jenayah yang didakwa.

Antara lain, Sayed Ahmad mengulangi dakwaan menteri bahawa Rafizi mengelirukan orang ramai dengan memetik draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya.

Dia berkata ini tidak mengendahkan penafian yang terkandung dalam laporan yang menyatakan bahawa juruaudit tidak dapat menilai kebenaran dakwaan yang dibuat oleh orang yang terlibat dalam projek itu.

"Rafizi berbohong kerana dia kononnya bersandar kepada laporan forensik yang menyatakan Zainab Mohd Salleh adalah isteri kedua Abdul Latiff sedangkan laporan forensik tidak menyatakan sedemikian," katanya.

Laporan aufit forensik dinyah klasifikasi

Sebelum ini, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd menyah klasifikasi laporan audit forensik LCS, selepas diarahkan oleh kabinet untuk berbuat demikian. Ia kini disiarkan di laman web Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Laporan itu menyatakan bahawa Abdul Latiff Ahmad adalah pasangan (spouse) kepada Zainab Mohd Salleh.

Zainab dikaitkan dalam laporan itu kerana didakwa melakukan penipuan pembayaran. Bagaimanapun, butirannya tidak jelas kerana banyak bahagian laporan itu telah disunting.

Rafizi menegaskan bahawa pasangan yang dirujuk dalam laporan itu merujuk kepada bekas timbalan menteri pertahanan.

Abdul Latiff bagaimanapun menafikannya.

Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS, dan keluarganya tidak mempunyai sebarang kontrak pertahanan semasa menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang tindakan orang itu tidak ada kena mengena dengannya.

Dia menuduh Rafizi mengelirukan rakyat dengan memetik laporan "draf" untuk menyokong dakwaannya, mendakwa wujudnya laporan lain yang dikeluarkan oleh firma audit yang sama yang tidak menyebut hubungan suami isteri.

Tuesday, August 30, 2022

LCS: Laporan audit tunjuk perjanjian 'luar biasa' sebelum kontrak k'jaan diberikan

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Aug 30, 2022 9:30 AM
Dua audit yang dijalankan secara berasingan berhubung pembelian enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendedahkan bahawa kemungkinan terdapat perjanjian antara kontraktor utamanya dan pembuat kapal kontroversi, DCNS sebelum kerajaan mengeluarkan kontrak.

Ini berdasarkan sebut harga yang dikeluarkan oleh DCNS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) bertarikh 23 Disember 2010, setahun sebelum kerajaan Malaysia menganugerahkan kontrak LCS kepada BNS.

DCNS, kini dikenali sebagai Naval Group, ialah sebuah syarikat berpangkalan di Perancis yang membangunkan reka bentuk jenis Gowind untuk kapal tentera laut, yang merupakan reka bentuk yang diluluskan oleh Menteri Pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi walaupun mendapat bantahan daripada TLDM.

Ia juga merupakan syarikat sama yang menjadi subjek utama dalam pembelian kontroversi dua kapal selam jenis Scorpene oleh kerajaan pada tahun 2002.

Menurut laporan audit yang ditauliahkan oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), sebut harga yang dikeluarkan oleh DCNS adalah "luar biasa" dan menunjukkan bahawa perjanjian itu "ditetapkan terlebih dahulu" antara vendor dan "orang tertentu di BHIC/BNS yang menerajui proses membuat keputusan".

Penemuan yang sama juga dinyatakan dalam laporan audit yang disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.
Ia berkata terdapat kejanggalan dalam surat anugerah yang dikeluarkan kepada subkontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk enam Sistem Pengurusan Tempur LCS, di mana salah satu daripadanya dikeluarkan berdasarkan sebut harga oleh DCNS pada Disember 2010.

"Berhati-hati dengan tarikh berkenaan, yang dikeluarkan bahkan sebelum menandatangani LOA dengan kerajaan. Anda boleh bayangkan, kita memanggilnya 'niat'.

"Ini mencerminkan niat mereka yang terlibat dalam projek ini. Mereka tidak berhasrat untuk menyiapkan projek LCS. Mereka hanya mahu – niat untuk memaksimumkan keuntungan mereka yang telah dikeluarkan walaupun sebelum menandatangani LOA dengan Kerajaan Malaysia.

"LOA itu dikeluarkan oleh Anuar bin Murad, mengenepikan proses penilaian dengan menyekat penglibatan pasukan teknikal dan komersial. Sangat penting untuk diketengahkan," kata laporan itu.
Anuar Murad ialah Pengarah Program LCS BNS ketika itu. Dia ialah bekas Kapten TLDM, dan banyak disebut dalam kedua-dua laporan audit sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab untuk menyekat proses penilaian wajar dalam perolehan LCS, bersama bekas Panglima Tentera Laut Ahmad Ramli Mohd Nor, pengarah urusan BHIC ketika itu.

Ahmad Ramli didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah berhubung peranannya dalam skandal LCS.

Pengeluaran rekabentuk

Dilaporkan bahawa Kementerian Pertahanan pada mulanya telah meluluskan reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada 26 Mei 2011, sebelum menukarnya dua bulan kemudian kepada reka bentuk Gowind - yang bercanggah dengan kehendak TLDM.
Kapal Sigma ialah kapal tempur yang direka oleh syarikat kapal Belanda, Damen manakala kapal peronda Gowind direka oleh DCNS.

Audit yang ditugaskan oleh BHIC dan dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd, juga menunjukkan bahawa BNS telah membayar kira-kira RM90 juta sebagai bayaran mobilisasi untuk tiga sub-kontrak tanpa sebarang jaminan prestasi.

Jumlah itu ialah 10 peratus daripada tiga kerja yang dilaksanakan oleh DCNS, iaitu: 'Reka bentuk dan perkhidmatan berkaitan termasuk Pesanan Variasi sebanyak EURO3.9 juta'; 'Bantuan Pengurusan Program'; dan 'Perkhidmatan pelengkap untuk reka bentuk dan sokongan terperinci'.
"Kami mengambil perhatian bahawa DCNS telah dibayar mobilisasi kira-kira RM90 juta (10 peratus) untuk LOA yang disebutkan di atas tanpa memberikan jaminan bayaran pendahuluan atau jaminan prestasi. Berdasarkan dokumen yang diberikan kepada kami, kami mendapati bahawa mesyuarat awal tidak diadakan antara wakil DCNS dan BNS.

"Semasa kami menyemak ‘milestone’ pembayaran, kami tidak menemui sebarang bukti sokongan untuk mengesahkan bahawa ‘milestone’ telah dicapai di mana pembayaran dikeluarkan mengikut syor Anuar Murad dan kelulusan Ahmad Ramli Mohd Nor," menurut laporan Alliance IFA.

Kapal selam Scorpene

DCNS, sebelum ini dikenali sebagai Direction des Constructions Navales (DCN) sebelum menukar namanya kepada DCNS dan kini Naval Group, diketahui banyak terlibat dalam perolehan aset ketenteraan Malaysia terutamanya semasa Najib Razak menjadi menteri pertahanan dan kemudiannya perdana menteri.

Sebelum penglibatannya dalam kontrak LCS, Malaysia menandatangani perjanjian untuk membeli dua kapal selam Scorpene pada 2002, yang dikatakan satu bilion euro, daripada DCNS dan Navantia Sepanyol. Armaris, usaha sama antara DCN dan gergasi pertahanan dan elektronik Perancis Thales, menjadi kontraktor utama untuk penjualan itu.
Dikatakan bahawa RM540 juta telah dibayar sebagai "komisen" untuk perjanjian itu, dengan salah satu penerima adalah sebuah syarikat bernama Perimekar Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda dan pembayaran itu akhirnya menguntungkan Najib.

Ia juga diketahui kemudiannya bahawa sebagai tambahan kepada kos kapal selam dan bayaran "komisen" yang besar, di bawah syarat perjanjian asal kapal itu tidak mempunyai senjata dan alat pengesan.

Tentera Malaysia perlu membayar tambahan 130 juta euro untuk melengkapkannya.

Siasatan yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Perancis berusaha untuk menentukan sama ada Najib telah menerima sogokan melalui Abdul Razak, untuk kontrak Scorpene.

Pada Mac 2012, pihak berkuasa Perancis melantik dua majistret pemeriksa untuk menyiasat kes itu.

Mereka dikatakanmenemui bukti bahawa Najib selaku menteri pertahanan Najib ketika itu telah meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk Perimekar daripada anak syarikat DCN DCNI.

[Baca berita asal]

Friday, August 26, 2022

'Samanlah saya, penafian kosong saja tak cukup'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 26, 2022 1:14 PM
Rafizi Ramli menyifatkan penafian kali kedua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Latiff Ahmad berkaitan penglibatan “isterinya” dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) hanyalah pernafian kosong.

Timbalan presiden PKR berkata penafian mudah tanpa menunjukkan fakta atau dokumen ialah taktik biasa pimpinan dan bekas pimpinan Umno.

Justeru, katanya, Latiff perlu menyamannya, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang mengarahkan audit forensik LCS dan juruaudit Alliance IFA (M) Sdn Bhd.

“Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam PRU15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini,” katanya.

Rafizi sebelum ini memetik audit forensik itu yang menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh ialah isteri Latiff, yang berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan sebelum ini.

Latiff hari ini sekali lagi menegaskan bahawa dia tiada isteri yang bernama Zainab.

"Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” katanya di media sosial.

Abdul Latiff sekali lagi tegaskan Zainab Mohd Salleh bukan isterinya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 26, 2022 9:51 AM
Menteri di Jabatan perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad sekali lagi menegaskan wanita yang dikaitkan dengan projek kapal tempur pesisir (LCS) bukan isterinya.

Latiff sebelum ini menafikan dakwaan bahawa Zainab Mohd Salleh, yang dikaitkan dengan syarikat palsu, Alizes Marine Limited ialah isteri keduanya.

"Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh.

"Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

"Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)...saya suka makan ikan...tapi bukan ikan jerung,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran yang sama bekas timbalan menteri pertahanan itu juga berpantun:

Siakap senohong gelama ikan duri,

Cakap bohong lama-lama jadi pencuri,

Siakap senohong gelama ikan jerung,

Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.

Timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli pada 22 Ogos lalu mendakwa Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan projek LCS, dan menamakannya sebagai isteri kedua Abdul Latiff.

Menurut Rafizi, sebuah syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama oleh Abdul Latiff dan Zainab pada Ogos 2015 memperoleh kontrak pertahanan bernilai jutaan ringgit.

Dia juga mendakwa Abdul Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak mempunyai kelayakan.

Walaupun Abdul Latif kemudian menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya, Rafizi berkata penafian menteri berkenaan merujuk kepada individu lain.

Rafizi juga mendakwa sebahagian besar kontrak Alizes Marine Limited (yang menurutnya syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) adalah untuk membekalkan alat ganti bagi kapal LCS.

Rafizi juga semalam mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat ganti kapal itu digunakan untuk "barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa".

Bekas ahli parlimen Pandan itu pada masa sama, menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri memecat Abdul Latiff daripada Kabinet.

Dia juga menggesa Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu memaklumkan secara rasmi kepada Ismail Sabri mengenai calon yang layak menggantikan Latiff.

Untuk rekod, Abdul Latiff merupakan anggota Umno sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Ketika bersama Umno, dia pernah menjadi timbalan menteri pertahanan ketika kementerian itu dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.

Thursday, August 25, 2022

Skandal LCS: Mengapa SPRM masih belum bertindak? - Kit Siang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 25, 2022 4:02 PM

Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bertindak terhadap mana-mana individu dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) walaupun bukti telah dikemukakan dalam laporan forensik sejak dua tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menuntut penjelasan daripada SPRM kerana tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Saya masih menunggu mengapa SPRM, selepas 10 tahun, masih gagal untuk membawa apa-apa pertuduhan terhadap sesiapa pun mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.

"Namun, saya terkejut apabila membaca laporan audit forensik perolehan LCS ini yang disediakan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd dan dihantar pada Julai 2020.

"Perkara ini menyebabkan Malaysia berada dalam kategori “D” dalam Indeks Integriti Pertahanan (GDI) terbitan Transparency International, untuk negara berisiko tinggi berlaku rasuah dalam perolehan ketenteraan.

"SPRM perlu menjelaskan, mengapa mereka belum bertindak terhadap sesiapa pun walaupun telah diberikan bukti-bukti ini dalam dua tahun yang lepas," katanya.

‘Apa guna ada lima jawatan kuasa bebas?’

.Laporan audit forensik setebal 104 muka surat itu, yang disiapkan pada Julai 2020 dan dinyahrahsia pada 22 Ogos, mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad dan isterinya Zainab Mohd Salleh dengan sebuah syarikat di sebalik transaksi yang mencurigakan bagi perjanjian LCS.

Ia adalah yang kedua daripada dua laporan audit yang diarahkan oleh kabinet untuk didedahkan pada 10 Ogos.

"Saya memerhatikan ketiga-tiga pertuduhan rasuah terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, tidak mempunyai kaitan dengan skandal LCS, memandangkan pertuduhan ini adalah untuk perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LOA) kontrak LCS yang bernilai RM9 billion yang dikeluarkan pada 16 Disember 2011.
"Memandangkan ketiga-tiga pertuduhan ini berkaitan dengan perkara yang terdahulu sebelum kontrak perolehan LCS, perkara ini bermakna, pertuduhan ini berkaitan dengan skandal perolehan yang lain.

"Apakah gunanya mempunyai lima jawatankuasa “bebas” untuk meneliti SPRM – apabila SPRM boleh membuat kesilapan besar sebegini dengan tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal LCS selepas sedekad.

Lima jawatankuasa yang dimaksudkan Lim ialah Lembaga Penasihat Anti-Rasuah, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Semakan Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah

"Saya gusar melihat terlalu banyak keserupaan di antara skandal 1MDB dengan skandal LCS, dan saya katakan yang laporan audit forensik skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion ini adalah satu “bacaan wajib” untuk setiap rakyat Malaysia yang mahu tahu mengenai perkara terkini yang terjadi di Malaysia," katanya.

Pada 22 Ogos lalu, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tidak mempunyai kelayakan.

Rafizi berkata Latiff, yang kini bersama Bersatu, pada masa itu adalah timbalan menteri pertahanan dari Umno, manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengetuai kementerian itu.

Rafizi: Berapa banyak dari peruntukan RM1.7b LCS diguna beli putik kapas?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 25, 2022 3:57 PM

Dalam serangan terbarunya berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat gantian kapal itu sebenarnya digunakan untuk "barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa".

Rafizi juga menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad, yang didakwa memiliki perkaitan dengan skandal itu, dipecat daripada kabinet.

"Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

"Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai," kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata sebahagian besar kontrak Alizes Marine Limited (yang menurutnya syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat ganti untuk kapal itu.

"Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan," dakwa Rafizi.

"Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis," katanya merujuk kepada fakta bahawa Alizes Marine adalah syarikat yang berpangkalan di Perancis.

Dia juga membangkitkan laporan forensik projek itu mendedahkan syarikat tersebut tiada lesen untuk mengeksport alat ganti pertahanan seperti yang didakwa.

Ini menimbulkan persoalan penting, kata bekas ahli parlimen Pandan itu.

Berapa banyak daripada RM1.7 bilion yang dibeli sebenarnya adalah peralatan gantian diperlukan untuk kapal untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, kerana banyak alat ganti sebenarnya adalah barangan kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?

Apabila Umno BN mendakwa projek telah mencapai 50 peratus kemajuan sehingga 2018, berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan: “Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”
Rafizi mendakwa Latiff dan Zainab sebagai "jerung besar" yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tiada kelayakan.

Justeru, dia menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri memecat Latiff daripada Kabinet dan Muhyiddin pula selaku presiden Bersatu perlu memaklumkan secara rasmi kepada Ismail Sabri siapa yang ingin dicalonkan oleh parti itu untuk menggantikan Latiff.

Untuk rekod, Latiff merupakan anggota Umno sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Ketika masih bersama Umno, dia pernah menjadi timbalan menteri pertahanan ketika kementerian itu dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Muhyiddin dan Bersatu benar- benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini," kata Rafizi lagi.

Tuesday, August 23, 2022

3 firma digunakan untuk seleweng berjuta ringgit, kata laporan LCS Boustead

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 23, 2022 8:45 AM
Laporan audit forensik dalaman Boustead terhadap program kapal tempur pesisir tentera laut yang bermasalah bernilai RM9 bilion telah didedahkan kepada umum.

PETALING JAYA:
Tiga syarikat didakwa digunakan untuk menyeleweng RM23.37 juta daripada projek LCS tentera laut yang bermasalah, menurut laporan audit yang dinyahklasifikasi oleh Boustead Heavy Industries Corporation.

Laporan itu berkata, terdapat kaedah pembayaran yang tidak normal, tanda-tanda “penipuan dan pakatan sulit dengan pegawai syarikat”, dan anomali dalam pembayaran yang dibuat. Ia berkata pembayaran mengelirukan itu serta dokumen berkaitan “hilang daripada rekod perakaunan”.

Daripada jumlah pembayaran lebih RM23.37 juta, pegawai audit tidak dapat menyemak dokumen sokongan untuk bayaran RM8.6 juta kerana pihak berkenaan di BNS tidak dapat mengesan mereka, kata laporan itu.

Invois dikeluarkan atas “penilaian teknikal” bagi projek kapal tempur pesisir, di mana Boustead Naval Shipyard akan membina enam frigat untuk tentera laut.

Laporan itu berkata, dua syarikat terbabit kononnya berdaftar di Brussels dan Paris, tetapi semakan mendapati tiada syarikat di bawah nama tersebut di bandar-bandar berkenaan.

Laporan itu menamakan syarikat itu sebagai Setaria Holding Ltd, Sousmarin Armada Ltd, dan JSD Corporation Pte Ltd, yang mempunyai alamat Singapura.

Laporan itu berkata, 10 pembayaran berjumlah RM13.74 juta dibuat kepada Setaria Holding, empat pembayaran sejumlah RM8.26 juta telah dibuat kepada Sousmarin Armada Ltd dan dua pembayaran berjumlah RM1.36 juta telah dibuat kepada JSD.

Ia menyatakan bahawa terdapat sebuah syarikat di Malaysia yang berkongsi nama SAL, Sousmarin Armada Sdn Bhd, yang telah dibubarkan pada 2012.
Halaman daripada laporan audit forensik BHIC diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan didedahkan kepada umum.

Pengarah syarikatnya adalah Zainab Mohd Salleh, yang terlibat dengan Alizes Marine Ltd dan syarikat luar pesisirnya di Malta dan Labuan.

Walaupun invois dikeluarkan dalam euro, pembayaran dibuat di Singapura “yang mana ia tidak normal dan bertentangan dengan norma”, kata laporan audit itu.

“Memandangkan Sousmarine Armada Sdn Bhd adalah syarikat berdaftar di Malaysia, mempunyai pejabatnya di Kuala Lumpur, logik di sebalik pembayaran di negara lain menunjukkan penipuan dan pakatan sulit dengan pegawai syarikat.

“Corak dan modus operandi yang sama digunakan dalam kes pembayaran tuntutan Marin Alizes,” kata laporan itu.

Ia menambah, siasatan mengesahkan bahawa SAL dimiliki oleh “orang yang sama yang menyamar sebagai Alizes Marine France dengan mempunyai sebuah syarikat bernama Alizes Marine Ltd Labuan untuk mendapatkan dana yang dialihkan melalui Singapura”.

Menurutnya juga, selepas melakukan carian syarikat, Zainab didapati adalah pemegang saham dan pengarah Sousmarine Armada Sdn Bhd.

Laporan itu turut menamakan dua syarikat lain yang dikatakan terlibat dalam menyedut dana terbabit: Azimuth Shipping Corporation dan Prestigo International. Sifat penglibatan mereka tidak jelas kerana suntingan dalam laporan itu.

Ia berkata: “Bayaran RM1.2 juta telah dibuat kepada Azimuth terhadap pesanan pembelian yang dialamatkan di KL, tetapi bayaran itu dikeluarkan dalam USD$ kepada Azimuth di Singapura.

“Anomali yang sama telah diperhatikan berkaitan dengan pembayaran yang dibuat kepada Prestigio International. Pembayaran mengelirukan dan dokumen berkaitan ini tiada dalam rekod perakaunan.”

BHIC ialah pemegang saham yang mengawal syarikat kapal itu, yang dianugerahkan kontrak untuk membina enam frigat untuk tentera laut di bawah program kapal tempur pesisir.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkata, RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu sejak 2014 tetapi tiada satu pun kapal telah disiapkan atau diserahkan.

BHIC berkata semalam, ia telah bersetuju untuk menyahklasifikasi laporan audit forensik dalaman dan mendedahkannya kepada umum, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri. Laporan, “Semakan Program LCS”, telah diterbitkan di laman web PAC. Sebahagian daripada laporan telah disunting.

Monday, August 22, 2022

Laporan forensik LCS sebut nama 'isteri Abdul Latiff'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 22, 2022 10:57 PM

Laporan forensik mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) yang baru dinyah klasifikasi mengaitkan individu bernama Zainab Mohd Salleh dalam "urus niaga yang meragukan" yang dikenal pasti dalam laporan itu.

Laporan itu juga menyebut bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad adalah suaminya, hanya beberapa jam selepas menteri itu menafikan dakwaan bahawa Zainab adalah isterinya.

“Thierry (Barrier) memegang satu saham, yang dia pindahkan kepada Abdul Latiff Ahmad. Adalah diperhatikan bahawa Abd Latiff adalah pasangan kepada Zainab,” kata laporan itu mengenai audit 2019.

Pengauditan forensik itu diperintahkan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd.
Ia adalah audit kedua daripada dua laporan audit yang diarahkan oleh kabinet untuk dinyah klasifikasi pada 10 Ogos.

Dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di Facebook, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussien berkata BHIC telah bersetuju untuk menyah klasifikasi laporan itu, yang kini disiarkan di laman web Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Namun, banyak bahagian laporan telah disunting termasuk beberapa perenggan yang dipapar sejurus sebelum hubungan yang dikatakan antara Abdul Latiff dengan Zainab disebut.

Sumber rujukan juga tidak termasuk dalam dokumen yang dinyah klasifikasi.

Mengulas laporan itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bertanya siapa yang bercakap benar.

"Jelas dalam dokumen muka surat 96, menyatakan bahawa Zainab adalah isteri kepada Abdul Latiff Ahmad.

"Siapakah yang menipu, Latiff atau laporan audit forensik?" soalnya di Facebook.

Awal hari ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menamakan "jerung besar" yang didakwa terlibat dalam skandal RM6 bilion LCS.

Memetik siasatan dalaman, Rafizi mendakwa bahawa isteri kedua Abdul Latiff, Zainab mengawal dua syarikat iaitu Alizes Marine dan Alizes Marine Labuan, yang merupakan perunding teknikal untuk projek itu.

Rafizi mendakwa syarikat-syarikat ini tidak mempunyai kepakaran, menghantar invois untuk kerja yang tidak dijalankan, dan dilantik sebagai pembekal alat ganti meskipun tidak layak.

Abdul Latiff sebelum ini merupakan timbalan menteri pertahanan ketika bersama Umno, tetapi sejak itu telah menyertai Bersatu.

Dia sebelum ini menafikan Zainab yang dilaporkan media adalah isterinya dan berjanji akan membantu siasatan.

Rafizi menolak penafian Abdul Latiff sebagai "sangat lemah" dan berjanji untuk mendedahkan dokumen yang akan membuktikan hubungan menteri itu dengan Zainab.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-