Thursday, August 18, 2022

LANGSUNG: Peguam mohon tarik diri daripada wakili Najib

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 18, 2022 8:37 AM

Selepas dua hari pendengaran, Mahkamah Persekutuan akhirnya akan mendengar rayuan terakhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Malaysiakini akan membawa laporan secara langsung pendengaran ini.

Mahkamah berhenti sekejap untuk buat keputusan

10.08 pagi: Hakim mengarahkan perbicaraan dihentikan sekejap bagi memutuskan permohonan peguam baru Najib, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Sebelum itu, Hisyam setuju dengan penegasan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa Mahkamah Persekutuan ada kuasa untuk memastikan ia boleh berfungsi secara baik dan memenuhi mandatnya.

Dia juga setuju dengan kenyataan Maimun bahawa jika dia menarik diri, ia akan menyebabkan anak guamnya, iaitu Najib, tidak diwakili.
Hisyam Teh Poh Teik
Mahkamah tolak permohonan tangguh rayuan

10.03 pagi: Mahkamah sekali lagi menolak permohonan terbaru untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama Najib pada hari ini.

Peguam baru Najib, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Dia berkata ini kerana pihaknya perlukan lebih masa untuk membuat persediaan.

9.56 pagi: Prosiding bermula.

9.15 pagi: Semakin ramai penyokong Najib Razak tiba untuk memberi sokongan terhadapnya, yang kini dalam rayuan terakhir untuk mengetepikan tujuh sabitan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan.

Kebanyakannya memakai baju dan pengikat kepala yang memaparkan perkataan 'Bossku'.

Mereka berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman selama kira-kira 40 minit sambil melaungkan slogan "hidup Najib" dan "hidup Bossku" sebelum bersurai.

9.40 pagi: Tiga anak Najib Razak, iaitu Norashman, Nooryana Najwa dan Mohd Nizar, dilihat berada di galeri awam menunggu pendengaran bermula.
Penyokong Najib mula berkumpul

9 pagi: Sekumpulan yang dipercayai sebagai penyokong Najib Razak, dengan kebanyakannya memakai baju putih, mula berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Kedatangan mereka susulan undangan himpunan Enough is Enough: Justice for Najib yang mula disebarkan semalam.
Pada Isnin dan Selasa lalu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendengar dua permohonan Najib.

Permohonan pertama untuk mengemukakan bukti baru dan permohonan kedua untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC ke tiga atau empat bulan, bagi membolehkan pasukan pembelaan baru Najib membuat persediaan.

Namun, kedua-dua permohonan itu ditolak sebulat suara oleh panel hakim, yang Najib sifatkan sebagai mengejutkan dan sangat mengecewakan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam pendengaran ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pasukan pembelaan Najib - yang turut merangkumi peguam veteran Hisyam Teh Poh Teik - dijangka memberikan penghujahan pertama, sebelum disusuli penghujahan balas pendakwaan yang diketuai DPP V Sithambaram.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, dia juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-